“Transformers” yang ingin diciptakan Muhyiddin Yassin adalah transformers yang makanannya adalah lambakan fail, ribuan data dan ratusan ‘evidence’ PBS
Sumber Harakahdaily
Tidak dapat dinafikan keputusan PRU 13 telah memperlihatkan peningkatan sokongan golongan muda kepada parti pembangkang.
Walaupun belum dapat membentuk kerajaan, pihak Pakatan Rakyat sudah mampu tersenyum gembira kerana dalam diam, mereka telah berjaya menawan hampir keseluruhan bandar-bandar besar dan ibu negeri di Malaysia.
Antara punca utama Barisan Nasional kehilangan banyak kerusi adalah disebabkan generasi muda pada hari ini makin ramai yang menyokong Pakatan Rakyat.
Golongan yang distilahkan sebagai generasi Y ini adalah golongan yang lahir dalam era teknologi maklumat, suka berfikir dan tidak menerima sesuatu maklumat secara membuta tuli.
Mereka tidak menerima maklumat dari sebelah pihak sahaja tetapi lebih gemar menceduk maklumat daripada kedua-dua belah pihak menerusi internet dan akhbar.
Oleh itu, tidak hairanlah jika Utusan Malaysia dan Harakah kedua-duanya dibeli untuk dibawa balik ke rumah, dibaca dan dikaji.
Walaupun menang, keputusan PRU baru-baru ini telah membuatkan Najib tidur tak lena, mandi tak basah. Najib sedar kedudukannya tergugat dan semakin terancam.
Ini kerana sungguhpun Barisan Nasional memenangi 133 kerusi Parlimen dan menang mudah bagi membolehkan parti itu terus memerintah, tetapi presidennya seolah-olah sedar bahawa Barisan Nasional hanya menunggu masa untuk dimakamkan.
Atas kesedaran inilah, presidennya mengeluarkan kenyataan bahawa beliau sedia memperbaiki kelemahan dalam pentadbirannya dan bersedia mendengar masalah rakyat demi memastikan jentera pentadbiran Barisan Nasional berada dalam kedudukan yang lebih selesa pada PRU 14.
Itu Najib Tun Razak. Bagaimana pula dengan timbalannya, Muhyiddin Yassin yang masih dikekalkan sebagai Menteri Pelajaran? Mungkin kini beliau sedang berangan-angan di atas kerusi empuknya untuk mencipta kuasa enjin paling tinggi supaya guru-guru dapat menjadi “Transformers” paling lasak seiring dengan transformasi yang dilaung-laungkan.
Bezanya, Tranformers ini tidak melawan Megatron, tetapi “Transformers” yang ingin diciptakan Muhyiddin Yassin adalah transformers yang makanannya adalah lambakan fail, ribuan data dan ratusan ‘evidence’ PBS (Pentaksiran Berasaskan Sekolah).
Inilah Transformers impian Muhyiddin. Transformers yang mampu bekerja 24 jam tanpa berasa penat, tak perlu tidur, tak perlu makan dan tak perlu berehat.
Adakah Muhyiddin (gambar) tahu bahawa beliau kini semakin dibenci oleh warga pendidik lantaran ketidakpeduliannya dalam menjaga kebajikan warga guru? Nampak bayangan Muhyiddin di kaca televisyen pun sudah cukup untuk membuatkan tekak berasa loya dan mual.
Sedarkah beliau para guru bekerja lebih dari 9 jam sehari termasuk waktu yang diperuntukkan di rumah? Itu belum mengambil kira kedatangan pada hari Sabtu dan Ahad untuk program-program sekolah, kelas tambahan, melatih para pelajar dalam aktiviti koakademik (contohnya perbahasan dan pidato), sukan (contohnya bola baling dan bola sepak) serta aktiviti unit beruniform (contohnya kawad kaki).
Ingatlah, kami tidak pernah meminta supaya pengorbanan dan jasa kami dikenang. Apa yang kami minta adalah supaya orang atasan prihatin dengan masalah yang kami hadapi. Bila kami suarakan keluhan, Muhyiddin menjawab, “Multi tasking bukan hanya berlaku di sekolah, tetapi di tempat lain pun berlaku ‘multi tasking’”.
Tetapi tahukah anda ‘selama enggang mengeram selangkas betik berbuah’ itulah yang kami lakukan saban hari? Jika dikaji baik-baik, 70 peratus daripada tugasan yang kami laksanakan adalah tugas-tugas di luar bidang pengajaran.
Kalau masih tidak percaya lihat sahajalah pada hari sukan, yang tercegat di bawah matahari menjadi pengadil untuk pelbagai acara sukan adalah guru dan terbongkok,-bongkok mengutip sampah bersama pelajar selepas acara sukan juga guru.
Tetapi ini bukanlah masalahnya. Masalah kami pada hari ini adalah tugas yang kami terpaksa laksanakan semakin bertambah dan terus bertambah di bawah pentadbiran Muhyiddin sehingga kami sudah tidak ada masa untuk menanda buku latihan dan kertas peperiksaan pun terpaksa ditanda ala kadar.
Tidak kurang juga guru yang memberikan jawapan kepada pelajar dan yang paling membimbangkan apabila kesuntukan masa markah pelajar dimasukkan dalam SPPBS (Sistem Pengurusan Pentaksiran Berasaskan Sekolah) secara rawak atau ‘pakai belasah’.
Pelaksanaan PBS yang tidak mengikut prosedur adalah rahsia terbuka di bilik guru. Jadi di manakah ‘validity’ PBS ini?
Ketiadaan ‘validity’ dalam PBS adalah antara punca mengapa PBS tidak diiktiraf oleh golongan pendidik dan ibubapa. Penolakan golongan pendidik terhadap sistem PBS juga terbukti apabila Peperiksaan Akhir Tahun untuk pelajar Tingkatan Satu dan Tingkatan Dua masih dijalankan di sekolah bagi mencari pelajar terbaik untuk Hari Anugerah Cemerlang.
Sekiranya guru-guru mengiktiraf PBS, sudah tentu pelajar terbaik akan dipilih berdasarkan keputusan PBS tanpa perlu diadakan lagi Peperiksaan Akhir Tahun.
Apa yang akan saya jawab pada Allah S.W.T nanti kerana tidak melaksanakan tanggungjawab dengan jujur dan telus? Saya juga tidak mahu mengheret Muhyiddin bersama-sama saya di neraka kerana ketidaktelusan dalam PBS.
Jujurnya, kami, guru-guru terpaksa melakukan penipuan secara halus ini sejak PBS diperkenalkan kerana kami memang tidak menang tangan walaupun telah mengorbankan masa tidur dari tujuh jam menjadi tiga jam.
Kami diambil tindakan tegas sedangkan kami hanya meluahkan perasaan kepada sahabat handai dan keluarga di laman sosial. Salahkah kami jika meluahkan perasaan terhadap bebanan kerja di sekolah yang membuatkan kami ditimpa pelbagai penyakit seperti darah tinggi, ‘depression’ dan ‘migrain’?
Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi haruslah mengambil iktibar kekalahan dua orang timbalan menterinya iaitu Dr Puad Zakarshi dan Datuk Saifuddin Abdullah.
Benarkah kejatuhan kedua-dua timbalan menteri ini adalah satu kebetulan? Atau mungkinkah kejatuhan dua nama besar ini disebabkan ketidakpuasan di hati rakyat, khususnya ibubapa dan guru-guru terhadap sistem pendidikan yang dilihat semakin bercelaru? Fikir-fikirkanlah, renung-renungkanlah dan tenung-tenungkanlah.
Guru-guru yang ditangkap mengeluarkan kenyataan yang bersifat memprotes akan ditukar tempat kerja atau dibuang terus. Ini adalah satu tindakan bodoh kerana sudah tentu kebencian yang sedia ada akan bertambah dengan momentum protes yang lebih kencang.
Kepada yang dibuang kerja bukan sahaja mendapat simpati, bahkan mempunyai lesen lebih besar untuk menghentam kerajaan kerana sudah tidak terikat dengan mana-mana pihak.
Jika kita kaji betul-betul, PRU kali ini menyaksikan polarisasi kaum yang hebat. Majoriti kaum Cina dilihat lebih senang dengan parti pembangkang lebih-lebih lagi DAP. Jika golongan guru yang majoritinya orang Melayu juga tidak menyokong kerajaan ke manakah halatuju dan masa depan Barisan Nasional pada PRU akan datang?
Besarlah harapan kami, guru-guru di seluruh Malaysia agar Perdana Menteri dapat mengkaji semula sistem PBS yang pada pendapat kami, golongan pendidik, para ibu bapa dan pelajar tidak ada ‘validity’.
Dalam kekalutan berhadapan dengan PBS, timbul ura-ura yang mengatakan pelajar tingkatan 3 pada tahun hadapan akan menjalani pentaksiran berpusat yang menyamai PMR untuk menentukan sama ada mereka layak untuk memasuki aliran Sains, Perakaunan atau Sastera bagi kemasukan ke Tingkatan Empat. Pelbagai persoalan bermain di benak kami. Antaranya:
1. Mengapa perlu ada pentaksiran berpusat lagi setelah pemansuhan PMR (Penilaian Menengah Rendah)?
2. Mengapa kemasukan pelajar ke tingkatan 4 untuk aliran Sains, Perakaunan dan Sastera tidak dibuat berdasarkan keputusan PBS?
3. Adakah ini bermakna Kementerian Pelajaran juga tidak mengiktiraf PBS?
Demi mendapatkan nama, apa-apa sahaja yang menampakkan berlakunya transformasi diserap tanpa diselidiki dan dikaji terlebih dahulu dan yang menjadi mangsa adalah para pelajar dan guru. Ingatlah, sistem pendidikan bukanlah bahan ujikaji.
Najib juga ada mengatakan untuk memberi perhatian segera dalam mengurangkan beban tugas guru melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025).
1. Hadkan penglibatan ko-kurikulum di semua sekolah kepada salah satu sahaja sama ada unit beruniform, sukan atau kelab. Jika ingin juga melaksanakan program-program ko-kurikulum dan menjalankan dasar ‘1 Murid, 1 Sukan’ mungkin pihak kementerian boleh mempertimbangkan untuk membawa masuk pegawai dari Jabatan Belia dan Sukan dan berikan mereka sedikit elaun untuk memantau dan merancang aktiviti ko-kurikulum pada setiap hari di sebelah petang.
3. Selain itu keluarkan arahan rasmi kepada Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) dan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) agar tidak lagi membebankan guru-guru dengan pemantauan berbagai-bagai fail kerana pada pendapat saya penilaian terhadap prestasi seseorang guru itu perlu dilihat dari aspek pengajaran dan bukannya sistem dokumentasi yang nampak begitu gah dari luar, tetapi jarang dilaksanakan dengan baik.
4. Menteri Pelajaran juga harus sedar arahan untuk mengisi maklumat dalam pelbagai pangkalan data juga semakin menjadi-jadi pada hari ini sehingga kami terpaksa membeli ‘broadband’ semata-mata untuk kerja mengisi data.
Setiap unit di jabatan dan kementerian seperti berlumba-lumba untuk menampakkan kemantapan unit masing-masing dengan memperkenalkan pelbagai pangkalan data diisi. Ada kalanya kami terpaksa mengisi data yang sama berulangkali untuk JPN dan PPD.
Jika data sangat diperlukan oleh JPN atau PPD, turunkanlah beberapa orang JPN atau PPD selama seminggu khusus untuk pengisian data. Guru-guru boleh membantu untuk mengagihkan borang-borang kepada pelajar dan selebihnya diuruskan oleh JPN dan PPD kerana sememangnya kami tahu, pegawai PPD dan JPN sukakan maklumat online kerana ianya memudahkan kerja mereka.
Jadi pegawai JPN dan PPD perlu bersama-sama membantu kami, bukan hanya tahu mencari kelemahan guru-guru dan memalukan kami di bilik mesyuarat apabila pencerapan dilakukan atau apabila keputusan peperiksaan tidak baik. Selamilah juga apa yang kami terpaksa lalui kerana anda juga adalah bekas-bekas guru.
Sesungguhnya, Najib tidak boleh mengambil masa terlalu lama dalam memikirkan penyelesaian terhadap bebanan tugas guru. Sekiranya, kerajaan tidak mampu menggaji kerani, pembantu guru atau kakitangan luar, sudah sampai masanya pihak kementerian mengurangkan bebanan guru dengan mengehadkan aktiviti di sekolah, menghentikan prosedur penilaian yang berasaskan sistem dokumentasi dan mengurangkan arahan untuk mengisi maklumat dalam pelbagai jenis pangkalan data yang saya kira tidak praktikal kerana tanggungjawab seorang guru adalah mengajar dan bukannya meninggalkan kelas kerana kerja perkeranian.
Sudah sampai masanya PBS dihentikan dari terus manjadi bahan ujikaji untuk pelajar-pelajar lain. Jadilah kesilapan ini sebagai satu pengajaran agar pihak kementerian lebih berhati-hati dalam melaksanakan suatu sistem baru.
Demi kepentingan sistem pendidikan dan pelajar, saya cadangkan PMR dikembalikan semula dan PBS dikekalkan namanya tetapi diganti dengan kerja projek. Mungkin satu tahun pelajar boleh melaksanakan satu kerja projek yang menyumbang lebih kurang 30% dari markah keseluruhan PMR. Ini bermakna 10% markah diperuntukkan bagi satu kerja projek untuk satu tahun, bagi setiap matapelajaran.
Kepada Muhyiddin Yassin, nasihat saya, janganlah asyik ke hulu ke hilir menjaja cerita yang kementerian Tan Sri sedang bermesyuarat untuk menyelesaikan masalah bebanan guru. Kami sudah mula bosan dan putus asa dengan jawapan Tan Sri.
Pada tahun 2010, Tan Sri tubuhkan jawatankuasa khas untuk mengkaji bebanan tugas guru. Belum pun ada apa-apa penyelesaian terhadap isu yang dikekemukakan sebelum ini, timbul lagi kerja-kerja baru. Pada tahun 2012 Tan Sri perkenalkan pula PBS dan bermacam-macam lagi pangkalan data untuk diisi.
Habis dah…ingat lagi panjang lagi…komplen terbaik seakan mewakili guru Msia semuanya. MRM
0 comments:
Post a Comment