Syor lantik Aziz Bari Speaker Dun Selangor
Saya merupakan salah seorang pengundi di Selangor yang telah mengundi Pakatan Rakyat (PR) pada pilihan raya umum ke-13 baru-baru ini. Secara umumnya saya bersyukur rakyat Selangor telah memberi mandat kepada PR untuk menerajui kerajaan negeri Selangor buat penggal yang kedua. Sudah tentunya suasana sekarang masih hangat dengan isu pelantikan Menteri Besar (MB) Selangor. Isu MB sudah mula reda, tetapi barisan Exco negeri Selangor beserta kuota dari parti-parti PR masih belum jelas lagi. Saya percaya dengan kebajikan rakyat sebagai faktor penentu di minda masing-masing, para pemimpin PR dapat memberi penyelesaian terbaik dalam isu pelantikan barisan Exco di Selangor.
Sebagai pengundi di negeri Selangor, saya suka untuk mencadangkan kerajaan negeri Selangor agar melantik Dr Abdul Aziz Bari, bekas calon PR di parlimen Sabak Bernam sebagai Yang Dipertua Dewan Negeri Selangor atau lebih sinonim dengan gelaran Speaker Dun. Saya tidak menafikan sumbangan Speaker Dun terdahulu iaitu Datuk Teng Chang Khim, tetapi saya berpendapat sudah tiba masanya Dr Abdul Aziz Bari selaku sarjana perlembagaan diberi peluang untuk melaksanakan idea-idea beliau secara lebih praktikal. Kita mempunyai tokoh sarjana perlembagaan yang berpengalaman luas malah pernah menjadi konsultan kepada kerajaan negeri Selangor sewaktu polemik isu pelantikan Setiausaha Kerajaan (SUK) negeri Selangor satu ketika dahulu. Disebabkan isu konsultan itu jugalah Dr Abdul Aziz Bari telah diberi surat tunjuk sebab oleh majikannya kerana terlibat secara langsung dengan "kerajaan pembangkang".
Oleh kerana majoriti rakyat di Sabak Bernam masih lagi tidak mampu menilai yang mana satu manik, yang mana satu mutiara, maka adalah menjadi satu kerugian sumber sekiranya ilmu dan pengalaman Dr Abdul Aziz Bari tidak diambil kira oleh kerajaan negeri Selangor dan tidak diletakkan di tempat yang sewajarnya.
Saya berharap pimpinan PR Selangor boleh melakukan penyesuaian-penyesuaian tertentu agar Dr Abdul Aziz Bari dapat dilantik sebagai Speaker Dewan Negeri Selangor. Dengan jawatan ini juga saya yakin, Dr Abdul Aziz Bari dapat meneruskan kajian dan penulisannya dalam suasana yang lebih kondusif dan praktikal demi memartabatkan Dewan Negeri Selangor setaraf dengan piawaian badan perundangan antarabangsa. Kritikan-kritikan konstruktif beliau mengenai perlunya sesebuah kerajaan mempunyai badan legislatif yang bebas juga dapat diterjemahkan melalui tindakan proaktif sekiranya beliau dilantik sebagai Speaker Dun kelak.
Walaupun Dr Abdul Aziz Bari pernah dilaga-lagakan dengan istana Selangor lewat kontroversi DUMC sedikit masa dahulu, tetapi saya percaya itu hanyalah kerja-kerja kotor pengadu domba yang hanya ingin membodek dan mengampu demi sedikit kesenangan duniawi. Saya percaya DYMM Sultan Selangor bersikap sangat objektif dan mampu menilai bakat dan kebolehan anak jati Selangor ini.
Semoga bakat dan kebolehan Dr Abdul Aziz Bari diberi perhatian yang sewajarnya oleh barisan kepimpinan negeri Selangor. Saya yakin rakyat Selangor yang lain juga berkongsi hasrat yang sama dengan saya.
Sekian, terima kasih.
Mohamed Hadi al-Majwi,
0 comments:
Post a Comment