Wednesday 24 January 2018

[Video Ingat Rahsia Besar di Concode Sebelum PRU13 dulu & Hadi Sebagai PM? Ini Respons Netizen] Boleh jadi PM, tapi PM (Ponteng Mesyuarat lah)? Calon PM Pakatan: Fatwa politik Hadi.

Rabu, 24 Januari 2018


Image result for Gambar Hadi ponteng mesyuarat
Calon PM Pakatan: Fatwa politik Hadi
PRESIDEN PAS, Abdul Hadi Awang mengulangi beberapa perkara yang menimbulkan tanda tanya berhubung kandungan ucapannya di Shah Alam, Ahad lalu.
Sekali lagi beliau mempersoalkan tindakan menamakan perdana menteri sebelum pilihan raya diadakan adalah amalan luar negara seperti di Amerika Syarikat dan Britain yang mana ianya tidak sesuai diamalkan di Malaysia.
Kata beliau: “Malaysia bukan Amerika yang pilih calon presiden, Malaysia bukan British nak pilih calon perdana menteri. Malaysia adalah Malaysia. Kita ikut petunjuk Nabi. Yakinlah dengan asas Islam, kita akan selamat”.
Memahami doktrin politik "Islam" dan politik demokrasi moden ala presiden PAS ini melalui potongan ucapannya di atas dapat dibahagikan kepada dua bahagian:
Pertama, dapat difahami Hadi tidak memahami sistem politik demokrasi moden.
Walaupun Malaysia tidak mengamalkan sistem pilihan raya presiden, menamakan calon perdana menteri untuk kempen pilihan raya bukanlah satu perkara yang luar biasa dalam konteks demokrasi berparlimen ala Westminster yang diwarisi daripada Britain.
Calon perdana menteri (prime minister in waiting) itu dinamakan kepada satu sosok yang dilihat terkehadapan, memiliki sokongan majoriti kumpulan pembangkang dan berupaya mencabar dominasi pengaruh kerajaan memerintah.
Adalah perkara yang agak pelik apabila pencalonan awal perdana menteri di pihak Pakatan Harapan (PH) seakan sebuah tindakan sama sekali salah pada amalan demokrasi.
Rujukan mana yang diambil oleh beliau sehingga menganggap penamaan calon perdana menteri itu salah besar pada amalan demokrasi.
Kedua, tiada petunjuk yang jelas daripada Nabi Muhammad yang boleh dijadikan asas larangan menamakan calon perdana menteri sebelum pilihan raya.
Sebagai seorang Muslim adalah menjadi kewajipan mengikut petunjuk Nabi dalam beragama.
Namun, urusan politik adalah bersifat ijtihādī dalam perkara mu‘āmalah yang boleh berubah berdasarkan keperluan dan tuntutan semasa. Ini berbeza dengan isu-isu prinsip akidah seperti keesaan Tuhan dan kerasulan Nabi Muhammad yang bersifat tetap dan sama sekali tidak berubah zaman berzaman.
Frasa terakhir potongan ucapan Hadi juga tidak jelas sama ada beliau ingin menyatakan yang menamakan awal calon perdana menteri itu bercanggah dengan petunjuk Nabi Muhammad?
Kalau itu yang beliau maksudkan, maka kita berhak mempersoalkan intergriti Hadi dalam menafsirkan teks agama dalam hal hal ehwal politik, verdasarkan tulisan dan tindakan beliau sendiri.
Tulisan Hadi pada 22 Disember 2017 di laman sesawang Harakahdaily dengan jelas menyatakan: “Maka PAS tidak akan mendahulukan pembentukan kabinet atau siapa bakal perdana menteri yang bakal menjadi bangkai sahaja. Itulah adab yang diajar oleh Rasulullah SAW apabila ketua kabilah Bani ‘Āmir yang ditawarkan kemenangan Islam bertanyakan siapa ketua negaranya”.
Maka tidak salah sekiranya ucapan di Shah Alam pada 21 Januari lalu difahami yang Hadi mendakwa menamakan perdana menteri awal bercanggah dengan adab Islam dan petunjuk Nabi.
Kisah yang dijadikan hujah oleh Hadi adalah kisah ketua kabilah Banī ‘Āmir. Namun, benarkah kisahnya begitu dan kesimpulan yang dibuat oleh Hadi dalam menolak pencalonan awal perdana menteri itu tepat?
Hadis yang dikatakan itu adalah seperti berikut:
أَرَأَيْتَ إنْ نَحْنُ تَابَعْنَاكَ عَلَى أمْرِكَ، ثُمَّ أَظْهَرَكَ اللهُ عَلَى مَنْ خَالَفَكَ، أَيَكُونُ لَنَا الأَمْرُ مِنْ بَعْدِكَ؟ قَالَ:الأَمْرُ إلَى اللهِ يَضَعُهُ حَيْثُ يَشَاءُ
Terjemahan: (kata wakil Bani ‘Āmir bin Sa’sa‘ah kepada Nabi): “Apa pandangan engkau jika kami mengikuti engkau dalam urusan engkau, kemudian Allah memenangkan engkau ke atas orang yang memusuhimu; adakah kami akan menerima kuasa selepas dari engkau?
Jawab Nabi: Kekuasaan daripada Allah dan Dia akan memberikan kepada siapa yang Dia kehendaki”.
Kisah ini direkodkan oleh Ibn Hishām dalam kitabnya al-Sirah al-Nabawiyyah menukilkan riwayat Ibn Ishāq dengan sanadnya terputus dari jalur riwayat al-Zuhrī.
Kisah itu sama sekali tidak membawa apa-apa isyarat hukum yang boleh difahami secara sahīh mahupun sarīh (jelas) yang boleh dijadikan dalil larangan untuk mencalonkan Dr Mahathir Mohamad atau mana-mana individu lain sebagai calon perdana menteri.
Ironinya, tindakan pencalonan perdana menteri awal atau cakap-cakap berkenaan calon jawatan tertinggi negara itu bukanlah tidak pernah dilakukan oleh PAS sendiri.
Pada 17 November 2012, akhbar Sinar Harian melaporkan ucapan sayap ulama PAS di muktamar tahunan mereka menegaskan Hadi adalah calon lebih layak menjadi perdana menteri Malaysia.
Begitu juga tindakan Hadi yang menjadi "rahsia umum" apabila mencadangkan nama Tengku Razaleigh Hamzah sebagai calon perdana menteri sekiranya Pakatan Rakyat menang dalam Pilihan Raya Umum ke-13 yang lalu.
Adakah Hadi gagal menjumpai nas-nas agama yang melarang perkara tersebut ketika itu, lalu mencalonkan nama perdana menteri lebih awal?
Apa yang pastinya ialah fatwa ganjil daripada Hadi dan PAS ini tidak akan sama sekali muncul sekiranya PH menamakan Hadi sebagai bakal perdana menteri Malaysia. – 24 Januari, 2018.
* Abu Hafiz Salleh Hudin adalah timbalan pengerusi Biro Dasar & Strategik Bersatu.
* Ini adalah pendapat penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insight.

0 comments:

Post a Comment

Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena