IGP jamin permudahkan, bantu BERSIH 5 jika...
Pihak polis akan mempermudahkan rancangan perhimpunan BERSIH 5 jika gabungan reformasi pilihan raya itu bertindak mengikut Akta Perhimpunan Aman (PAA) 2011.
"Saya nasihatkan pihak penganjur BERSIH 5 untuk mematuhi semua prosedur dan mengikut peraturan serta peraturan yang dinyatakan di bawah PAA.
"PAA memperuntukkan perhimpunan aman dan polis akan mempermudahkannya.
"Jika mereka mengikut undang-undang, kita akan berikan bantuan," kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, memetik laporan oleh New Straits Times.
BERSIH hari ini secara rasmi mengumumkan akan mengadakan perhimpunan kali kelima dalam masa terdekat.
Menurut Pengerusi BERSIH, Maria Chin Abdullah, himpunan kali ini bertujuan menuntut tindakan lanjut mengenai skandal 1MDB.
Katanya, untuk tidak mengadakan himpunan bukan lagi satu pilihan berikutan tindakan Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat yang memfailkan saman sivil bagi merampas aset berkaitan dana 1MDB yang didakwa diselewengkan.
“Satu himpunan aman BERSIH 5 akan dianjurkan. Ini adalah lanjutan untuk meminta tindakan yang sewajarnya dan untuk akauntabiliti skandal 1MDB.
“Masa dan tarikh aksi BERSIH 5 akan diumumkan dalam masa terdekat," katanya.
Menurut Maria, ketika ini, BERSIH akan fokus untuk membina satu gerakan majmuk dengan penglibatan pelbagai pihak untuk menjayakan himpunan itu.
Terdahulu, Khalid dilaporkan berkata, BERSIH tidak boleh mengadakan perhimpunan kali kelima jika ia bertujuan menggulingkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
"Kami tidak akan membenarkannya kerana ada cara untuk meminta perdana menteri meletak jawatan seperti yang dinyatakan dalam undang-undang," ujarnya.
Malaysiakini.
Malaysiakini.
0 comments:
Post a Comment