Bekas Adun Pas anggap parti lamanya tidak bijak
Amiruddin umum sertai Bersatu.
Adun Anak Bukit, Datuk Ir Amiruddin Hamzah ketika mengumumkan keputusannya menjadi ahli Bersatu hari ini menganggap Pas melakukan pendekatan tidak bijak jika menolak untuk bersama gabungan pembangkang.
Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (Dun) Kedah itu berpendapat demikian ketika ditanya pemberita mengenai situasi mutakhir Pas yang dilihat hilang hala tuju.
“Pandangan saya untuk Pas bertanding bersendirian seperti mana yang berlaku sebelum ini, tidak melihat itu satu pendekatan yang bijak dan mendatangkan natijah yang baik untuk rakyat,” akuinya.
Bekas Exco Kerajaan Negeri Kedah itu juga memberitahu, itulah hasil pertemuannya kelmarin dengan Pesuruhjaya Pas negeri, Dr Ahmad Fakhruddin Syeikh Fakhrurazi.
Pertemuan itu, jelasnya, berhubung kemungkinan Pas bersama Pakatan Harapan atau menjadi salah satu ahli seperti dilakukan oleh Bersatu pada peringkat awal lalu.
“Hampir-hampir mustahil hal itu berlaku,” katanya dalam sidang media yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook hari ini.
Amiruddin sebelum ini dalam banyak siri ceramah di pentas Pakatan Harapan konsisten mengajak ahli Pas supaya mengundi calon blok pembangkang dianggotai AMANAH, Bersatu, DAP dan PKR itu.
Menjawab soalan pemberita tentang keahliannya dalam Pas ekoran pengumuman tersebut, mantan Yang Dipertua Pas Kuala Kedah berkenaan menganggap statusnya itu secara automatik akan gugur.
Amiruddin juga memaklumkan beliau tidak relevan lagi menjalankan fungsi sebagai ketua pembangkang dalam sidang Dun Negeri Kedah.
“Bila saya memohon menjadi ahli PPBM dengan sendirinya saya ingat (keahlian Pas) telah tergugur. Saya ingat wajar untuk saya tidak lagi menjalankan fungsi sebagai ketua pembangkang yang selepas ini akan bersidang April tahun depan.
“Mungkin tak dan (sempat),” katanya dalam sidang media yang dihadiri Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang juga Ketua Bersatu Kedah serta pimpinan negeri.
Berpakaian kemeja warna biru tua, Amiruddin yang kelihatan tenang tetapi ceria itu menyifatkan tiada syarat khusus untuk ahli Pas yang keluar parti kemudiannya perlu menyertai AMANAH.
“Saya pun tidak tahu ada semacam ini … kalau keluar Pas mesti masuk AMANAH,” ujarnya sebelum Mukhriz yang juga bekas Menteri Besar Kedah memberi reaksi.
Menurut Mukhriz, tiada masalah untuk Amiruddin berbuat demikian memandangkan AMANAH dan Bersatu antara komponen Pakatan Harapan.
“Bagi saya tidak ada masalah, AMANAH dan PPBM pun sebahagian daripada Pakatan Harapan yang kami cuba nak daftarkan dengan Jabatan Pendaftaran (ROS),” tambahnya.
Amiruddin yang juga bekas Pengerusi Pembangunan Kompleks Pas Kedah itu selanjutnya menjangkakan permohonannya untuk menjadi ahli Bersatu akan diterima.
“Hari ini saya akan serahkan borang (permohonan menjadi ahli Bersatu) kepada Timbalan Presiden. Saya rasa tiada masalah kot akan diterima,” ujarnya lagi sambil ketawa.
Terdahulu, Mukhriz dalam reaksinya pada sidang media sama menyifatkan keputusan Amirrudin menyertai Bersatu sebagai “perkembangan yang sangat dialu-alukan”.
“Ini satu suntikan semangat baru bagi kami semua apabila menerima kehadiran tokoh politik yang tidak asing bagi kita semua,” katanya.
Malaysia Dateline
0 comments:
Post a Comment