Wednesday 23 March 2016

Hairan dengan sikap Haji Hadi, Bersatu TENTANG DAP.

Rabu, 23 Mac 2016
Sekadar hiasan.

HAIRAN DENGAN SIKAP HAJI HADI, BERSATU TENTANG DAP.

1. Saya hairan dengan sikap Datuk Seri Abdul Hadi Awang selepas membaca kenyataan terbarunya yang menyeru agar umat Islam bersatu menentang DAP kerana katanya DAP mempunyai cita-cita lebih besar daripada sekadar menguasai ekonomi. Beliau juga berkata bahawa DAP tidak berhak untuk memerintah negara ini memandangkan kaum Cina hanya mewakili 30 peratus sedangkan jumlah umat Islam adalah 60 peratus.

2. Atas premis tersebut itulah Presiden PAS itu menyeru ke arah penyatuan umat Islam kerana katanya, hanya melalui penyatuan umat Islam sahaja mampu memastikan negara ini terus diperintah oleh orang Melayu.

3. Umum mengetahui bahawa DAP hanya bertanding sekitar 52 kerusi Parlimen sahaja daripada keseluruhan 222 kerusi Parlimen yang ada di seluruh Malaysia termasuk di Sabah dan Sarawak. Dari segi peratus pula, 52 kerusi Parlimen tersebut hanya mewakili 1/4 daripada keseluruhan kerusi Parlimen yang ada di negara kita. 

4. Saya percaya bahawa DAP sudah mencapai "limit" melalui 52 kerusi yang ditandinginya itu dan selebihnya akan diisi oleh PKR dan AMANAH kerana kita tahu bahawa DAP hanya akan bertanding di kerusi-kerusi yang majoriti pengundinya adalah berbangsa Cina atau bukan Islam saja dan mereka tidak akan bertanding di kerusi majoriti orang Melayu kerana DAP sedar bahawa kerusi tersebut bukan kerusi selamat bagi mereka. 

5. Oleh yang demikian, berdasarkan kira-kira di atas, DAP tidak boleh memerintah Malaysia hanya dengan memiliki 1/4 kerusi Parlimen sahaja sepertimana yang ditakut-takutkan oleh Presiden PAS itu.  

6. Saya yakin dan percaya Datuk Seri Abdul Hadi Awang sedar dan tahu dengan fakta ini. Beliau bukan orang baru dalam politik. Tetapi saya yakin, kenyataan tersebut dibuat mesti bersebab dan mempunyai agenda tertentu. 

7. Agenda yang paling ketara di sebalik seruannya itu, antara lainnya, adalah bertujuan untuk mengekalkan UMNO sebagai parti yang memerintah. Sejak di dalam Pakatan Rakyat lagi PAS tahu dan sedar bahawa isu perkauman merupakan faktor terbesar yang menyebabkan orang Melayu tidak “full-swing” atau memberi sepenuh sokongan kepada Pakatan Rakyat. Sebagai Presiden PAS dan Pengerusi Lajnah Politik PAS Pusat, beliau tentu sedar dan tahu mengenai perkara ini. 

8. Secara logiknya, sekiranya PAS benar-benar menjadikan UMNO sebagai seru politik dan mahukan UMNO tumbang pada PRU yang akan datang, isu perkauman pasti akan ditentang habis-habisan oleh PAS kerana itulah senjata politik yang digunakan UMNO selama ini untuk kekal memerintah. Namun pada hari ini, dalam PAS mengatakan bahawa mereka tidak menyokong UMNO, tetapi PAS menggunakan senjata politik UMNO di dalam kempen politik mereka. 

9. PAS selama ini menafikan bahawa mereka akan bergabung dengan UMNO dan pembentukkan Blok Ke-3 bersama IKATAN pada 16 Mac yang lalu dijadikan sebagai bukti untuk mereka membenarkan dakwaan mereka. Tetapi bagi saya, cukuplah PAS bertindak membawa suara-suara UMNO untuk saya katakan bahawa PAS sebenarnya mahu UMNO terus kekal sebagai pemerintah.  

10. PAS juga tahu bahawa untuk membentuk sebuah kerajaan, perlu ada pakatan diantara parti-parti politik seperti Barisan Nasional dan Pakatan Harapan yang melibatkan semua kaum yang ada di Malaysia. PAS tahu bahawa kekuatan BN adalah terletak kepada UMNO. PAS juga tahu bahawa untuk melemahkan PH adalah dengan menanam kebencian di kalangan orang Melayu terhadap DAP. PAS juga tahu bahawa sokongan Melayu terhadap PR dulu rendah disebabkan oleh DAP. PAS juga tahu bahawa UMNO tidak akan tumbang selagi orang Melayu masih menyokong UMNO. Oleh itu, semasa wujudnya PR dahulu, UMNO berusaha menghentam DAP untuk melemahkan PR. Tetapi pada hari ini, kita menyaksikan Presiden PAS pula menghentam DAP. Kesannya, sokongan Melayu terhadap Pakatan Harapan mungkin terjejas. Akhirnya, UMNO terus kekal memerintah negara apabila Pakatan Harapan lemah.

11. Jadi berdasarkan kepada fakta-fakta ringkas di atas, saya berani katakan bahawa PAS sebenarnya mempunyai agenda besar untuk melihat UMNO terus kekal sebagai pemerintah. Justeru kalau orang bertanya kepada saya mengenai pendirian saya terhadap PAS, saya akan katakan bahawa PAS adalah musuh politik nombor 2 selepas UMNO/Barisan Nasional.  

Ini pendirian peribadi saya!
Fitri Asmuni
Timb Ketua Pemuda Amanah Perak

Posted by mantaro on 23 March 2016 SISI BUKIT

0 comments:

Post a Comment

Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena