Thursday 17 May 2018

[Video LANGSUNG DARI SABAH - 7AM [18 MEI 2018-Masalah bekalan air] Shafie serah kepada mahkamah kes saman Musa Aman.

Jumaat, 18 Mei 2018

Shafie serah kepada mahkamah kes saman Musa Aman


Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menyerahkan kepada mahkamah untuk membuat keputusan berhubung saman difailkan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah Tan Sri Musa Aman semalam terhadapnya serta Tuan Yang Terutama (TYT) Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin.
Mohd Shafie berkata perkara itu bukan masalah dan beliau akan mengikut undang-undang serta peraturan yang ditetapkan.
Malahan beliau berkata, Musa patut mencontohi bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan yang berundur diri secara budiman apabila tidak mendapat sokongan majoriti Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) sekali gus memberi laluan kepada Tun Sakaran Dandai menjadi ketua menteri pada tahun 1994.
"Saya masih ingat lagi, bila mana dia (Pairin) mengangkat sumpah dan membentuk kerajaan (tetapi) selepas itu dia hilang sejumlah sokongan ADUN dan majoriti tidak cukup.
"Dia sebagai seorang budiman yang mematuhi undang-undang dan memahami undang-undang, tanpa ada sebarang bantahan terus menerima nasihat dan pandangan (letak jawatan) daripada TYT Tun Said Keruak (ketika itu) untuk membolehkan Tun Sakaran mengambil alih selaku ketua menteri," katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa di Masjid Pekan Semporna semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas saman difailkan Musa yang mendakwa pengakuan sumpah Mohd Shafie sebagai Ketua Menteri oleh TYT adalah tidak berpelembagaan dan tidak sah.
Mohd Shafie berkata selain kes Pairin itu terdapat contoh lain yang cukup jelas seperti di Perak iaitu kes bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin tidak mendapat sokongan majoriti ADUN maka beliau 'jatuh'.
"Berdasarkan Perlembagaan Negeri Sabah artikel 7, cukup jelas menyatakan apabila ketua menteri tidak mempunyai cukup jumlah undi (yang dinyatakan majoriti keyakinan daripada ADUN) maka atas penilaian dan pandangan TYT bahawa mana-mana ketua menteri berundur selain membubarkan Dewan Undangan Negeri atas persetujuannya," katanya lagi.
Sementara itu, beliau berharap rakyat dapat bersabar dan memberi ruang untuk kerajaan pimpinannya menunaikan segala perkara yang dijanjikan sebelum ini.
"Bersabar, bukan semudah itu kita boleh tunaikan segala janji yang kita telah umumkan, ini akan ambil sedikit masa.
Tetapi Insya-Allah saya sebagai seorang pemimpin jarang berjanji kalau saya tidak mampu menunaikannya," katanya dalam nada sebak dan disahut tepukan gemuruh kira-kira lebih 5,000 penduduk Semporna yang hadir di majlis itu.
Di samping itu, Mohd Shafie berkata kerajaan negeri dalam perancangan membawa masuk pelabur ke Sabah khususnya dalam sektor perindustrian dalam tempoh terdekat.
Inisiatif itu, katanya seiring untuk merancakkan ekonomi pantai timur Sabah.
"Ini bakal menjana peluang pekerjaan kepada anak-anak kita di daerah-daerah berhampiran (dari tempat tinggal)," katanya.
Semalam, Musa yang juga pengerusi BN Sabah memfailkan writ saman terhadap Tun Juhar Mahiruddin dan Shafie memohon pengisytiharan bahawa beliau (Musa) kekal sebagai ketua menteri Sabah yang sah.
Writ itu juga memohon pengisytiharan bahawa majlis mengangkat sumpah presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN) itu sebagai Ketua Menteri oleh Yang Dipertua Negeri Sabah adalah menyalahi perlembagaan.
Writ itu juga memohon pengisytiharan bahawa apa-apa dan semua tindakan oleh Shafie yang dikatakan sebagai ketua menteri adalah batal, tidak sah dan tidak terpakai.
Writ itu difailkan oleh Tetuan F.T. Ahmad & Co, yang mewakili Musa dan menamakan Tun Juhar dan Mohd Shafie, masing-masing sebagai responden pertama dan kedua.
Di bawah Kaedah-kaedah Mahkamah 2012, sebaik writ diserahkan, Juhar dan Shafie mempunyai tempoh 14 hari untuk memfailkan kehadiran..
Musa mengangkat sumpah sebagai ketua menteri pada 10 Mei sementara Mohd Shafie mengangkat sumpah pada 12 Mei.
- Bernama
Malaysiakini.

0 comments:

Post a Comment

Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena