Jarakkan diri dari Najib, kata Dr M kepada PM Australia
Perdana Menteri Australia Malcolm Turnbull harus menjarakkan dirinya dan tidak berjumpa dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada Sidang Kemuncak Khas Asean-Australia di Sydney hujung minggu ini, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.
Dalam temu bual dengan ABC News Australia, Mahathir berkata Najib sering mengambil peluang untuk bergambar dengan pemimpin antarabangsa dan menasihatkan Turnbull untuk tidak membantu meningkatkan imej seterunya itu.
"Dia cuba melakukan ini sepanjang masa. Mengambil peluang bergambar dan semua itu.
"Kerana dia mahu tunjukkan kepada rakyat Malaysia bahawa dia diterima dengan baik," kata Mahathir ketika ditanya sama ada beliau mempunyai kebimbangan bahawa pertemuan Najib dengan Turnbull akan meningkatkan imejnya di pentas dunia.
"Tetapi jika kamu tahu dia seorang pencuri, kamu (Turnbull) harus menjarakkan diri daripadanya (Najib)," kata Mahathir yang berkeras bahawa Najib mesti disingkirkan atas dakwaan beliau terlibat dalam skandal 1MDB.
Minggu lalu, Mahathir dilaporkan memberitahu The Australian bahawa Turnbull harus menimbulkan isu skandal 1MDB dengan Najib pada sidang kemuncak itu.
Najib menafikan sebarang salah laku yang dikaitkan dengan 1MDB dan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali juga telah membersihkan perdana menteri daripada semua dakwaan berkenaan.
Malaysiakini.
0 comments:
Post a Comment