Friday 14 April 2017

[Video Nasha Diminta Letak Jawatan Penasihat SPRM] Akuan berkanun Rafizi 'Dana 1MDB' ke akaun Nasha & Imej Pas tercalar teruk!

Jumaat, 14 April 2017

Akuan berkanun Rafizi Ramli berhubung dana 1MDB ke akaun Nasharudin

Bahawa saya, MOHD RAFIZI BIN RAMLI (No Kad Pengenalan 770914-11-5025) yang beralamat di A405, Kyoto Garden Condominium, Bukit Antarabangsa 68000 Ampang dengan ini membuat akuan berkanun mengikut Akta Akuan Berkanun bagi tujuan mendedahkan satu perlakuan yang bertentangan dengan undang-undang negara melibatkan sejumlah wang syarikat milik negara kepada seorang tokoh politik Pas yang dibayar melalui akaun peribadi YAB Dato’ Seri Najib Tun Razak, Perdana Menteri Malaysia.

Oleh itu, saya dengan ini mengisytiharkan perkara-perkara berikut:

Pada 28 Januari 2017, saya telah bertemu dengan seorang bekas pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk bertanya khabar setelah beliau bersara dari perkhidmatan kerajaan. Itu adalah kali pertama saya mempunyai apa-apa komunikasi dengan beliau baik secara elektronik atau bersua muka.

Beliau adalah pegawai SPRM terkanan yang mengetuai siasatan ke atas dana 1MDB dan keterlibatan YAB Dato’ Seri Najib Tun Razak, Perdana Menteri Malaysia di dalam skandal tersebut. Oleh itu, beliau mempunyai maklumat yang sahih dan terperinci mengenai siasatan dan aliran dana dari 1MDB ke akaun peribadi Perdana Menteri; seterusnya ke akaun-akaun tokoh politik lain.

Kami berkongsi maklumat dan pengetahuan sebagai rakyat biasa mengenai kes 1MDB kerana beliau kini bukan lagi kakitangan kerajaan.

Beliau menyebut kepada saya bagaimana siasatan SPRM turut mengesan sejumlah wang yang dibayar dalam bentuk cek dari akaun peribadi YAB Dato’ Seri Najib Tun Razak, Perdana Menteri kepada Dr. Nasharuddin Mat Isa, mantan Timbalan Presiden Pas.

Butiran lanjut mengenai bayaran tersebut seperti yang disebut secara lisan kepada saya adalah seperti berikut:

Siasatan SPRM ke atas SRC International Sdn Bhd mendapati sejumlah dana SRC International Sdn Bhd telah dipindahkan ke akaun peribadi YAB Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Dari akaun peribadi YAB Dato’ Seri Najib Tun Razak, terdapat bayaran kepada peguam tertentu.

SPRM telah menyoal siasat peguam tersebut dan mendapatkan bukti tokoh-tokoh yang dibayar menggunakan wang SRC International Sdn Bhd yang disalurkan melalui peguam tersebut.

Salah seorang dari penerima bayaran dari peguam tersebut adalah Dr Nasharuddin Mat Isa, mantan Timbalan Presiden Pas.

Saya tidak dapat mengesahkan sama ada peguam yang dimaksudkan adalah Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak yang pernah didakwa menerima sejumlah RM3.5 juta dari akaun peribadi YAB Dato’ Seri Najib Tun Razak, seperti yang didakwa oleh laman Sarawak Report yang turut menunjukkan butiran pemindahan wang seperti berikut:

Dipetik dari laporan Sarawak Report

Pegawai penyiasat terkanan SPRM itu turut memaklumkan saya bahawa seorang wakil rakyat dari Parti Islam Se-Malaysia (Pas) iaitu Dato' Dr Ustaz Mohd Khairuddin Aman Razali, Ahli Parlimen Kuala Nerus pernah datang berjumpa dengan beliau untuk mendapatkan kesahihan penglibatan YAB Dato’ Seri Najib Tun Razak dalam skandal 1MDB dan dakwaan pemindahan wang ke akaun peribadi Perdana Menteri.

Pegawai penyiasat terkanan itu memaklumkan saya bahawa beliau ada memberi maklum balas kepada permintaan mendapatkan kesahihan dari pimpinan Pas itu.

Saya percaya maklumat ini wajar diketahui oleh rakyat terutamanya mengenai aliran dana SRC International Sdn Bhd ke akaun peribadi YAB Dato’ Seri Najib Tun Razak yang kemudiannya disalurkan kepada tokoh-tokoh tertentu; terutamanya seorang mantan pimpinan tertinggi Pas, Dr Nasharuddin Mat Isa yang paling lantang memperjuangkan kerjasama Umno dan Pas.

Perkara ini ada unsur salah guna kuasa yang boleh disiasat di bawah pelbagai undang-undang negara sekiranya bayaran kepada seorang mantan pimpinan Pas itu adalah pertukaran kepada usaha melunakkan suara Pas (sebagai parti pembangkang utama) dalam isu-isu bersabit skandal 1MDB dan pemindahan wang ke akaun YAB Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Saya juga nekad untuk mendedahkan perkara ini kerana Dr. Nasharuddin Mat Isa juga telah dilantik oleh YAB Dato’ Seri Najib Tun Razak sebagai ahli Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) SPRM. Sebagai seorang penerima dana rakyat 1MDB (melalui SRC International Sdn Bhd) yang telah disiasat oleh SPRM, beliau tidak layak berada di kedudukan itu dan wajar meletakkan jawatan segera.

Dengan pendedahan ini, saya berharap rakyat sedia maklum bahawa kertas siasatan SPRM ke atas dana SRC International Sdn Bhd yang dipindahkan ke akaun peribadi YAB Dato’ Seri Najib Tun Razak telah siap dan lengkap dengan bukti kepada siapa bayaran-bayaran telah dibuat.

Mengambil kira kenyataan Peguam Negara bahawa siasatan ke atas SRC International Sdn Bhd masih belum ditutup, saya akan membuat satu laporan kepada SPRM untuk membuka kembali siasatan ke atas dana SRC International Sdn Bhd yang dipindahkan ke akaun peribadi YAB Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Saya dengan ini mengesahkan kesemua kenyataan di atas adalah maklumat-maklumat mengenai pemindahan wang SRC International Sdn Bhd yang saya ada. Saya membuat akuan ini dengan percaya bahawa akuan ini benar dan mengikut peruntukan Akta Akuan Berkanun 1960.

Diperbuat dan sesungguhnya diakui oleh
saya, MOHD RAFIZI BIN RAMLI
di Sungai Besi
di negeri Wilayah Persekutuan
pada 13 April 2017

Di hadapan saya

PESURUHJAYA SUMPAH


GB.
Pas tercalar teruk, Nasharudin boleh saman Rafizi bersihkan namanya kata AMANAH


KUALA LUMPUR: Imej Pas akan tercalar selagi bekas Timbalan Presiden Pas, Datuk Nasharudin Mat Isa, yang masih menganggotai parti Islam itu, tidak tampil membersihkan namanya selepas didakwa menerima dana berkait 1MDB, kata seorang bekas pemimpin Pas.
Salahuddin Ayub, kini Timbalan Presiden AMANAH, berkata pendedahan Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli mengenai Nasharudin itu bukan tuduhan biasa, tetapi menggunakan akuan berkanun yang menurutnya mempunyai kesan besar dari segi perundangan.
"Oleh kerana Rafizi gunakan akuan bersumpah yang ditandatanganinya semalam, maknanya ia bukan tuduhan biasa.
"Oleh kerana kita ini orang politik, setelah apa berlaku ini memberi kesan kepada parti yang kita berada ketika itu, kecuali kita dapat tampil dan bersihkan nama kita.
"Saya harap Nasharudin tampil dan jelaskan. Itu bukan satu pertuduhan seperti di ceramah tetapi pendedahan yang berdasarkan nilai perundangan. Maka ia terpulang kepada Nasharudin untuk tampil ke depan bersihkan nama," katanya kepada FMT.
Akuan berkanun yang ditandatangani Rafizi semalam mendakwa Nasharudin, yang kini mengetuai Gerakan Kesederhanaan Global (GMM) tajaan Putrajaya, menerima sejumlah wang yang didakwa berasal dari SRC International, anak syarikat 1MDB yang menjadi fokus kontroversi sejak 2 tahun.
Rafizi, berdasarkan percakapannya dengan seorang bekas pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), mendakwa dana tersebut pada awalnya disalurkan ke akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, dan kemudian, sejumlah wang disalurkan kepada peguam tertentu sebelum sampai ke akaun Nasharudin.
Rafizi berkata perkara itu turut diketahui Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas, Khairuddin Aman Razali.
Salahuddin berkata, Nasharudin boleh melantik peguam bertindak terhadap Rafizi jika merasakan imej dan kredebilitinya tercabar dengan pendedahan itu.
Manakala SPRM, katanya, perlu siasat dan mengambil tindakan sewajarnya mengikut nilai perundangan yang ada.
Jambatan PAS-Umno
Sementara itu, seorang lagi pemimpin AMANAH, Datuk Raja Bahrin Shah menyelar tindakan Pas yang menjarakkan diri daripada Nasharudin selepas Rafizi mendakwa beliau menerima dana berkait 1MDB.
Katanya, Nasharudin ketika dalam Pas suatu ketika dulu merupakan jambatan antara Pas dan Umno.
"Untuk mereka mengatakan Nasharudin tidak mempunyai kaitan dengan Pas, itu tidak benar.
"Sedangkan dia memainkan peranan penting dalam kerajaan ketika dalam kepimpinan Pas… sehingga sekarang main peranan penting antara 2 parti itu," katanya.
Nasharudin yang tewas dalam pertandingan jawatan timbalan presiden kepada Mohamad Sabu pada 2011, kekal sebagai ahli Pas walaupun tidak aktif dalam kepimpinan tertinggi parti.
Beliau pada satu ketika didakwa giat berunding usaha mewujudkan kerajaan perpaduan Umno dan Pas, yang menerima kecaman Mursyidul Am Pas ketika itu, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
"Kita tidak pecat tapi kalau ia melibatkan kesalahan undang-undang, SPRM dan Bank Negara, pihak berwajib boleh mulakan siasatan," kata Naib Presiden Pas, Idris Ahmad, yang bagaimanapun berkata Pas tidak ada kena mengena dengan Nasharudin.
Najib berulangkali nafi mengambil dana berkait 1MDB sebanyak AS$700 juta seperti didedahkanThe Wall Street Journal pada 2015. Sebaliknya, beliau mendakwa ia derma dari Kerajaan Arab Saudi untuk membantu kempen pilihan raya Barisan Nasional pada 2013.
Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali juga membersihkan nama Perdana Menteri daripada sebarang salah laku.
Posted by Kedah Lanie

0 comments:

Post a Comment

Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena