Sunday 11 May 2014

Halangan Akta Mahkamah Syariah: PAS tangguh Hukum Allah (Hudud) - Presiden TGHH

Ahad, 11 Mei 2014
PAS tangguh hasrat bawa undang-undang persendirian laksana hudud 
HARAKAHDAILY | 11 Mei 2014
KEPUTUSAN ini dibuat bagi memberi ruang kepada Jawatankuasa Teknikal yang bakal ditubuhkan untuk mengemukakan cadangan tindakan ke arah pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 Negeri Kelantan.


Tiada Hudud Jika Putrajaya Tidak Pinda Akta Mahkamah Syariah - PAS


[TMI] Di sebalik segala retorik untuk melaksanakan hukum hudud di Kelantan, PAS mengakui tidak dapat melaksanakan undang-undang Islam itu sekiranya Putrajaya tidak meminda Akta Mahkamah Syariah yang menjadi halangan .

Ketua Penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar (gambar) berkata, Putrajaya perlu mengambil tindakan awal meminda akta berkenaan untuk membolehkan rancangan mereka melaksanakan undang-undang Islam di negeri itu.

"Pelaksanaan hanya boleh dilakukan jika kerajaan buang halangan (pinda akta) itu.

"Kita tunggu kerajaan, sebab mereka kata mereka yang akan buang," katanya kepada The Malaysian Insider di Kuala Lumpur semalam.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu berkata, PAS juga tertakluk kepada prinsip demokrasi untuk meneruskan pelaksanaan hudud di Kelantan yang mana anggota Parlimen boleh memilih untuk menyokong atau menolak enakmen yang ingin dibawa parti itu ke Parlimen.

"Jika tidak boleh pinda maka tidak boleh buat hudud. Kita melalui proses demokrasi. Bukan soal PAS enggan laksanakan, tetapi wujudnya halangan kerana kerajaan tidak bersedia meminda halangan dalam akta Mahkamah Syariah," katanya.

Kerajaan negeri Kelantan sebelum ini berkata mereka akan membawa satu rang undang-undang persendirian (private bill) berkaitan isu Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) 1993 ke Parlimen dalam masa terdekat.

Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat exco baru-baru ini sebagai menyahut seruan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang mengatakan Putrajaya bersedia membantu Kelantan melaksanakan undang-undang hudud.

"Kerajaan Kelantan dengan ini akan menyiapkan satu rang undang-undang persendirian yang akan dibawa ke mana-mana sidang Parlimen terdekat oleh salah seorang ahli Parlimen bukan kerajaan bagi mendapat kebenaran Kelantan melaksanakan undang-undang tersebut seperti yang diperuntukkan Perkara 76 (A) Perlembagaan Persekutuan.

"Satu rang undang-undang persendirian juga akan dibawa bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa) 1965 untuk memberi bidang kuasa lebih luas kepada Mahkamah Syariah negeri Kelantan bagi membolehkannya menghukum sebagaimana peruntukan dalam Enakmen Hudud," katanya.

Keputusan kerajaan negeri itu dibuat kerana sebahagian besar kesalahan jenayah hudud dan qisas seperti mencuri, merompak, merogol, mencedera dan membunuh terletak dalam bidang kuasa kerajaan persekutuan sebagaimana yang diperuntukkan dalam Kanun Keseksaan (Penal Code), begitu juga agensi-agensi pelaksana seperti polis dan penjara.

Kerajaan Kelantan juga katanya bersedia memberi jaminan sekiranya tiada halangan dan Putrajaya memberikan laluan kepada dua undang-undang persendirian ini dibentang dan diluluskan di Parlimen, Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) 1993 paling lewat akan berkuatkuasa di Kelantan pada tahun 2015.

Mahfuz berkata, memandangkan akta yang mahu dipinda itu akta yang digubal kerajaan pusat, maka lebih sesuai sekiranya pindaan itu dilakukan mereka.

"Jika benar mereka mahu membantu maka kerajaan pusat perlu meminda akta berkenaan," katanya.

Tindakan PAS melaksanakan hudud di Kelantan dikecam hebat oleh parti komponen Pakatan Rakyat (PR) terutamanya DAP yang mengatakan tiada konsensus di antara tiga parti itu untuk melaksanakan syariat Islam.


Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke (gambar) sebelum ini menggesa PAS keluar daripada PR sekiranya terus berdegil melaksanakan hudud di Kelantan.

Semalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) mengatakan hudud perlu dilaksanakan kepada semua rakyat Malaysia termasuk bukan Islam.

Menurut Presiden Isma Abdullah Zaik Abdul Rahman, hudud akan menjaga keselamatan negara dan penjenayah tidak akan lagi berani melakukan jenayah sekiranya undang-undang tersebut dilaksanakan.

Abdullah juga berkata, bukan Islam terutamanya kaum Cina daripada DAP dan MCA tidak perlu campur tangan dalam urusan umat Islam untuk melaksanakan hudud. – MOHD FARHAN DARWIS/11 Mei, 2014




Hudud dalam psiki masyarakat Cina

DATUK DR MUJAHID YUSOF RAWA | .

Jiwa dan minda adalah perkara yang sangat penting kerana ia akan membuat tafsiran kepada logik yang akan menjadi sikap seseorang terhadap sesuatu isu. Banyak faktor yang mempengaruhi minda seseorang terhasil daripada persepsi yang diterimanya.

Artikel ini cuba meneroka jiwa dan minda dalam logik masyarakat Cina secara khusus merujuk kepad isu hudud yang hangat diperbincangkan mutakhir ini dalam usaha cuba memahami apa yang dibimbangi, dibincangkan dan dipolemikkan mengikut psiki (psyche) masyarakat Cina.

Psike Cina

kaum cina sokong pas oriPsiki atau situasi jiwa dalam dan minda sesebuah masyarakat berbeza daripada satu kaum kepada satu kaum yang lain. Situasi psiki banyak dipengaruhi oleh budaya yang diwarisi turun temurun serta nilai-nilai moral yang menentukan tindak-tanduk sesebuah masyarakat.

Masyarakat Cina mempunyai psikinya yang tertentu dan oleh kerana sejarah mereka yang panjang serta diaspora Cina tersebar ke seluruh dunia maka kehendak secara semulajadi memelihara budaya dan gaya hidup mereka dalam lautan masyarakat yang ada psikinya tersendiri menjadikan pertembungan budaya sebagai sesuatu yang tidak dapat dielakkan dan perasaan yang disepakati bersama dalam masyarakat Cina ialah kebimbangan pencairan berlaku di atas sebab ‘pemaksaan secara sistematik’ sesuatu yang mereka tidak memahaminya.

Isu hudud perlu diletakkan dalam perspektif psiki ini dan ia tidak ada kena mengena penerimaan atau penolakannya atas sebab membenci Islam atau suka kepada Islam tetapi ia dihamparkan atas premis sama ada psike mereka dapat menerimanya atau tidak dan ia terpulang kepada sejauh mana kita dapat temukan psiki Melayu dan Cina di atas jalur dan kerangka yang lebih konstruktif dan objektif.

Psiki Bahasa Mandarin

Bahasa memainkan peranan penting untuk membentuk sesuatu kefahaman dan sebab itu setiap penghuraian konsep akan dimulakan definisi secara bahasa dan istilah. Istilah menerangkan secara tepat dan padat keseluruhan kerangka konstruktif kepada sesuatu konsep dan kategori-kategori yang kemudiannya dihuraikan.

Dalam isu hudud dan istilah Islamik yang lain, psiki Bahasa Mandarin yang terbenam dalam kefahaman pembacanya turut mempengaruhi cara mereka memahami sesuatu istilah.

Contohnya agama Islam dalam Bahasa Mandrin yang dipakai ialah “Hui Chjow” yang membawa maksud “agama kaum Hui”. Kaum Hui difahami sebagai etnik Cina yang memeluk Islam sejak zaman-berzaman.

Islam tidak dipakai dalam maksudnya yang asal tetapi dikaitkan kepada sesuatu etnik di negara China. Parti Islam SeMalaysia (PAS) contohnya diterjemahkan sebagai “Hui Chjow Tang” yang membawa maksud “Parti Agama Kaum Hui”.

Meskipun demikian, usaha-usaha untuk mempopularkan perkataan Islam secara terus dan literal iaitu “Ye Si Lan” dalam fonetik bahasa Mandarin sedang giatkan dilakukan. PAS juga mestilah dikenali dalam bahasa Mandarin sebagai “Ye Si Lan Tang” iaitu Parti Islam.  Ia penting kerana sesuatu perkataan itu mesti sampai mengikut psiki bahasa asalnya dan bukan psiki penterjemahnya.

Hudud

Memahami kebimbangan masyarakat Cina kepada undang-undang hudud ialah dengan kita cuba memahami terlebih dahulu apakah terjemahan kepada Bahasa Mandrin bagi istilah ‘hudud’.

Mereka menterjemahkannya sebagai “undang-undang memotong anggota badan” atau terjemahan terusnya “amputation law”. Walaupun sesetengahnya menterjemahkan kepada “undang-undang jenayah Islam” tetapi penggunaan yang awal itu digunakan disebabkan kebimbangan terhadap hudud.

Samada kebimbangan itu kerana dianggap kejam atau kebimbangan mereka turut ‘dipaksakan’ untuk menerimanya sebagai hukuman.

Bagi saya terjemahan yang lebih hampir pada roh pada semangat hudud adalah “undang-undang jenayah syariah” dan bukan “undang-undang memotong anggota badan”.

Apakah pula istilah “syariah” dalam bahasa Mandarin? Sedangkan istilah syariah membawa maksud panduan fiqah ke atas seorang Muslim dalam keperluan akidah, ibadah dan muamalatnya.

Hudud adalah aspek punitif kepada keseluruhan rangka syariah yang dimaksudkan. Apakah penghuraian ini diberikan keadilan dalam dalam psiki Bahasa Mandrin sekaligus memberi perspektif yang jauh daripada sekadar potong anggota badan atau mengkudungkan anggota badan?

Psiki bahasa yang agak rumit perlu kepada perbincangan akademik supaya Bahasa Mandarin yang dipengaruhi alam Melayu diberikan terjemahan yang lebih menyegarkan dan positif dalam memahami maksud bahasa asalnya.

Kebimbangan

Kebimbangan ada kepada semua anggota masyarakat dan ia menjadi lebih ‘real’ apabila konflik menuntut hak menjadi asas. Psiki masyarakat Cina amat membimbangi  bahasa, budaya dan adat resamnya terhapus dan cair.

bantuan-dap-pas-perlis-pix-650x400Kebimbangan ini terbawa-bawa kepada isu lain yang mereka anggap merampas hak mereka. Bukanlah sangat mereka mempertikaikan hudud hanya untuk orang Islam tetapi mereka sering mengaitkan apa situasinya apabila dua agama yang berlainan Islam dan bukan Islam didapati bersalah maka hanya yang Islam kena hudud  dan yang seorang lagi tidak kena hudud. Dualisme perundangan ini dikhuatiri tidak memberi keadilan kepada pesalah.

Kebimbangan seterusnya ialah apakah jaminan bahawa mereka juga kelak tidak akan dikenakan di bawah undang-undang hudud?

Psiki masyarakat Cina kepada pemerintah juga hasil dari sejarah panjang interaksi mereka bawah pemerintahan dinasti China. Banyak pemberontakan yang berlaku atas nama menentang kerajaan yang tidak adil.

Sifat penentangan ini dalam diaspora masyarakat Cina diterjemahkan dalam perjuangan menuntut hak mereka melalui ruang demokrasi. Hudud bagi psiki politik mereka bukan agenda parti-parti yang mereka bawa ke dalam parlimen.

Mereka mahukan kerajaan yang korup tumbang dan cara mereka ialah menyokong parti yang dapat membawa hasrat ini.  Mereka ada hak untuk mempertikaikan hudud melalui parti yang mereka bawa masuk khususnya Pakatan Rakyat (PR) kerana masyarakat Cina mengundi hampir 80 peratus untuk calon PR.

Walaupun hudud di Kelantan tetapi suara yang hendak meluluskannya di Parlimen juga adalah suara mereka. Psike politik demokrasi hari ini adalah warisan sensitiviti dan keprihatinan mereka dalam hubungan dengan kerangka kuasa yang ada.

Pertembungan Psiki?

Saya tidak melihat isu hudud adalah isu Islam dan anti-Islam kerana ia terlalu simplistik dalam dunia yang penuh komplikasi hari ini. PAS khususnya harus mengurus isu hudud ini melampaui jalur hukum tetapi hendaklah merentasi jalur demokrasi, perundangan dan teknikalitinya serta lebih memahami psiki masyarakat selain Melayu bagi menemukan perjuangannya dalam konteks masyarakat plural hari ini.

Artikel awalan ini cuba untuk merentasi jalur psiki untuk mendalami masalah hudud bukan daripada psiki Melayu tetapi dari minda, jiwa dalam dan intelektual masyarakat Cina.

Penulis adalah Ahli Parlimen Parit Buntar merangkap Pengerusi Lujnah Perpaduan Nasional PAS.

Harakahdaily.

0 comments:

Post a Comment

Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena