Protes harga minyak Pemuda AMANAH diperluaskan
Pemuda AMANAH akan terus mengadakan protes harga minyak menerusi flasmob Gerakan Turun Harga Minyak (Gertak) seperti yang dibuat sebelum ini, dan pada hari ini, ia akan diadakan di susur-susur jalan besar di beberapa tempat tumpuan di beberapa buah negeri seperti di simpang Dengkil-Putrajaya, Shah Alam, Serdang, Taiping dan Alor Setar.
Demikian kata Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Nasional, yang juga Kordinator Gertak, Faiz Fadzil dalam satu kenyataan pagi ini.
Protes yang bertujuan mendesak kerajaan menurunkan harga minyak ini akan diteruskan di seluruh negara sehingga kerajaan menstabilkan harga minyak ke paras yang sepatutnya mengikut harga minyak mentah dunia yang kami anggarkan sepatutnya dijual pada kadar RM1.90 seliter bagi RON 95, kata beliau.
Sambutan daripada pemilik kenderaan dengan membunyikan hon menunjukkan rakyat sama memprotes kenaikan melampau harga minyak.
“Ini adalah kerana harga minyak dunia sekarang hanya USD60 setong dan tidak seharusnya ia dijual dengan kadar yang begitu tinggi hari ini.
“Jelas, kerajaan tidak telus dalam menentukan harga minyak di negara ini,” sambungnya.
Kata beliau lagi, pemansuhan subsidi minyak lebih kurang RM3 bilion setahun telah menyumbang kepada kenaikan harga minyak, ditambah pula dengan masalah kemerosotan nilai ringgit.
“Justeru, kami mendesak kerajaan mengembalikan subsidi minyak dan selesaikan segera skandal 1MDB bagi mengatasi masalah kemerosotan nilai ringgit.
Pemuda AMANAH akan memperluaskan protes harga minyak ini ke seluruh negara bagi memberi kesedaran kepada rakyat.
“Jika Perdana Menteri menjadi dalang utama skandal 1MDB, kami mendesak Peguam Negara, Ketua Polis Negara dan SPRM segera bertindak kerana skandal ini benar-benar telah menjerut hidup rakyat yang semakin terhimpit dengan kenaikan harga barang terutama harga minyak,” katanya.
Menurut Faiz, sambutan pemandu kenderaan sama ada motosikal, kereta biasa dan mewah serta kenderaan awam yang turut memprotes dengan membunyikan hon dalam protes flashmob yang diadakan, jelas menunjukkan kemarahan rakyat terhadap keangkuhan pentadbiran kerajaan yang sudah lagi tidak peduli terhadap nasib rakyat.
Malaysia Dateline
0 comments:
Post a Comment