Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail menggesa agar para penyokong tidak mengikut perasaan dengan merosakkan undi kerana Dr Mahathir Mohamad adalah calon terbaik Pakatan Harapan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Januari, 2018.
Dr Wan Azizah rayu jangan rosakkan undi kerana Dr Mahathir
KETUA Pembangkang Dr Wan Azizah Wan Ismail merayu agar penyokong Pakatan Harapan (PH) tidak menzahirkan protes dalam pilihan raya umum akan datang.
Dr Wan Azizah berkata penyokong PH tidak harus mengikut perasaan dengan merosakkan undi kerana Dr Mahathir Mohamad ada calon terbaik untuk jawatan perdana menteri pada waktu ini.
Beliau mengulas mengenai kempen undi rosak yang digerakkan aktivis politik di media sosial sebagai tanda protes ke atas pencalonan Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri PH.
Kempen itu dijalankan melalui penyebaran mesej dengan tanda pagar #UndiRosak atau #SpoiltVote, dan #ProtesPRU.
Mengulas lanjut, Dr Wan Azizah berkata keluarganya dan juga suaminya, Anwar Ibrahim merupakan pihak yang sepatutnya berasa marah dengan tindak tanduk Dr Mahathir sebelum ini.
Anwar dipecat oleh Dr Mahathir dan turut dipenjarakan atas tuduhan liwat 20 tahun lalu – yang mencetus gerakan reformasi bagi menuntut perubahan ke atas institusi negara.
Dr Wan Azizah berkata, semua pihak dalam PH harus melangkah ke depan dan meneruskan usaha reformasi di Malaysia.
“Kita perlu move on. Jangan buat tindakan berasaskan perasaan,” kata beliau lagi dalam sidang media selepas Konvensyen PH Pahang di Kuantan hari ini.
Dalam sidang media sama, Ketua PH Pahang Fauzi Abdul Rahman menyokong kenyataan Dr Wan Azizah dan menyatakan Dr Mahathir mempunyai pengalaman dan jaringan luas di agensi kerajaan untuk membetulkan sistem tersebut.
“Dr Mahathir ada hubungan baik dengan polis, dengan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) dan lain-lain agensi.
“Siapa lagi yang ada kelebihan seperti itu untuk betulkan sistem,” kata beliau.
Ketua Setiausaha PH Saifuddin Abdullah pula berkata, Dr Mahathir sudahpun memberi komitmen untuk menjalankan reformasi institusi selaras dengan perjanjian sesama PH.
“Mungkin ada yang lupa sebelum kita buat pengumuman calon PM 7 Januari lalu, saya telah mengumumkan 13 perkara.
“Semua 13 perkara itu merupakan reformasi (institusi) dan setiap dari kami termasuk Dr Mahathir telahpun menandatangi ikrar tersebut,” kata beliau.
Perjanjian 13 perkara yang akan menjadi manifesto itu PH antara lain mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada hanya dua penggal dan mengasingkan jawatan menteri kewangan daripada portfolio perdana menteri.
Ia turut menetapkan pelantikan untuk jawatan utama termasuk ketua polis negara, peguam negara, ketua Suruhanjaya Pilihan Raya, ketua SPRM, ketua audit negara mesti melalui Parlimen dahulu dan bukannya hanya atas nasihat perdana menteri.
Pakatan juga bersetuju agar Anwar, yang kini sedang dipenjara, diangkat menjadi sebagai perdana menteri kelapan selepas ketua umum PKR itu mendapat pengampunan diraja.
Presiden PKR, Dr Wan Azizah pula akan dilantik sebagai timbalan perdana menteri apabila gabungan pembangkang itu dapat mandat rakyat dalam PRU14. – 27 Januari, 2018.
The Malaysian Insight.
1 comments:
Aktivis yg rancang undi rosak adalah pemuda yg rosak akal nya.sabotag undi adalah dosa pada diri sendiri dan pada rakyat.Emosi yg melampaui Kewarasan.
Post a Comment