Pakatan Harapan Perak isytihar sokongan penuh terhadap Bersih 5
Pakatan Harapan Perak mengisytiharkan sokongan penuh terhadap perhimpunan aman Bersih 5 pada 19 November ini.
Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, seluruh tuntutan Bersih 5 khususnya menuntut pilihan raya yang adil dan bersih selari dengan matlamat Pakatan Harapan sama ada di peringkat nasional mahupun negeri.
"Saya sendiri semasa sidang dun 15 November akan mengumumkan dan menyatakan penglibatan Pakatan Harapan dalam menjayakan program dan tuntutan Bersih 5 pada 19 November kerana seluruh tuntutan itu adalah sama dengan perjuangan dan matlamat Pakatan Harapan," katanya sewaktu berucap di Konvensyen Pakatan Harapan Perak di Ipoh hari ini.
Enam tuntutan Bersih 5 adalah pilihan raya bersih; hapuskan rasuah; kukuhkan demokrasi; mansuhkan undang-undang zalim; hak membantah; dan memperkasa hak Sabah dan Sarawak.
Nizar yang juga bekas Menteri Besar Perak juga berkata, Pakatan Harapan harus membuang perasaan dendam terhadap peristiwa lama demi menyelamatkan Malaysia.
"Jangan ikutkan perasaan dendam. Saya tengok pimpinan Pakatan Harapan mempamerkan kepimpinan yang paling mantap.
"Lim Kit Siang pernah dianiaya sewaktu pemerintahan Mahathir, Anwar Ibrahim, Mohamad Sabu juga pernah dianiaya. Tapi ketiga-tiganya mempamerkan sikap yang terbuka dengan menerima kehadiran parti Bersatu untuk menyelamatkan negara.
"Jadi kami pendamkan dendam untuk menyelamatkan Perak," kata Timbalan Pengerusi Amanah Perak itu yang menjadi mangsa peristiwa rampasan kuasa oleh kerajaan BN di Perak pada tahun 2009.
Sementara itu, dalam konvensyen hari ini ketiga-tiga parti - Amanah, PKR dan DAP sebulat suara menyatakan iltizam untuk mengukuhkan Pakatan Harapan Perak bagi menghadapi pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
Pengerusi ketiga-tiga parti, Asmuni Awi (Amanah); Dr Muhammad Nur Manuty (PKR); dan Nga Kor Ming (DAP) menyampaikan ucaptama dalam konvensyen yang dihadiri kira-kira 1,000 perwakilan daripada ketiga-tiga parti.
0 comments:
Post a Comment