Clare Rewcastle-Brown yang memainkan peranan besar mendedahkan skandal 1MDB serta menyukarkan kerajaan BN sebelum ini berkata, dia pernah meragui Tun Dr Mahathir Mohamad dan motif di sebalik tindakan perdana menteri itu.
Dalam wawancara bersama Malaysiakini pagi tadi editor Sarawak Report berkenaan ditanya mengenai tuduhan Datuk Seri Najib Razak bahawa pendedahan skandal berkenaan adalan konspirasi untuk menjatuhkannya.
Sebelum ini bekas peguam negara Tan Sri Abdul Gani Patail dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selalu didakwa gagal mempertahankan kedaulatan undang-undang atau mengelak daripada mengambil tindakan ke atas pemimpin kerajaan.
Bagaimanapun dalam isu membabitkan Najib, kedua-dua pihak terbabit dilihat bertindak di luar kebiasaan.
"Saya rasa itu (persepsi mengenai Abdul Gani dan SPRM) menarik dan mungkin boleh diterima," kata Clare.
Ketika itulah kata Clare dia percaya Dr Mahathir mula bertindak.
"Jangkaan saya ialah dia (Dr Mahathir) berjumpa dengan ramai orang dan menggunakan pengaruhnya. Maksud saya pada ketika itu dia sudah mula menjadi sangat lantang.
"Saya agak yakin dia mengenakan tekanan ke atas orang yang dikenalinya supaya bertindak menentang Najib.
"Saya yakin anda betul. Itulah sebabnya mengapa sesetengah orang yang terlibah dalam isu ini tidak pernah bertindak sebegitu sebelumnya," kata Clare.
Bagaimanapun Clare - yang turut dituduh bersekongkol dalam rancangan berkenaan - berkata minatnya terhadap skandal 1MDB sepenuhnya didorong oleh perspektif sebagai wartawan.
"Jangan libatkan saya dengan konspirasi itu," katanya.
Menafikan dia sebahagian daripada pakatan berkenaan, Clare berkata sebagai wartawan dia tidak pernah mempercayai sepenuhnya sesiapa pun.
"Sudah tentu saya tidak percaya penuh kepada Dr Mahathir dan motifnya pada ketika itu, tapi pada masa sama ia adalah cerita yang sangat menarik. Saya melihatnya (isu skandal 1MDB) begitu," katanya.
Wartawan yang berpangkalan di London dan kini mengunjungi Malaysia itu berkata dia tertarik apabila pelbagai pihak bersatu untuk menangani skandal 1MDB.
"Dan anda tahu, untuk mempertemukan mereka ini, skala 1MDB ini memang luar biasa, walaupun di Malaysia.
"Budaya rasuah semakin memburuk dalam badan kerajaan, tetapi ia (skandal 1MDB) jauh lebih besar dan saya fikir ia mengejutkan banyak orang yang sebelum ini masih boleh bertolak-ansur dengan keadaan itu sebelumnya," kata Clare.
Malaysiakini.
0 comments:
Post a Comment