Thursday 30 November 2017

[Video SAMBUTAN HEBAT ORANG MELAKA~Penerimaan PH Membuktikan Rakyat Mahu Perubahan] Perjanjian Tanam Semula kini menjerut peneroka FELDA...Kerajaan PH akan menyemak semula perjanjian ini demi memastikan hak peneroka akan terus terbela.

Jumaat, 1 Disember 2017

Image result for Gambar peneroka Felda
Generasi baru dan lama Felda tidak berbangga dengan mempunyai saham FGV 
(Felda Global Ventures) sebagai peningkatan taraf hidup mereka.

Perjanjian Tanam Semula kini menjerut peneroka


Perjanjian Tanah Semula antara Felda dengan penerokanya lebih satu dekad yang lalu kini menjadi kontroversi apabila peneroka dibebani hutang yang banyak manakala hasilnya pula jauh lebih rendah dari ladang yang diusahakan sendiri peneroka.

Kanun AMANAH membuat kajian  ke atasnya dan memberikan beberapa cadangan kepada peneroka sebagai jalan penyelesaiannya.
Ikuti kupasan badan perundangan AMANAH, Kanun mengenai perjanjian ini yang kini sedang hangat diperkatakan.
Lebih sedekad yang lepas, Felda telah menawarkan skim penanaman semula kelapa sawit kepada peneroka Felda. Lebih daripada 90% peneroka telah memasuki Perjanjian Pengurusan Tanam Semula dan terikat dengan perjanjian itu.
Hampir keseluruhan peneroka yang menandatangani perjanjian itu pasti tidak mendapatkan nasihat guaman dan perundangan sebelum menandatangani perjanjian tersebut.
Walaupun perjanjian itu ditandatangani dengan rela hati oleh peneroka tetapi mereka memasuki perjanjian itu dalam keadaan tidak memahami kesan dan akibat perjanjian itu.
Kesan itu hanya dirasai setelah beberapa tahun perjanjian itu berjalan iaitu apabila mereka merasa kehidupan mereka terhimpit dengan hutang Felda yang bertimbun-timbun sedangkan peneroka yang tidak menandatangani perjanjian itu telah menikmati hasil wang ringgit yang lebih mewah berbanding peneroka yang menandatangani perjanjian itu.
Antara isi penting Perjanjian Tanam Semula itu adalah bahawa peneroka hendaklah bersetuju untuk melantik Felda atau agensi dalam kumpulannya untuk menanam semula kelapa sawit dan seterusnya menjalankan kerja penyelenggaraan.
Kelapa sawit yang berusia 20 tahun ke atas lazimnya adalah sudah tidak produktif dan perlu ditanam semula untuk menjamin hasil sawit yang berterusan. Atas dasar itu, Felda telah menawarkan untuk mengambil tanggungjawab tanam semula pokok kelapa sawit yang telah tua. Pada masa itu barangkali para peneroka tidak mempunyai modal yang cukup untuk menanam semula kelapa sawit maka Felda telah membuat tawaran tersebut.
AMBIL KESEMPATAN
Namun, Felda tidak sepatutnya mengambil kesempatan atas kelemahan peneroka itu. Felda tidak seharusnya bertindak sebagai syarikat kapitalis yang memerah setiap nadi dan darah peneroka sebaliknya Felda sebagai sebuah agensi kerajaan harus melindungi dan memberikan kemakmuran rakyatnya.
Menurut perjanjian itu, tanggungjawab penanaman semula itu akan bermula daripada mula pokok sawit itu ditebang. Felda akan menyediakan tenaga kerja, alat dan bahan keperluan pertanian, khidmat teknikal dan pengurusan dalam mengendalikan tanam semula tersebut.
Felda juga akan menyediakan wang tanam semula sawit pada kadar RM1,700 seekar daripada Tabung Tanam Semula Sawit. Pada lazimnya, setiap peneroka akan diberikan tanah seluas 10 ekar maka wang tanam semula sawit yang diperuntukkan itu akan berjumlah RM17,000.
Di samping itu, Felda juga akan memberikan pendahuluan pendapatan kepada peneroka sejumlah RM50 seekar sebulan sehingga pokok sawit berhasil dari mulanya tempoh tanam semula. Pendahuluan ini bukanlah pemberian ehsan tetapi ianya adalah pinjaman yang mesti yang setiap sen mestilah dibayar semula melalui hasil sawit yang dihasilkan daripada kebun peneroka.
Sebagai balasan terhadap ‘sikap murah hati’ Felda itu, peneroka pula perlu untuk menyerahkan kebun sawit mereka kepada Felda apabila diminta oleh Felda ketika bermulanya proses tanam semula itu.
Peneroka tidak boleh membuat apa-apa perkara yang dianggap sebagai gangguan kepada Felda dan selama tempoh itu Felda akan mempunyai milikan ke atas kebun tersebut (possession). Felda akan terus-menerus menguruskan kebun sawit peneroka itu selepas tamat tempoh tanam semula.
BEBANAN HUTANG
Selanjutnya, peneroka juga perlu menanggung beban sekurang-kurangnya empat jenis hutang iaitu, hutang pendahuluan pendapatan yang diterima, hutang caj perkhidmatan Felda, hutang kos pengurusan dan hutang kos penyelenggaraan.
Tambah tidak adil lagi adalah caj perkhidmatan Felda itu akan ditetapkan oleh Felda dari semasa ke semasa. Tiada jumlah tetap yang dinyatakan dalam perjanjian itu melainkan kesemuanya itu bergantung kepada budi-bicara dan pertimbangan Felda sepenuhnya.
Begitu juga dengan kadar kos pengurusan adalah tidak ditetapkan di dalam Perjanjian dan bergantung sepenuhnya kepada budi-bicara dan pertimbangan Felda. Oleh itu, kos ini boleh berubah sesuka hati mengikut budi-bicara Felda.
Felda pula diberikan kuasa eksklusif untuk mengendalikan penjualan hasil dari kebun sawit peneroka dan harga sawit itu juga bergantung sepenuhnya kepada persetujuan antara Felda dan kilang yang membeli hasil sawit itu. Peneroka langsung tidak mempunyai apa-apa hak untuk bersuara jika tidak berpuas hati dengan harga sawit yang dijual.
Kos penyelenggaraan iaitu kos bahan-bahan keperluan pertanian seperti kos buruh, baja dan racun juga akan ditanggung oleh peneroka. Namun, kos penyelenggaraan juga tidak dinyatakan di dalam perjanjian dan bergantung sepenuhnya terhadap apa yang diputuskan oleh Felda.
Meskipun, ada peruntukan dalam perjanjian tersebut yang menyatakan bahawa Felda perlu sedaya-upaya mengawal kos penyelenggaraan supaya peneroka mendapat pulangan maksima namun peruntukan itu sangat longgar dan tidak mengikat Felda untuk melaksanakannya secara mandatori.
Perjanjian ini juga menyatakan bahawa keempat-keempat kos yang harus dibayar oleh peneroka itu mesti dibayar balik melalui hasil kebun sawit peneroka berkenaan. Oleh itu, Felda telah memperketatkan peruntukan perjanjian itu dengan menyatakan bahawa peneroka tidak boleh sesekali melepaskan kepentingannya ke atas kebun sawitnya melainkan hutang keempat-keempat kos itu dibayar dan dijelaskan sepenuhnya.
Sementara itu, Felda dibenarkan untuk memasukkan kaveat persendirian di atas tanah itu supaya peneroka tidak boleh membuat sebarang urusniaga ke atas kebun sawit itu.
Felda juga berhak untuk menamatkan perjanjian itu dengan memberikan satu bulan notis kepada peneroka jika peneroka mungkir mana-mana klausa dalam Perjanjian itu. Walau bagaimanapun hak penamatan yang sama tidak diberikan kepada peneroka. Malah, Felda tidak dianggap memungkiri perjanjian itu jika terdapat kegagalan perlaksanaan terhadap apa-apa klausa dalam perjanjian itu disebabkan bencana alam, tindakan Kerajaan Persekutuan atau Negeri dan atas apa jua sebab di luar kawalan.
Dalam perjanjian itu, nyata sekali kedudukan peneroka adalah tidak seimbang. Perjanjian itu adalah suatu perjanjian yang tidak adil kepada peneroka kerana peneroka seolah-olah telah memajakkan kebun sawitnya kepada Felda sedangkan ianya hanyalah perjanjian tanam semula.
PENDATANG DI TANAH SENDIRI
Perjanjian itu telah mengikat peneroka dengan ikatan yang kuat sehingga peneroka seolah-olah menjadi seorang pendatang asing di atas tanahnya sendiri.
Sepatutnya sebuah perjanjian yang adil akan menjelaskan butiran perjanjian secara terperinci dan tidak membiarkan satu pihak yang lain untuk menentukan dengan sendiri secara unilateral (sebelah pihak) berapakah kos penyelenggaraan dan kos pengurusan.
Kegagalan untuk menentukan butiran ini secara terperinci membolehkan pihak yang satu lagi mengambil kesempatan untuk menindas pihak yang satu lagi.
Begitu juga, perjanjian ini tidak menjelaskan butiran kemungkiran oleh pihak Felda yang membolehkan peneroka membatalkan perjanjian ini. Ini akan meletakkan peneroka dalam keadaan serba salah kerana hak mereka tidak dijelaskan sepenuhnya.
Begitu juga dengan remedi yang sepatutnya diperolehi jika berlaku kemungkiran dalam perjanjian ini juga tidak dibutirkan dengan jelas.
Selain itu, tempoh perjanjian ini juga tidak jelas kerana tidak diletakkan tarikh tamat perjanjian atau tarikh penyempurnaan perjanjian. Apa yang dinyatakan adalah secara umum sahaja iaitu setelah segala hutang-piutang habis dibayar baharulah tamat perjanjian itu. Namun, di sebalik segala kekurangan di pihak peneroka, terdapat peruntukan yang boleh membawa padah kepada Felda jika tidak dipatuhi. Klausa itu adalah berkaitan penyediaan penyata pendapatan dan perbelanjaan yang perlu disediakan pada tiap-tiap suku tahun.
Kegagalan untuk menyediakan penyata adalah suatu bentuk perlanggaran kepada Perjanjian itu.
Oleh itu, jika para peneroka ingin mencabar kes ini di mahkamah, antara perkara yang boleh dituntut adalah tuntutan supaya Felda mengemukakan laporan pendapatan dan perbelanjaan tiap suku tahun bermula dari tarikh permulaan perjanjian itu.
Alternatif lain adalah untuk peneroka menggunakan kuasa undi mereka untuk menolak BN dalam PRU 14. Jika Pakatan Harapan berjaya memenangi Putrajaya dalam PRU 14 maka antara janji Pakatan adalah untuk memulihkan Felda dalam tempoh 100 hari memegang tampuk pemerintahan.
Kerajaan Pakatan Harapan kelak akan menyemak semula perjanjian ini demi memastikan hak peneroka akan terus terbela.
Malaysia Dateline

0 comments:

Post a Comment

Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena