Rakyat tidak mahu Najib, Pas sokong Najib, kata Presiden Amanah
“Amat pelik dan menghairankan majoriti rakyat dalam negara ini sudah tidak mahu lagi kepada Najib dan berani menentang kepimpinan Najib, tapi masih ada satu lagi parti yang mendakwa menjadi pembangkang, tapi masih menyokong Najib.”
Demikian dinyatakan oleh Presiden AMANAH, Mohamad Sabu yang dipercayai merujuk kepada Pas sebagai parti mesra Umno itu, ketika berucap pada ceramah isu semasa di Kampung Bukit Jambul, Pendang, Kedah kelmarin.
Katanya lagi, masalah ekonomi negara semakin meruncing, mahasiswa ramai yang tidak ada kerja, tapi masih juga hendak menyokong Datuk Seri Mohd Najib Razak Presiden Umno-BN itu.
“Malah PTPTN masih lagi mengejar bekas mahasiswa untuk membayar pinjaman, sedangkan peluang pekerjaan tidak disediakan untuk golongan tersebut.
“Amalan rasuah yang semakin berleluasa dikalangan pemerintah tidak langsung menampakkan usaha menyekat penyelewengan tersebut.
“Yang ditangkap, tak didakwa, sebaliknya bebas dan lepas, ” ujarnya.
Mohamad Sabu ketika menyampaikan ceramahnya berkaitan isu semasa di Pendang, Kedah.
Beliau juga berkata agak janggal apabila terdapat alim ulama yang mendakwa menentang kezaliman, sebaliknya menyokong pemimpin yang rasuah dalam negara.
“Jika rakyat Korea berani menurunkan pemerintah yang rasuah, kenapa kita yang mendakwa mengamalkan ajaran Islam tidak berani menentang pemimpin kerajaan yang korup.
“Sekiranya Indonesia sendiri mampu untuk mengheret menteri mereka yang rasuah disumbat ke dalam penjara, kenapa kita di Malaysia tidak mampu untuk melakukan perkara yang sama.
“Sedangkan kita mampunyai ramai ulama dan parti yang mendakwa sebagai memperjuangkan Islam, sebaliknya menyokong pula pemerintah yang terbukti perasuah dan zalim, ” jelasnya.
Tegasnya lagi, lebih ajaib dan ganjil apabila banyak tangkapan yang dibuat oleh SPRM, sebaliknya yang didakwa di mahkamah boleh dikira dengan jari jemari.
“Kalau kita terus membiarkan Umno dan BN memerintah, banyak lagi kerosakan yang akan berlaku sehinggakan rakyat hidup azab dan sengsara.
“Sejak 1969 lagi, rakyat di Pendang, telah memerdekakan pemikiran mereka dengan tidak menyokong Umno dan BN.
“Namun begitu menjelang pilihan raya umum (PRU) ke 14 kita mahu seluruh rakyat Kedah merdeka pemikiran dan merdeka dari beban pemerintah yang zalim, ” tegasnya.
Sejajar dengan itu katanya, jika rakyat Kedah tidak mahu lagi berada ditakok lama, tidak merdeka walaupun negara sudah lama merdeka, maka Pakatan Harapan (PH) wajib diberi sokongan.
“Dalam PRU 2018, dimana saja AMANAH bertanding kita sudah sepakat tiga lagi parti dalam PH akan menyokong.
“Kalau PPBM bertanding, AMANAH dan PKR serta DAP akan pastikan kita mencapai kemenangan.
“PRU kali ini amat mahal harganya dan harus dibeli dengan penuh kejujuran dan semangat juang untuk mengalahkan Umno dan BN serta parti yang bersekongkol dengan mereka, ” katanya.
Oleh kerana itu tambahnya, PH mesti menang dalam PRU kali ini demi masa depan negara dan juga generasi yang akan datang.
Turut hadir dalam program tersebut ialah Tun Mahathir, Pengerusi AMANAH Negeri Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh dan kepimpinan PH Negeri Kedah.
MD.
0 comments:
Post a Comment