Dr Mahathir perli Najib akan menang besar dalam pilihan raya
Perdana Menteri Najib Razak akan menang besar dalam pilihan raya kaan datang kerana Dr Siti Hasmah kini bukan lagi penaung persatuan sukan, sindir Dr Mahathir Mohamad.– Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 29 Januari, 2018.
PENGERUSI Pakatan Harapan Dr Mahathir Mohamad berkata Perdana Menteri Najib Razak akan menang besar dalam pilihan raya memandangkan isterinya Dr Siti Hasmah Mohd Ali kini tidak lagi menjadi penaung sebuah persatuan sukan.
Dr Mahathir menyindir Najib sebagai respon terhadap pengguguran Dr Siti Hasmah dari jawatan penaung Persatuan Tenis Kerusi Roda Malaysia yang disandang sejak 20 tahun lalu.
“Saya percaya penggugurannya akan memberi kemenangan yang besar bagi Najib dalam Pilihan Raya Umum ke-14 kerana (Siti Hasmah) adalah satu orang yang cukup penting dalam politik Malaysia.
“Sehinggakan kalau jadi penaung mana-mana pertubuhan pun, dia begitu berkesan untuk mempengaruhi keputusan rakyat tentang pilihan raya akan datang ini,” sindir Dr Mahathir dalam siaran video di Facebook.
Pengguguran Siti Hasmah dari jawatan itu merupakan satu lagi tekanan selepas isterinya itu diambil keterangan oleh polis atas penglibatan dalam satu perhimpunan pada September lalu.
Mengulas mengenai siasatan itu, Dr Mahathir menyifatkannya sebagai penyalahgunaan undang-undang kerana ia dikenakan ke atas orang yang tidak berpengaruh seperti isterinya.
Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata polis tidak menyiasat Dr Siti Hasmah sebaliknya hanya mengambil keterangan beliau, yang mana beliau sendiri setuju.
“Kita dapati undang-undang sekarang ini tak dikenakan kepada orang tertentu, (tetapi) dikenakan kepada orang yang tidak ada kesan, yang tidak ada pengaruh sama sekali.
“Polis boleh kata ini hak mereka untuk mengambil statement (keterangan). Sama ada statement atau soal siasat, soal jawab, sama sajalah. Bila polis datang, hati berdebar-debar, kita naik takut,” katanya.
Menurut bekas perdana menteri itu lagi, beliau dan Dr Siti Hasmah turut dijauhi oleh rakan-rakan yang takut dikenakan tindakan oleh kerajaan.
“Ini adalah aspek baru dalam pemerintahan Malaysia ini. Tak boleh siapa berkawan dengan saya. Kalau berkawan, ha, kenalah,” katanya. – 29 Januari, 2018.
The Malaysian Insight
0 comments:
Post a Comment