Orang Asli, Pembalak 'Berebut' Tanah Adat
GUA MUSANG: Kawasan pembalakan di dalam hutan dekat sini menjadi 'rebutan' antara masyarakat orang asli dengan syarikat pembalakan.
Orang asli mendakwa sebidang tanah yang terletak antara Pos Tohoi dan Pos Simpor, kira-kira pemanduan selama dua jam 30 minit dari bandar Gua Musang adalah tanah nenek moyang mereka.
Pembalak pula mendakwa mereka diberikan konsesi untuk menebang balak di kawasan tersebut.
Pada Rabu, berlaku konfrontasi ganas antara masyarakat orang asli dan kakitangan syarikat pembalakan tersebut dengan tiga orang asli 'ditahan' lelaki yang mendakwa diri mereka sebagai anggota polis.
Mereka dibebaskan sebaik sahaja menyedari tiada anggota polis beruniform atau kenderaan polis di lokasi berdekatan.
Peguam dan juga aktivis orang asli, Siti Kasim yang bertemu dengan sekumpulan orang asli tersebut awal pagi Khamis ketika mereka pergi ke Balai Polis Daerah Gua Musang untuk membuat laporan polis, berkata masyarakat itu akan meneruskan perjuangan mereka.
MStar.
‘Dakwaan polis bantu runtuhkan sekatan Orang Asli perlu disiasat’
Sahabat Alam Malaysia (SAM) mahu pihak berkuasa untuk menyiasat dakwaan bahawa pihak polis dan Jabatan Perhutanan membantu pembalak untuk meruntuhkan sekatan oleh masyarakat Orang Asli tempatang di Gua Musang.
“Kami juga berasa bimbang tentang dakwaan para penduduk bahawa staf Jabatan Perhutanan dan pihak polis telah datang di dalam kenderaan persendirian bersama-sama dengan wakil-wakil syarikat ke tempat kejadian.
“Dakwaan ini mesti disiasat sepenuhnya oleh kedua-dua penguasa,” kata Presiden SAM, SM Mohamed Idris.
Beliau menggesa polis mengambil pendirian tidak berat sebelah dan menyiasat dakwaan berkenaan.
“Penduduk yang membantah operasi pembalakan tidak boleh diganggu atau diancam dengan penahanan disebabkan tindakan mereka untuk melindungi tanah adat mereka dari sebarang pencerobohan.
“Tindakan mereka ini adalah berdasarkan hak yang dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan, kebebasan untuk berhimpun secara aman dan hak untuk melindungi harta benda mereka,” katanya.
Beliau turut menggesa kerajaan negeri Kelantan dan Jabatan Perhutanan untuk mengkaji semula sistem pengeluaran lesen pembalakan, yang tidak mengendahkan proses pemberian izin berasaskan maklumat awal, bebas dan telus oleh masyarakat Orang Asli yang terjejas.
Pada Rabu lalu, beberapa aktivis Orang Asli mendakwa pembalak meruntuhkan sekatan mereka dengan gergaji rantai.
Mereka mendakwa pembalak yang disertai oleh pihak polis dan anggota Jabatan Perhutanan datang menaiki kenderaan yang disediakan oleh pihak pembalak.
Tiga daripada aktivis itu juga ditahan oleh beberapa lelaki yang mendakwa diri mereka sebagai anggota polis.
Walau bagaimanapun, terdapat keraguan jika mereka benar-benar anggota polis.
Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintendan Rejab Ahad Ismail ketika dihubungi berkata, anggota polis tidak terbabit dalam menahan aktivis Orang Asli itu.
Malaysiakini.
0 comments:
Post a Comment