Sunday 26 May 2013

PAS jangka fail 20 petisyen p'raya & Umno K'tan timbang petisyen untuk parlimen Bachok

Ahad, 26 Mei 2013
PAS jangka fail 20 petisyen p'raya

PAS dijangka memfailkan 20 petisyen dan bantahan berhubung keputusan pilihan raya umum ke-13 pada 5 Mei lepas.
Setiausaha Agungnya Datuk Mustafa Ali berkata petisyen dan bantahan itu melibatkan beberapa kawasan Parlimen seperti Kuala Selangor di Selangor dan DUN di Perak, Terengganu dan negeri lain.

"Jawatankuasa khas yang kita tubuhkan sebelum ini telah meneliti maklumat-maklumat yang membawa kepada petisyen dan bantahan itu. Setakat hasil perbincangan kita, itulah (20 petisyen) yang akan kita hantar tidak lama lagi.

Mungkin akan meningkat atau menurun (jumlah bantahan). Ini akan dimuktamadkan nanti," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Dilaporkan sekutu PAS, Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan memfailkan 27 petisyen melibatkan kawasan Parlimen dan DUN manakala DAP masih mempertimbang sama ada akan memfail petisyen.

Pada 22 Mei lepas, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mewartakan keputusan rasmi PRU13 dan berikutan pewartaan keputusan pilihan raya itu, calon dan parti politik yang tidak berpuas hati dengan keputusan itu mempunyai tempoh 21 hari untuk memfailkan petisyen atau bantahan mulai tarikh pewartaan itu.

Petisyen boleh difailkan di Mahkamah Tinggi mengikut negeri masing-masing.

Pada pilihan raya lepas, BN memenangi 133 kerusi Parlimen manakala PAS (21), PKR (30) dan DAP (38).
- Bernama/Malaysiakini
Umno K'tan timbang petisyen untuk parlimen Bachok
Badan Perhubungan Umno Kelantan akan mengemukakan petisyen pilihan raya bagi kawasan Parlimen Bachok dan tiga DUN dalam tempoh terdekat.
Pengerusinya Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata keutamaan akan diberikan bagi kawasan Parlimen Bachok dan kerusi DUN Jelawat ekoran calon BN kalah dengan majoriti kecil manakala jumlah undi rosak pula terlalu tinggi.

"Bagi kawasan lain yang membabitkan kerusi DUN Gaal dan kerusi DUN dalam Parlimen Kuala Krai, kita akan buat (petisyen) selepas mendapat pandangan dari akar umbi secara terperinci," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis pemimpin bersama rakyat di Kampung Bendang di Pasir Puteh, semalam.

Turut hadir Ketua Umno Bahagian Pasir Puteh yang juga ADUN Semerak Zawawi Othman dan ADUN Selising Zulkifli Ali serta lebih 300 penduduk kampung berkenaan.

Mustapa berkata demikian bagi mengulas pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bahawa petisyen boleh dikemukakan dalam tempoh 21 hari selepas keputusan pilihan raya umum ke-13 diwartakan pada 22 Mei lepas.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, calon Parlimen Bachok iaitu Datuk Dr Awang Adek Hussin hanya kalah 201 undi kepada calon PAS Ahmad Marzuk Shaary manakala jumlah undi rosak pula sebanyak 946 undi.

Bagi DUN Jelawat, calon BN Datuk Dr Ilias Hussin tewas 102 undi kepada calon PAS Abdul Aziz Kadir manakala jumlah undi rosak pula sebanyak 349 undi.

Mustapa berkata BN juga akan melancarkan Gelombang Merah Kedua sebagai persediaan untuk menghadapi pilihan raya umum ke-14 sebagai kesinambungan Gelombang Merah yang dilancarkan pada 2011.

Gelombang Merah berjaya meniup semangat rakyat Kelantan untuk bangkit berubah apabila berjaya menambah daripada dua kerusi Parlimen kepada lima manakala DUN pula daripada enam kepada 12 pada PRU13, 5 Mei lepas, katanya.
- Bernama/Malaysiakini

0 comments:

Post a Comment

Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena