Friday 18 March 2016

Warkah Mahathir buat anggota-anggota cawangan Umno! "Umno tetap kalah PRU 14 jika dipimpin oleh Najib."

Jumaat, 18 Mac 2016

Warkah Mahathir buat anggota-anggota cawangan Umno

Saudara-saudari sekalian,
Assalamualaikum,
Izinkan saya menerangkan sedikit berkenaan keputusan saya untuk keluar dari Umno. Berbanding dengan pemimpin-pemimpin “Umno” yang ada sekarang, saya lebih lama berada dalam Umno.
Walaupun saya disingkir sekali dan tinggal Umno dua kali, saya tidak pernah menyertai parti lain. Saya tetap setia kepada Umno. Saya sayang Umno bukan kerana namanya Umno tetapi kerana perjuangannya untuk bangsa, agama dan negara.
Hari ini “Umno” tidak lagi berjuang kerana bangsa, agama dan negara. Hari ini perjuangan “Umno” terhad kepada pengekalan Datuk Seri Najib Razak sebagai perdana menteri.
Tidak ada perdana menteri terdahulu yang menjadikan Umno sebagai benteng untuk pertahankan diri, tidak Datuk Onn, tidak Tunku Abdul Rahman, tidak Tun Razak, tidak Tun Hussein.
Saya juga tidak menggunakan Umno untuk mempertahankan diri. Bahkan saya, seperti Tunku, rela meletak jawatan.
Oleh kerana perjuangan Umno sudah bertukar, maka pertubuhan ini bukan lagi Umno. Ia sudah jadi pertubuhan lain. Pemimpin-pemimpin yang masih ada dalam Umno kebanyakannya berada kerana kepentingan diri, kerana takut kepada Najib, kerana dapat nikmat dari Najib.
Mereka tidak peduli akan skandal kewangan yang melibat Najib, akan wang berbilion yang ada dalam akaun bank Najib. Sesungguhnya perdana menteri Malaysia tidak boleh miliki wang berbilion atau terima wang sebegitu banyak.
Dalam perjuangan kita perlu menentukan sasaran utama kita. Sasaran kita ialah Najib kerana dia merosakkan imej negara, menjadikan negara yang terkenal di dunia sebagai mempunyai amalan rasuah tertinggi.
Kita lihat di Timur Tengah orang Islam yang anggap orang Yahudi adalah musuh mereka yang sebenar tetapi mereka lebih utamakan permusuhan sesama mereka sehingga mereka berperang sesama sendiri.
Akhirnya Israel tepuk tangan melihat orang Islam membuat kerja mereka. Di Malaysia hari ini bukan parti lawan yang menjadi musuh utama tetapi Najib, kerana Najib merosakkan parti sehingga hampir kalah PRU13. Parti lawan tidak boleh kalahkan kita. Tetapi Najib boleh.
Najib sudah menjadikan Umno sebagai parti miliknya sendiri. Malangnya kepimpinan Najib melemahkan parti. Umno tetap kalah PRU 14 jika dipimpin oleh Najib. Adanya parti lawan sejak merdeka tidak pernah menghapuskan sokongan rakyat kepada Umno sehinggalah Najib memimpin Umno. Prestasinya lebih buruk dari Abdullah.
Yang menimbul masalah dan kepincangan dalam negara ialah Najib. Hutang negara meningkat sebanyak lebih dari 50 bilion ringgit kerana 1MDB. Sebilangan besar dari wang ini sudah hilang.
Untuk menampung wang yang hilang ini, Najib menjual tanah kerajaan yang dibeli dengan harga RM60 satu kaki persegi kepada Tabung Haji dengan harga RM3,500.
Tiba-tiba dilaporkan Najib mempunyai wang sebanyak RM2.6 bilion dalam akaun peribadinya di Ambank. Juga wang sebanyak RM42 juta dari SRC ada bersama. Dakwaan kononnya semua wang ini adalah hadiah dari orang Arab tidak masuk akal. Perdana menteri Malaysia tidak harus terima wang yang sebegitu banyak dari sesiapa pun.
Pemerintahan Najib kejam. Siapa yang menegurnya disingkir dari parti, dibuang jawatan, ditangkap dan dihadapkan ke mahkamah. Undang-undang baru dibuat untuk memberi kuasa kepada kerajaan Najib memasukkan dalam tahanan siapa sahaja tanpa dibicara.
Kerana semua ini saya keluar dari parti pimpinan Najib dan sebagai rakyat negara tercinta ini saya akan sambut desakan ramai rakyat untuk membuat sesuatu bagi mengembalikan pemerintahan yang adil ke negara ini.
Saya menjemput ahli-ahli Umno yang sayang kepada perjuangan asal Umno membantu saya untuk menyelamatkan parti dan negara ini. Kemukakanlah usul undi tidak percaya terhadap Najib sebagai presiden parti dan perdana menteri di mesyuarat-mesyuarat cawangan Umno. Usulkan juga agar pemilihan parti tidak ditangguhkan, dan dilaksanakan pada tahun ini juga.
Kita tidak boleh tunggu PRU14 kerana Umno yang dipimpin oleh Najib tetap akan kalah. Sekali Umno kalah ia tidak dapat dipulih semula.
Malaysiakini

0 comments:

Post a Comment

Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena