Posted by Shalehudin at 12:59 PM
KENYATAAN AKHBAR ADUN SERI SERDANG
YB NOOR HANIM ISMAIL
GAMBAR LAKONAN BLACKOUT 505: MENYANGKAL DAKWAAN SPR
Saya mengecam kenyataan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) melalui Timbalan Pengerusinya Datuk Wan Ahmad Wan Omar yang menyatakan bahawa kejadian Blackout 505 yang tersebar di internet dan akhbar adalah fitnah dan lakonan yang dirakam sebelum PRU 13.
Ternyata hasil penelitian dan siasatan awal yang dilakukan beliau bersama pegawai-pegawainya adalah sangat lemah dan hanya sekadar ingin menutup kelemahan sistem pilihanraya yang ada dan menafikan kejadian blackout yang benar-benar berlaku. Saya ingin menyatakan bahawa gambar yang tersebar tersebut adalah benar dan kejadian itu berlaku di SEKOLAH KEBANGSAAN SERDANG, di bilik pengiraan undi Saluran 3. “Counting Agent” kami telah mengambil beberapa gambar sebelum dan selepas kejadian blackout tersebut itu berlaku.
Saya juga melihat beberapa kelemahan Timbalan Pengerusi SPR dalam menilai beberapa aspek dikatakan Prosedur Operasi Standard (SOP) SPR sewaktu hari mengundi pada 5 Mei 2013 yang lalu. Bagaimana beliau sendiri tidak tahu pakaian rasmi petugas-petugas SPR berwarna kelabu pada hari tersebut. Saya juga berasa hairan kerana beliau juga tidak kenal kotak bekas kiraan undi yang digunakan oleh pihak SPR sendiri. Gambar tersebut dengan jelas menampakkan logo SPR di tepi kotak kiraan undi yang digunakan.
Sewaktu kejadian itu berlaku, wakil calon kami juga telah berusaha membekalkan lampu suluh ke bilik kiraan undi tersebut bagi memastikan proses kiraan undi berjalan dengan lancar. Saya menafikan bahawa terdapat wartawan di lokasi kejadian kerana yang ada hanya Ketua Tempat Mengundi (KTM), petugas SPR, wakil calon dan anggota polis yang bertugas.
Oleh itu, saya menyarankan agar pihak SPR khususnya Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia kerana telah melakukan kesilapan dalam mengeluarkan kenyataan tanpa membuat kajian yang mendalam dan mengambil ringan isu yang dibangkitkan oleh rakyat. SPR sebagai badan rasmi yang menguruskan pilihanraya ini mesti dilihat profesional, adil dan telus serta tidak berpihak kepada mana-mana parti.
YB NOOR HANIM ISMAIL
ADUN SERI SERDANG.
25 Mei 2013 / 15 REJAB 1434
Dibawah pula laporan SINAR 2 hari lepas mengenai kenyataan Pengerusi SPR -
KUALA LUMPUR - Siasatan awal Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menunjukkan sekeping gambar dimuatkan di internet menunjukkan kononnya berlaku insiden lampu padam semasa pengiraan undi pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) 5 Mei lalu adalah fitnah dan lakonan itu dirakamkan sebelum PRU13 lagi.
Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata kesimpulan itu dibuat hasil penelitian beliau bersama pegawai-pegawainya.
"Mereka telah melakonkan perkara ini sebelum pilihan raya lagi untuk disebarkan di internet sebagai helah bagi menunjukkan kononnya berlaku kejadian lampu padam, sedangkan ini semua cerita karut.
"Pada gambar tersebut ditunjukkan kononnya petugas SPR sedang mengira kertas undi dan terpaksa menggunakan lampu bantuan kerana lampu padam sedangkan petugas itu langsung tidak memakai baju SPR," katanya kepada Bernama ketika ditemui baru-baru ini.
Beliau berkata bukti paling nyata apabila gambar tersebut menunjukkan terdapat ramai pemberita dan jurugambar berada di dalam tempat pengiraan undi sedangkan hakikatnya tidak ada sesiapa yang boleh berada di tempat tersebut melainkan petugas SPR dan ejen calon.
"Prosedur Operasi Standard (SOP) dan tatacara kerja seperti yang ditunjukkan oleh gambar itu langsung tidak betul... mereka sudah terlupa, hendak menipu tetapi tidak faham tatacara kerja dan tidak matang.
"Malah dulang yang digunakan untuk meletak kertas undi juga bukan dulang SPR, bahan dan saiznya berbeza.. banyak perkara dalam gambar tidak ikut SOP SPR," katanya.
Wan Ahmad berkata sehingga kini tiada sebarang laporan polis dibuat berkaitan dakwaan lampu padam dan itu membuktikan bahawa ia ternyata fitnah pembohongan yang direka-reka dan tidak berasas.
"Kalau ada lampu padam, tentulah ada ejen-ejen parti membuat laporan polis, mereka mewakili calon, mereka ada di tempat mengira undi, jika lampu padam dia yang akan mula-mula sekali berlari buat laporan polis, tetapi tidak.
"Malah pada malam pengiraan undi itu juga, saya apabila mendapat 'tweet' mengatakan lampu padam oleh 'cybertrooper' yang tidak bertanggungjawab, kita terus semak kawasan mana, kita semak dengan pengarah negeri kita, Pegawai Pengurus dan saluran sekolah yang dituduh tetapi ternyata tdak ada apa-apa," katanya.
0 comments:
Post a Comment