GBH vs PAS : Antara AKHLAK & PERJUANGAN
Gerakan Harapan Baru (GHB) adalah satu pasukan yang sedang bergerak laju dalam mencorakkan warna baru dalam arena politik tanah air.
Ada yang mengatakan mereka ini sebagai serpihan PAS walaupun masyarakat umum lebih memahami mereka ini adalah gabungan individu yang terkeluar daripada kepemimpinan PAS melalui pembersihan terancang dalam muktamar.
Maka, setelah kalah sepatutnya mereka duduk diam-diam sahajalah, buat apa-apa yang rasional dalam terus memajukan parti.
Sayang seribu kali sayang, keputusan yang mereka ambil adalah unik kerana mereka ingin meneruskan agenda yang lebih besar.
Ianya dalam erti kata meneruskan sistem dual parti politik di Malaysia untuk memantapkan blok pembangkang iaitu Pakatan Rakyat yang kini sedang punya pakatan yang longgar terutama daripada aspek sokongan umat Islam melalui PAS.
Blok Pakatan Rakyat ini dilihat aspek yang penting sebagai unit "check and balance" kepada Barisan Nasional iaitu kerajaan yang memerintah sejak daripada kemerdekaan sehingga sekarang.
Kekuatan sistem dual parti iaitu kerajaan dan pembangkang adalah penting agar rakyat sentiasa mendapat khidmat yang terbaik. sebagaimana konsep dua peniaga yang akan saling meningkatkan kualiti barangan dan servis kepada pembeli untuk memenangi hati mereka.
Penulis agak keliru dengan reaksi beberapa pemimpin dan organisasi yang mempunyai perbezaan pendapat dengan penubuhan GHB. Ini termasuklah pandangan terhadap organisasi yang mengusaha dan menyokong penubuhan gerakan ini terutamanya respons daripada PAS.
Setiap organisasi bebas untuk mempunyai perbezaan pendapat seperti mana juga bebasnya sesetengah pihak yang bersetuju dengan penubuhan GHB ini.
Semua pihak bebas untuk mempunyai pandangan mereka sendiri kerana kita berada dalam negara yang menghormati suara orang lain dalam pengamalan sistem demokrasi.
Umum memahami akan ada golongan yang cemas dan tercabar dengan kewujudan pesaing-pesaing baru.
Tetapi mereka sepatutnya melihat dari perspektif positif kerana ianya akan memantapkan lagi satu-satu organisasi itu apabila sudah mempunyai pesaing, lebih-lebih lagi gerakan yang persis kepada perjuangan mereka dengan lebih memahami gerak kerja antara satu sama lain. Ianya akan lebih mematangkan dan mengharmonikan ruang serta medan perjuangan.
Malahan lebih enak sekiranya dipandang sebagai rakan daripada melihatnya sebagai musuh. Tetapi adakah mereka mempunyai jiwa yang cukup besar untuk berpandangan sebegitu?
Perkara yang lebih penting daripada itu adalah berkaitan akhlak bagi seorang pemimpin.
Kita dapat melihat bagaimana sesetengah pemimpin PAS menyerang karektor dan peribadi individu-individu yang memperjuangkan dan menyokong GHB ini.
Apakah perkara ini akan menjadikan ahli-ahli PAS yang lain lebih taat kepada pemimpin mereka? Apakah serangan karektor ini wajar dilakukan oleh seorang Muslim kepada muslim yang lain? Ulama ke macam ni?
Tidak dinafikan teguran dan nasihat boleh diberi untuk untuk dipertimbangkan tetapi bukannya serangan peribadi yang dikhuatiri akan menjadi fitnah.
Apakah kita lupa rumah tangga Rasulullah SAW dan Ummul Mukminin Aisyah RA pernah difitnah sehingga menggoncangkan rumah tangga mereka sendiri.
Itu mereka yang punya iman yang tidak perlu kita cuba untuk banding dengan kita. Bagaimana mungkin kita yang punya iman setipis kulit bawang berani berbuat perkara-perkara sebegini?
Rakyat semakin pening dengan perang mulut, serangan tulisan, komen-komen tajam yang mana kesemuanya datang satu pakej dengan kata-kata yang menyindir, cercaan, dan perbuatan yang tidak mencerminkan akhlak yang sepatutnya ada pada setiap manusia lebih-lebih lagi muslim apatah lagi yang bergelar pemimpin.
Berlapang dadalah, mereka sedang memilih jalan juang mereka, hormatilah dan doakan mereka.
Sekiranya serangan diteruskan ianya seolah-olah menunjukkan PAS ragu-ragu dengan jalan perjuangan sendiri.
Sebaliknya rakyat sedang memerhatikan betapa mesra, berfikiran terbuka dan berakhlaknya kepemimpinan GHB ini dengan tulisan-tulisan yang mengalu-alukan nasihat, pandangan dan cadangan kepada mereka.
Malah memandang segala kritikan dengan positif. Apabila dibandingkan dengan kedua-dua perbezaan ini apakah yang kita mahu jangkakan? Berkaitan dengan perkara ini, dalam berpuluh-puluh tulisan dan pandangan, penulis amat tertarik dengan penulisan Hasrizal Abdul Jamil, pemilik laman sesawang "SaifulIslam.com" yang sangat popular di kalangan mahasiswa dengan tulisan-tulisan beliau yang menarik dan membumi bermula daripada perjuangan, isu rumah tangga, isu-semasa dan lain-lain.
Beliau punya pendapat yang agak bijaksana dalam isu GHB dan PAS kerana beliau terkait rapat kerana pernah bergelumang dalam PAS dan juga kenal peribadi yang kini memperjuangkan GHB.
Penulis melihat beliau lebih terbuka dan tegurannya juga lebih mengandungi hikmah dan bijaksana. Malah ada kritikan kepada beliau berkaitan perubahan yang dibawa tidak berjaya kerana idea pembaharuan itu dangkal dan bebal.
Penulis secara peribadi berpandangan idea-idea yang ada penolakan tidak semestinya kerana idea itu dangkal dan bebal. Ini adalah kerana terdapat pelbagai faktor dalam dan luaran yang menjadi punca kepada idea tersebut ditolak antaranya pentingkan diri sendiri, selesa berada di zon kenyamanan (comfort zone), dan mungkin idea yang dibawa adalah futuristik yang gagal untuk difahami mereka yang mempunyai visi dan misi yang kurang jelas.
Malah sebagai sebagai seorang yang ingin melakukan perubahan besar, janganlah kita terikut dengan nama atau konsep semata-mata yang penting buat permulaannya idea dan pelaksanaan tidak kira apa sekalipun jelmaan namanya.
Sekiranya nama sesuatu projek itu ialah hitam, tidak ada masalah sekiranya impak daripada projek itu adalah keindahan, ketenangan, kekayaan, keamanan dan redha Allah.
Ada apa pada nama? Nama boleh ditukar, boleh dijenamakan bergantung kepada suasana dan persekitaran.
Sekiranya semua memikirkan untuk memberikan nama yang unik dan tersendiri untuk anak-anak mereka, ya mungkin mereka merasakan mereka melakukannya tetapi selepas beberapa ketika mereka akan dapati banyak lagi nama yang sama wujud di muka bumi ini.
Walau apapun yang sedang menjalar, marilah sama-sama kita menjaga akhlak antara kita umat manusia, marilah kita tonjolkan nilai-nilai indah Islam sebagaimana indahnya akhlak junjungan besar Nabi Muhammad SAW sepanjang kehidupannya.
Mengambil contoh peristiwa tentangan kepada dakwah baginda di Ta'if, bagaimana baginda dibaling dengan batu-batu sehingga darah bertakung dalam kasutnya.
Insiden yang menggegarkan arasy Allah SWT, sehingga turunnya Malaikat Jibril A.S, bertanya pada baginda Ar-Rasul apakah mahu ditimpakan bukit yang akan melenyapkan terus kaum itu.
Boleh sahaja Rasulullah mengangguk bersetuju,tetapi alangkah indahnya akhlak ar-rasul yang digelar Al Amin ini: "Wahai Jibril, jangan lakukannya.
Biarlah aku bersabar terhadap kaumku. Semoga Allah akan melahirkan dari zuriat mereka orang-orang yang beriman kepada Allah." Rasulullah saw mendoakan kaum Taif, "Ya Allah, berilah petunjuk kepada kaumku.
Sesungguhnya mereka tidak mengetahui. Apakah kita gagah mengatakan kita pewaris nabi sedangkan akhlak ar-rasul kita tidak warisi? Moga Allah berikan hidayah dan taufik-Nya kepada semua daripada kita. Amin.
~ Amin Mohamed Sultan
Posted by Kedah Lanie
0 comments:
Post a Comment