Selamat Hari Guru 2013 Dari Dewan Ulamak PAS
Sistem bidang tugas lemahkan peranan guru
KUALA LUMPUR: Peranan guru begitu besar dalam mendidik generasi demi masa depan yang cemerlang, namun peranan guru hari ini sedang dilemahkan oleh sistem dengan bidang tugas yang terlalu berat dan tidak menentu.
Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat, Datuk Abu Bakar Chik (gambar) berkata, orientasi baru yang dibebankan kepada guru pada hari ini antaranya pelaksanaan sistem Peperiksaan Berasaskan Sekolah (PBS) melemahkan peranan guru sebagai pendidik, pembinaan akhlak pelajar dan pembantu kepada masyarakat.
Malah katanya, guru akan menjadi pekerja dan robot yang mesti melaksanakan tugas sedangkan matlamat guru yang lebih besar bukanlah semata-mata untuk mencapai kecemerlangan akademik.
Oleh yang demikian, beliau dipetik laman rasmi PAS, menyeru supaya pihak-pihak yang berkenaan mengkaji semula sistem peperiksaan tersebut bagi memastikan peranan asas guru sebagai pembina syaksiah dan intelek terpelihara.
"Beban tugas tidak menentu dan terlalu berat dalam Peperiksaan Berasaskan Sekolah (PBS) menjadi suatu tanda tanya, sejauh mana keupayaan pihak kerajaan menanganinya dengan prasarana yang begitu lemah di semua peringkat dan juga dengan maklumat yang begitu 'detail' (terperinci)," katanya dalam sidang media selepas majlis makan malam bersama bekas-bekas guru di Kuala Terengganu, meraikan sambutan Hari Guru yang disambut di seluruh negara pada hari ini.
Beliau juga menegaskan, Hari Guru adalah hari kebanggaan buat semua kerana jasa dan pengorbanan yang dilakukan oleh para guru sebagaimana contoh yang ditunjukkan oleh guru yang paling agung, iaitu Nabi Muhammad SAW.
"Rasulullah SAW adalah tokoh yang paling agung di kalangan para guru, yang mempunyai contoh terbaik untuk diikuti oleh semua manusia,"ujarnya.
Turut hadir dalam majlis tersebut adalah Ahli Parlimen Kuala Nerus yang juga Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat, Dr. Ustaz Khairuddin Aman Razali, Timbalan Ketua Dewan Ulamak PAS Terengganu Ustaz Abu Bakar Abdullah dan Pengerusi Lajnah Pendidikan yang juga Bendahari PAS Terengganu, Cikgu M. Shukrimun Shamsuddin.
Harakahdaily.
Harakahdaily.
0 comments:
Post a Comment