Anak muda mengeluh rumah terlalu mahal, tiada pilihan selain menyewa
Golongan muda daripada keluarga biasa sukar membeli rumah terutama di kawasan bandar kerana harga rumah terlalu mahal, tidak sepadan gaji dan terpaksa menanggung beban hutang pendidikan serta menyara ahli keluarga lain. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Mac, 2018.
FARHANA Fuad sering ditanya, mengapa beliau tidak membeli sahaja kondominium yang disewa bersama suaminya di ibu kota.
Namun Farhana, 27, berkata mereka tidak mampu berbuat demikian kerana pendapatan kedua-duanya masih kurang RM7,000, tidak memadai untuk memiliki rumah sendiri.
"Ia boleh jadi mustahil jika pendapatan saya masih kekal sama serta pada masa sama kos sara hidup semakin meningkat, melainkan kalau saya buat dua atau tiga kerja pada satu masa," katanya kepada The Malaysian Insight.
Beliau menolak saranan seperti yang disuarakan Pengerusi UDA Holdings Bhd Dr Mohd Shafei Abdullah pada Februari lalu agar golongan Bumiputera khususnya golongan muda tidak menunggu untuk memiliki hartanah.
Menurut Shafei, golongan muda Bumiputera lebih cenderung untuk berbelanja dan berhutang untuk keperluan jangka pendek seperti kenderaan.
Rumah lebih mahal di bandar
Begitu juga dengan Siti Hazwani Ramli yang berasa mustahil bagi beliau dan suaminya untuk memiliki rumah di kawasan bandar pada masa ini.
Katanya, mereka masih menunggu untuk membeli rumah idaman kerana pendapatan mereka berdua belum mencukupi untuk membeli rumah idaman.
Mereka juga masih menunggu kerana pemilikan rumah memerlukan komitmen besar dan tempoh bayaran lebih lama berbanding barangan seperti kereta atau telefon bimbit.
Beliau bertugas sebagai pembantu sumber manusia dan pendapatan bersih bersama suaminya kini masih kurang RM5,000.
"Saya masih belum memiliki rumah kerana pendapatan saya dan suami masih belum cukup untuk beli rumah idaman kami. Macam saya sendiri, suami lebih gemar rumah bertapak berbanding pangsapuri.
"Ada rumah bertapak yang (sepadan) dengan pendapatan kami tapi jauh dari tempat kerja. Kena tambah dengan kos perjalanan pula nanti.
"Saya sendiri bekerja di syarikat pembangunan hartanah tapi belum mampu untuk beli rumah daripada syarikat sendiri. Apa lagi rumah di Selangor ini mahal," katanya yang kini berusia 30-an.
Beliau akui rumah di luar bandar jauh lebih murah dari di bandar, tetapi ia mustahil baginya kerana kedua-dua mereka bekerja di bandar.
"Bimbang... tapi saya memang tahu harga rumah akan naik. Tapi nak buat macam mana, gaji tak cukup untuk beli rumah. Anak pun belum ada lagi," kata Siti Hazwani.
Beliau juga kini menderita akibat kegagalan fungsi buah pinggang dan terpaksa menjalani rawatan dialisis untuk sepanjang usianya – tiga kali seminggu dan mengambil masa empat jam setiap sesi.
"Itu pun perlukan komitmen kewangan juga," katanya.
Katanya, dengan pendapatan sebanyak itu, belum tentu mereka layak memiliki rumah melalui Program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA).
Pada laman webnya, PR1MA menetapkan agar pemohon perlu mempunyai pendapatan antara RM2,500 dan RM15,000 sebulan.
Selain PR1MA, kerajaan turut menawarkan skim Projek Perumahan Rakyat (PPR), skim Rumah Mesra kos sederhana yang mana kedua-duanya di bawah Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).
Harga dua skim rumah selain PR1MA yang ditawarkan itu adalah antara RM42,000 dan RM165,000.
Kenderaan juga keperluan
Bagi Mohamad Elliya Rohiman, 31, beliau mengakui memiliki rumah sememangnya satu yang penting lebih-lebih lagi apabila seseorang itu sudah berkeluarga.
Namun, bagi Elliya apa yang beliau mampu buat masa ini adalah menyewa rumah. Rumah dua tingkat yang didiaminya sekarang di Ipoh hanya disewa pada kadar RM500 sebulan.
Beliau juga terpaksa memiliki dua kereta memandangkan isterinya bekerja dan sukar mendapatkan pengangkutan awam.
"Isteri saya doktor kena on-call atau balik kerja malam setiap hari. Dia perlukan kereta," katanya.
Komitmen hidup tinggi, gaji lembap, harga rumah mahal
Menurut pakar ekonomi Azrul Azwar Ahmad Tajuddin, ramai golongan mudah menangguhkan hasrat memiliki hartanah kerana harga dan komitmen pemilikan yang tinggi.
"(Pemilikan hartanah) memerlukan tabungan secukupnya sebagai bayaran muka bagi pinjaman atau pembiayaan pembelian rumah jangka panjang.
"Ia tidak seperti big-ticket item lain yang selalunya mampu dibeli secara tunai atau menerusi pinjaman atau pembiayaan jangka pendek yang boleh dipohon sama ada tanpa cengkeram sama sekali ataupun deposit yang sangat rendah," katanya.
Maka tidak hairanlah golongan ini menangguhkan hasrat membeli rumah kerana enggan terikat dengan beban hutang yang besar untuk jangka masa panjang atau tidak memenuhi syarat pinjaman, katanya.
Beliau menyimpulkan, memang sukar untuk golongan muda yang tidak berasal daripada keluarga berada atau berkeistimewaan untuk memiliki rumah sendiri.
"Melainkan ada bantuan atau sokongan pihak ketiga terutama ibu bapa dan keluarga dalam bentuk simpanan sedia ada bagi bayaran muka pembelian rumah atau campur tangan untuk meringankan beban kos sara hidup harian," katanya. – 3 Mac, 2018.
The Malaysian Insight.
0 comments:
Post a Comment