Friday, 21 April 2017

[LIVE Ceramah Pelancaran PH Kemaman & Razali Hussain Cahaya Tasbih] Pemimpin kata negara bawa keuntungan tapi rakyat masih susah.

Jumaat, 21 April 2017

Pemimpin kata negara bawa keuntungan tapi rakyat masih susah

Pelakon dan penyanyi Razali Hussain tidak gentar dengan sebarang cemuhan rakan artis atau peminatnya apabila beliau secara terbuka hadir dalam siri ceramah di pentas pakatan pembangkang.
 Bahkan kesibukannya beberapa tahun kebelakangan menguruskan perniagaannya, menyebabkan beliau mengurangkan sedikit aktiviti seni dan lebih menumpukan bidang keusahawanan yang diceburinya sejak 6 tahun lalu.
Walaupun pelakon utama teater 'Uda dan Dara' (2015) dan 'Pasrah' (2013) ini, agak sedikit gementar untuk menjawab soalan politik semasa diajukan kepadanya, kerana di luar kebiasaan soalan gosip dunia hiburan, pelakon filem 'Santau' ini, sedia memberikan kerjasama.
"Kita ini bergantung pada media yang ada sekarang. Kalau diterbitkan pandangan-pandangan politik ini kononnya artis itu cakap macam ini - mana yang didapati sokong pembangkang nanti tidak ada bisnis pula," ujarnya membuka bual bicara.
Beliau hadir dalam siri Ceramah Umum 'Undur Najib Selamatkan Malaysia' yang dihadiri barisan pemimpin Pakatan Harapan di Kampung Pandan Dalam pada malam Rabu lalu.
Tapi saudara pakai baju parti  hadir di sini, walaupun saudara dikenali tidak bimbang kah? duga penulis lagi.
"Ini pilihan peribadi. Kalau saya pakai baju ini (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) tidak semestinya saya akan pilih wakil rakyat Bersatu.
"Tidak semestinya ahli Umno akan pangkah BN...kalau dia ahli Umno tapi calon di kawasan itu ahli MIC atau MCA?
"Atau jika kita tidak jadi ahli Pas... adakah kita kafir?
"Sebenarnya rakyat yang nak ubah kerajaan. Itu perjuangan masing-masing dan parti mana yang mereka nak pilih itu pilihan mereka," ujarnya memberikan pandangan.
Ditanya mengenai jenis perniagaan yang diceburinya, beliau enggan mendedahkan kepada Malaysia Dateline tetapi secara berterus terang beliau akui agak sukar untuk berniaga sejak dua tahun lalu.
"Saya sudah hampir 6 tahun tidak berlakon filem dan drama kerana memberi tumpuan lebih dalam perniagaan, jadi bidang seni sudah menjadi `secondary' kepada saya.
"Jika pemimpin kita kata, negara bawa masuk'keuntungan' tetapi mengapa pula rakyat terasa susah untuk berniaga sejak dua tahun kebelakangan ini- tiada keuntungan," ujarnya.
Razali yang memulakan kerjaya sebagai anak seni sejak muncul dalam rancangan realiti tv 'Audition' musim kedua tahun 2005, sejak itu bakatnya terus diberikan tempat di dalam filem, teledrama dan teater tanahair dan pernah merakamkan mini album.
Razali,41, turut berpandangan sebagai seorang rakyat, mempunyai dua pilihan.
Sama ada seseorang itu mahu terlibat berpolitik secara serius atau seseorang itu berhak untuk membuang undi  untuk memilih mana-mana parti.
"Saya hanya bekas ahli biasa Umno.Saya tidak minat berpolitik tetapi saya ikuti perkembangan politik.
"Pengalaman saya bersama isteri pergi membuang undi, saya melihat ramai generasi muda DAP beratur menunggu giliran mereka membuang undi. Tetapi orang muda Melayu lebih kepada ikut-ikutan bukannya perjuangan.
"Kita buka mata sahaja kita sudah tahu senang atau susah, kita sudah faham situasi semasa berlaku.
"Bukan kerana kita ikut mana-mana parti. Sebab itu pentingnya membuang undi," ujar penyanyi yang  popular dengan lagu 'Antara Cinta dan Airmata' dan 'Cahaya Tasbih' ini.
Walaupun beliau menyertai parti Bersatu, pertemuan malam itu adalah siri ceramah pertama yang dihadirinya sebagai seorang ahli kepada sebuah pertubuhan politik baharu tujuh bulan diluluskan pendaftarannya itu.
Sambungnya lagi,"Saya tidak pernah sertai mana-mana ceramah politik sebelum ini.Perjuangan hari ini dalam Pakatan Harapan hanya untuk memperbetulkan kerajaan Umno-BN.
"Di sini saya nampak sebenarnya, perjuangan Tun Dr Mahathir dari awal, tidak sampai pun hingga mahu menubuhkan parti baharu kerana beliau mahu perdana menteri turun dan ganti dengan orang lain.
"Kalau boleh dari awal ditubuhkan parti ini, sebenarnya tidak mahu ahli-ahli Umno masuk dalam Bersatu tetapi ramai pula yang nak keluar Umno masuk Bersatu.
"Jika ayahanda Datuk Seri Najib ambil nasihat Tun untuk berundur, saya rasa Bersatu tidak jadi parti serpihan daripada parti Umno, tetapi ayahanda Najib tidak mahu turun," luahnya agak sedikit kecewa.
Penyertaannya dalam Bersatu hanya sebagai ahli biasa dan beliau tidak berhajat untuk serius berpolitik.

0 comments:

Post a Comment

Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena