Friday, 17 May 2013

MCA tidak boleh hanya mengharapkan undi Cina: Ini adalah kurun berbeza - Pengerusi MCA Selangor

Sabtu, 18 Mei 2013
MCA tidak boleh hanya mengharapkan undi Cina
Datuk Donald Lim

KUALA LUMPUR, 18 Mei — MCA perlu membuka keanggotaan kepada kaum lain selepas prestasi terburuk dalam sejarah pada Pilihan Raya 2013 kerana tidak boleh hanya mengharapkan undi Cina, kata pengerusi parti di Selangor Datuk Donald Lim. 

Beliau mengatakan parti komponen Cina di bawah gabungan pemerintah Barisan Nasional (BN) perlu melihat gambaran lebih besar dan mengambil kira realiti perpecahan bandar-luar bandar berbanding kaum, seperti yang berlaku dalam keputusan pilihan raya. 

“MCA mungkin perlu berubah daripada kekal sebagai parti berasaskan kaum. Mungkin perlembagaan parti perlu diubah untuk membenarkan kaum lain masuk,” kata Lim (gambar) kepada The Malaysian Insider. 

“Ini adalah kurun berbeza. Sekarang kita adalah berbilang kaum dan orang perlu bergerak ke hadapan dan bergaul dengan bebas. Pada ketika ini, adalah lebih baik untuk membuka bagi memberikan khidmat terbaik kepada rakyat,” tambah beliau. 

Dalam pilihan raya umum 5 Mei, MCA hanya menang tujuh kerusi Parlimen dan 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 37 kerusi Parlimen dan 90 kerusi DUN ditandingi — kurang separuh daripada kerusi Parlimen yang mereka perolehi pada 2008. 

Disebabkan ini, MCA dikecualikan daripada Kabinet baru Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, konsisten dengan ikrar presiden parti Datuk Seri Dr Chua Soi Lek parti itu tidak akan menerima sebarang jawatan kerajaan jika gagal mendapatkan lebih kerusi Parlimen berbanding 2008. 

Apabila ditanya kemungkinan parti komponen BN bergabung menjadi satu, Lim berkata: “Ia adalah cadangan baik akan tetapi perlu mengambil masa kerana Umno berprestasi baik jadi mereka mungkin menentangnya.” 

Walau bagaimanapun, beliau mengatakan mungkin terdapat pilihan bagi MCA untuk bergabung dengan parti komponen BN lain seperti Gerakan dan Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) untuk menjadi lebih kuat. 

Gerakan hanya menang satu kerusi daripada 11 kerusi Parlimen yang ditandingi dalam Pilihan Raya 2013, hanya tiga daripada 31 kerusi DUN yang ditandingi. 

Terdapat desakan untuk BN menawarkan keahlian secara langsung dan berbilang kaum ke dalam gabungan itu berbanding hanya melalui parti komponennya, cadangan yang dipersetujui Lim manakala mengakui mungkin menandakan berakhirnya beberapa parti komponen. 

“Jika BN menawarkan keahlian terus, perlahan-lahan parti komponen akan mula hilang, sudah tentu sesetengah akan bertahan jika mereka cukup kuat,” katanya. 

Beliau juga mengakui kemungkinan langkah itu boleh menyebabkan berakhirnya MCA jika parti tidak menambahkan kekuatan dan populariti. 

“Macam-macam boleh berlaku,” katanya dan menambah ianya mungkin mengambil masa lama untuk menjadi kenyataan. 

Lim mengatakan, langkah seperti itu harus menunggu sehingga pemilihan dalaman parti selesai - presiden dan pasukan baru dipilih untuk menentukan bagaimana untuk bergerak ke hadapan. 

Lim bertanding dalam pilihan raya umum 5 Mei bagi kerusi Parlimen Selayang tetapi kalah kepada William Leong dari PKR dengan 17,846 undi. ~the malaysian insider

0 comments:

Post a Comment

Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena