Monday 27 November 2017

[Video NAJIB TERDESAK~BN Sabah Belum Terjamin] Lebih dua jam berlapar menanti petrol percuma.

Isnin, 27 November 2017

Image result for Gerakan turunkan harga minyak

Lebih dua jam berlapar menanti petrol percuma

Orang ramai yang kebetulan singgah di Petronas Bukit Beruntung tidak melepaskan peluang mendaftarkan nama menerima agihan petrol percuma.


Lebih dua jam berlapar menanti petrol percuma

Wajahnya tenang ketika ditemui sedang menolak motosikalnya di stesen minyak Petronas Bukit Beruntung, Hulu Selangor jam 8.20 malam semalam.

Membawa bersama anak lelaki sulungnya berusia lima tahun, beliau yang mahu dikenali sebagai Roslan, 35, memberitahu Malaysia Dateline, ada satu kumpulan NGO mahu memberi petrol percuma pada malam itu.

Berpakaian kemeja-T lusuh berwarna hijau pucuk pisang dengan tertera di belakangnya nama sebuah kilang, Roslan berkata, agihan minyak percuma itu hanya diketahuinya secara kebetulan.
“Tangki motor saya memang kering sangat dah. Singgah tadi ingat nak isi sebab esok, pagi-pagi nak keluar pergi kerja dah.
“Tiba-tiba, rezeki pula ada orang nak bagi minyak ‘free’. Tunggulah,” ujar pekerja kilang di Rawang sejak 2013 itu kepada Malaysia Dateline yang juga kebetulan berada di lokasi sama.
Berbaris kemudiannya di hadapan meja pendaftaran yang dikendalikan seorang wanita berusia mungkin lewat 40-an, Roslan menyambung perbualannya.
“Saya ulang-alik (Bukit Beruntung – Rawang) dekat 15 kilometer juga. Jadi, bila ada orang nak bagi minyak free ini, jimat sikit duit belanja,” ujarnya menanti giliran untuk pendaftaran.
Seusai dua orang anak muda di hadapannya mendaftar, tiba giliran Roslan. Sama seperti mereka yang lain, beliau diminta menunjukkan kad pengenalan selain dipinta menyebutkan nombor telefon.
Selepas mendaftar, Roslan duduk di kaki lima stesen minyak itu menantikan agihan bermula bersama anak lelakinya yang dipanggil Amirul.
Tidak lama selepas itu, pengumuman melalui siaraya ke udara memaklumkan minyak akan mula diisi jam 8.45 malam.
Roslan selanjutnya berkongsi tentang situasi kos sara hidup yang dihadapinya pada masa ini. Beliau mengakui begitu terpukul dengan harga barang makanan dan barangan yang semakin naik.
Akibatnya, jelas anak jati Pahang itu, pendapatan bulanan diperolehnya tidak mencukupi menampung hidupnya sekeluarga.
Gaji asasnya hanya RM1,300 dan jika dicampur kerja lebih masa paling tinggi pernah dikumpulnya hampir RM1,800 menjelang sambutan Aidilfitri lalu.
“Tapi sekarang OT (over time) pun kurang. Orang kata, ekonomi jatuh. Entahlah. Mujur ‘orang rumah’ (isteri) jadi pembantu klinik swasta di Bukit Sentosa. Dapat juga tolong tampung sikit-sikit duit belanja,” ujarnya.
Tanpa segan, Roslan yang juga mempunyai anak perempuan berusia tiga tahun separa berbisik berkata, kerap juga mereka sekeluarga mendapatkan bungkusan bahan makanan mentah percuma dari Masjid As-Salam di Bukit Sentosa.
“Kalau putus duit belanja terutama tengah-tengah bulan, kami terpaksa tebalkan muka minta makanan percuma pada orang masjid.
“Satu bungkusan itu mereka bagi beras, susu tin, kopi, gula, tepung, bihun dan lain-lain serba sekampit.
“Alhamdulillah. Bolehlah buat ‘tahan sesak’,” katanya yang tinggal menyewa di sebuah flat kos rendah terletak kira-kira dua kilometer dari Petronas Bukit Beruntung.
Terkilan
Masa terus beredar dan Roslan terus sabar menanti sambil sesekali merenung deretan orang ramai yang sedang beratur mendaftarkan nama.
Mana-mana yang berusia lebih 40 tahun walaupun berumur 41 tahun dimaklumkan tidak melepasi syarat dan beredar dengan riak wajah yang terkesan sedikit terkilan.
Sementara itu, Roslan ditanya kenapa tidak pulang ke rumah terlebih dahulu seperti disyorkan pihak penganjur program melalui pengumumannya dari semasa ke semasa itu.
Reaksi spontannya hanya tersenyum pahit. Beliau yang berada dalam senarai keenam daripada 60 penerima petrol percuma itu nampaknya bimbang terlepas jika pulang ke rumah walaupun anaknya sudah mula dilihat gelisah.
Jangkaan minyak mula diisi penuh dalam tangki kapcai pukul 8.45 malam berganjak kepada 15 minit lagi sebelum akhirnya diberitahu pukul 10 malam.
Walau bagaimanapun, RON95 kemudiannya hanya mula masuk ke tangki kapcai penerima pertama dalam senarai itu kira-kira pukul 10.40 malam.
Tiba giliran Roslan selepas lebih dua jam menanti, kapcainya yang kelihatan uzur itu cuba ditegakkan secara ‘double stand’. Beliau terlebih dahulu membuka ikatan berupa gumpalan kecil perca kain pada tongkat motornya yang nampak sudah longgar.
Sebaik tangkinya yang kering ‘kenyang’ diisi penuh minyak, Roslan dilihat sekali lagi tersenyum kecil mungkin membayangkan telah dapat berjimat sebanyak RM5 atau RM6. Sekali lagi beliau beberapa minit perlu menanti kad pengenalannya dipulangkan.
Kelihatan, salah seorang petugas pihak penganjur itu menyemak butiran maklumat Roslan sama seperti penerima terdahulu melalui alat pengimbas khas seperti yang lazim digunakan polis trafik.
Sebaik terpampang nama dan wajah Roslan, petugas itu dilihat memasukkan nombor pendaftaran motor penerima minyak percuma itu sebelum menekan butang ‘Simpan’.
“Terima kasih, encik,” kata Roslan sejurus menerima kad pengenalannya kembali dari wakil NGO yang kemudian memperkenalkan diri sebagai ‘Team Raja Motor’ itu.
Serentak itu juga, petugas berkenaan memberikan sebungkus plastik putih berisi sebiji roti krim dan sebotol air mineral kecil kepada Roslan juga setiap penerima minyak yang lain.
Cepat-cepat nampaknya Amirul membuka bungkusan roti itu dan segera mengunyahnya ketika ayahnya cuba menghidupkan kembali motor kapcai itu untuk pulang ke rumah sewa mereka.
Malaysia Dateline


0 comments:

Post a Comment

Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena