Masjid di Mesir diserang, sekurangnya 235 terbunuh
Bom diletupkan di masjid Rawda, hampir 40 kilometer di barat Sinai Utara sebelum penembak melepaskan tembakan kepada umat Islam yang berkumpul untuk menunaikan solat Jumaat. – Gambar AFP, 24 November, 2017.
LELAKI bersenjata menyerang sebuah masjid yang sesak di daerah Sinai Utara, Mesir pada Jumaat dan meletupkan bom, membunuh sekurang-kurangnya 235 orang menjadikannya salah sebuah serangan terburuk di negara itu, lapor media tempatan.
Bom diletupkan di masjid Rawda, hampir 40 kilometer di barat Sinai Utara sebelum penembak melepaskan tembakan kepada umat Islam yang berkumpul untuk menunaikan solat Jumaat, kata pegawai.
Media negara itu melaporkan sekurang-kurangnya 235 terbunuh dan 130 lagi cedera dalam serangan itu, terburuk pernah berlaku ketika kumpulan pelampau Islam mula memberontak sejak empat tahun lepas.
Kumpulan Negara Islam Syria dan Iraq (IS) cawangan Mesir sudah membunuh ratusan polis dan tentera serta orang awam yang didakwa bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam siri serangan di utara Semenanjung Sinai. Mereka juga menyasarkan pengikut Sufi serta penganut Kristian.
Mangsa termasuklah orang awam dan jemaah yang sedang bersolat di masjid itu.
Seorang pemimpin puak dan ketua militia Bedouin yang memerangi IS memberitahu AFP yang masjid itu dikenali sebagai tempat berhimpunnya pengikut Sufi.
IS berkongsi pandangan Salafi yang menganggap Sufi sebagai ajaran sesat.
Militan sebelum itu menculik dan memenggal seorang pemimpin Sufi menuduhnya mengamalkan sihir yang dilarang Islam, dan menculik penganut Sufi sebelum membebaskannya selepas “bertaubat”.
Kumpulan itu juga membunuh lebih 100 orang penganut Kristian dalam letupan dan tembakan di sebuah gereja di Sinai dan kawasan lain di Mesir, memaksa ramai penganut agama itu meninggalkan Semenanjung Sinai.
Pihak tentera bergelut untuk memerangi militan yang berikrar taat setia kepada IS itu pada November 2014.
IS berulang kali menyerang tentera dan polis di semenanjung yang bersempadanan dengan Israel dan Tebing Gaza itu, walaupun serangannya semakin berkurangan sejak tahun lepas.
Militan juga meningkatkan serangan terhadap orang awam, bukan sahaja menyerang penganut Kristian dan pengikut Sufi tetapi juga penduduk kaum Bedouin yang tinggal di Sinai mendakwa mereka bekerjasama dengan tentera.
Selain IS, Mesir juga berdepan ancaman militan setia kepada Al-Qaeda yang menguasai Libya.
Sebuah kumpulan menggelarkan diri mereka Ansar al-Islam mengaku bertanggungjawab ke atas serangan pada Oktober di Western Desert, Mesir yang membunuh sekurang-kurangnya 16 anggota polis.
Kebanyakan yang terbunuh dalam serangan itu adalah anggota pasukan Perkhidmatan Keselamatan Nasional.
Tentera kemudiannya melancarkan serangan udara ke atas penyerang, membunuh pemimpin mereka, Emad al-Din Abdel Hamid, salah seorang militan paling dihendaki yang merupakan bekas pegawai tentera sebelum menyertai sekutu Al-Qaeda di kubu kuat militan itu di Libya. – AFP, 24 November, 2017.
The Malaysian Insight
0 comments:
Post a Comment