Mufti Perlis ingatkan ancaman puak Khawarij, penyokong Pas pula gelupur
Facebook Mufti Perlis, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin semalam ‘diserang’ penyokong Pas ketika doa pemimpin Pas Selangor supaya Allah menghancurkan “pakatan yang jahat” sedang hangat diperkatakan.
Status Facebook Dr Asri atas nama DrMAZA.com yang dimuatnaik kira-kira pukul 3 petang semalam menerima komentar yang antaranya menafikan gejala mengkafirkan orang lain wujud dalam Pas.
Ada yang turut memaki hamun bahkan menuduh Dr Asri sebagai suka baling batu sembunyi tangan dengan tujuan kononnya mahu menimbulkan fitnah walaupun tokoh berkenaan sama sekali tidak menyebut tentang Pas.
Bagaimanapun, kutukan daripada penyokong Pas itu kemudiannya mengundang reaksi pengguna Facebook lain yang rata-ratanya menganggap penyokong Pas tidak harus menggelupur dengan ‘posting’ tersebut.
Mereka berpendapat status Dr Asri itu bersifat umum dan ditujukan kepada semua parti politik selain ada yang menganggap siapa makan cili, dia terasa pedas.
Bahkan, terdapat netizen yang menyoal kembali sejauh benar Pas menegakkan Islam apabila Rang Undang-Undang (RUU) 355 yang ditangguhkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini tidak diketahui statusnya.
“Kalau tak buat, tak payahlah bising-bising. Dr Maza cuma menyampaikan apa yang patut dan tak sebut pun siapa. Kenapa nak marah dan maki hamun Dr Maza?
“Dr Maza kan berdakwah. Maki hamun itu haram. Kalau betul-betul nak Islam, patuhlah pada ajaran Islam,” kata Kamarudin Mohd Zin.
Dr Asri dalam kenyataannya itu menulis tentang golongan Khawarij yang berpolitik menggunakan nama agama dengan mengkafirkan atau menganggap pihak yang tidak menyokong mereka sebagai musuh Islam.
“Alasan mereka kononnya hendak menegakkan ‘hukum Islam’ (mengikut tafsiran mereka).
“Sepanjang sejarah mereka telah berperang sesama muslim atas nama ‘politik agama’ iaitu mereka merupakan puak yang hendak menegakkan Islam dan penentang mereka merupakan musuh agama.
“Natijahnya, betapa ramai pihak yang mereka hukum sebagai ‘musuh Islam’ kerana tidak menyokong hasrat politik Islam ala mereka,” dipetik daripada status Facebook Dr Asri hari ini.
Selanjutnya, ahli akademik tersebut menegaskan tentang amaran Nabi Muhammad tentang kemunculan puak Khawarij serta tuntutan Rasulullah supaya golongan pelampau itu ditentang.
“Sayyiduna Ali bin Abi Talib dan para sahabat Nabi s.a.w telah memainkan peranan mereka memerangi kelompok yang sesat ini.
“Maka menjadi kewajipan umat selepas mereka menentang aliran pelampau khawarij ini yang muncul sepanjang zaman.
“Menentang mereka itu merupakan perjuangan Islam yang disuruh oleh Nabi s.a.w dan ia telah dilakukan oleh para sahabat,” kata Dr Asri lagi.
“Menentang mereka itu merupakan perjuangan Islam yang disuruh oleh Nabi s.a.w dan ia telah dilakukan oleh para sahabat,” kata Dr Asri lagi.
Semalam, Timbalan Ketua Dewan Ulamak Pas Selangor, Ahmad Dusuki Abd Rani ketika memimpin bacaan doa selepas solat hajat sempena sambutan 10 tahun Pas berada dalam kerajaan negeri Selangor di Shah Alam menyebut agar “pakatan yang jahat” hancur.
Menurut Ahli Perhubungan Pas Selangor itu, Selangor “dijajah dengan suasana yang tidak (dengan) cara agama” serta berdoa supaya Allah melemahkan “pakatan yang jahat” tersebut.
“Ya Allah jadikanlah pakatan yang jahat itu, pakatan yang tidak mempunyai kekuatan Ya Allah, sebagaimana Kamu telah meleburkan tentera-tentera ahzab itu Ya Allah,” pinta Ahmad Dusuki yang juga ahli Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) itu lagi.
MD.
0 comments:
Post a Comment