Saturday, 7 January 2017

Pas perlu buang kebencian terhadap Amanah & Dulu Pas lantik saya, tak jadi pertikaian pun, kata Saifuddin

Sabtu, 7 Januari 2017

Pas perlu buang kebencian terhadap Amanah

JAMZURI ARDANI
Rakan-rakan dalam Pas perlu membuang kebencian mereka terhadap Amanah. Ia amat mendedahkan sikap yg bertentangan dengan akhlaq Islam. Sikap ini tidak membawa apa-apa manfaat.
Saya membaca kenyataan rakan saya YB Che Lah, Setiausaha Perhubungan Pas Kelantan yang sangat ofensif terhadap Amanah. Terserlah keangkuhan yang tidak sedikit. Saya sampai teringat dengan sedutan kata,"If you want test the character of a man, give him power". YB Che Lah ini baru sahaja jadi Exco Kerajaan Negeri, tetapi kenapa sampai jadi begitu lagak angkuhnya.
Terimalah kenyataan. Rakan-rakan dalam Amanah hanya melaksanakan hak mereka dalam masyarakat demokratik. Dulunya mereka bersama Pas secara sukarela. Mereka berkorban macam-macam untuk parti juga secara sukarela. Masa itu mereka cukup yakin dengan perjuangan. Tetapi, masa berubah, senario politik berubah, Pas berubah, dan pendirian mereka juga berubah. Mereka jadi hilang keyakinan dengan Pas dan bertindak keluar parti dan menubuhkan parti baru. Bukankah ini fenomena biasa dalam masyarakat demokratik? Di mana pengkhianatannya?
Kenapa sampai jadi macam orang hilang pedoman? Digelar macam-macam, ditohmah macam-macam, dan paling jijik ialah apabila agama digunakan secara wewenang untuk menjustifikasikan sikap mereka.
Apabila Wakil Rakyat enggan meletak jawatan, maka itu dijadikan mantra untuk memburukkan mereka. Ya mereka pernah berbaiah, tetapi suasana ketika mereka berbaiah dengan suasana ketika mereka dicampak keluar tidak sama.
Mereka terpaksa memilih antara dua Amanah; amanah parti yang mencalonkan mereka dan amanah rakyat yang mengundi mereka. Mereka berijtihad dan memilih untuk memelihara amanah rakyat. Wajarkah mereka dituduh "pengkhianat" hanya kerana ijtihad mereka itu?
Mereka menuntut agar kerusi itu dipulangkan kepada mereka tanpa menilai secara objektif dan terperinci tuntutan tersebut. Tuntutan itu tidak rasional kerana beberapa kekangan undang-undang dan maslahah politik. Secara mudah, tuntutan itu bukan untuk berlaku adil, tetapi sekadar melepas geram.
Bagaimana sebuah parti yang mengaku memperjuangkan Islam boleh meletakkan isu kerusi mengatasi persoalan ukhuwwah dan keperluan berlaku adil.
Bila mereka bersama Umno, mereka baca ayat Quran mengenai "wa ta'awanu". Sikap mereka terhadap Amanah pula, mereka merujuk ayat-ayat tentang "munafiq". Bila mengulas Pakatan Harapan, mereka kupas pula tentang "perang Ahzab". Tentang DAP, mereka baca surah Al-Kafirun.
Agama jadi tunggangan politik mereka, memetik ayat-ayat Allah secara cuai hanya untuk agenda politik sempit semata.
Cukuplah. Kembalilah kepada akal yang waras.  Sama-sama kita pelihara kemurnian agama.
* Tulisan Jamzuri Ardani  ini tidak mewakili pendirian Malaysia Dateline.

Dulu Pas lantik saya, tak jadi pertikaian pun, kata Saifuddin

Pelantikan Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail sebagai Penasihat Strategik Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng tidak seharusnya menjadi pertikaian seperti yang dibangkitkan oleh lidah rasmi Pas, Harakahdaily.
Bercakap kepada Sinar Harian, Saifuddin berkata, beliau pernah dilantik oleh Menteri Besar Kelantan yang juga Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bagi mengetuai syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sebagai Ketua Tabung Amanah Tok Kenali sebelum ini.
Namun katanya, ketika itu tiada sebarang pertikaian daripada ahli Pas walaupun beliau daripada parti lain.
“Allahyarham Nik Aziz sangat maklum saya pemimpin PKR, tetapi melantik saya sebagai ketua GLC tersebut. Beliau melantik saya kerana berasakan saya ada pengalaman, boleh membantu GLC Kelantan dan memberi kepercayaan kepada saya.
“Jadi apa yang Guan Eng buat dengan melantik saya (Penasihat Strategik Ketua Menteri) itu adalah perkara yang telah pun Pas buat ketika melantik saya menyandang jawatan itu selama tiga tahun dari 2004 hingga 2007.
“Adakah ketika Guan Eng melantik saya, itu dikatakan ‘dedak’ dan waktu Pas pula bukan dedak. Itu tidak betul,” katanya.
Harakahdaily kelmarin menyiarkan artikel bertajuk "Saifuddin 'penimbang tara' kepentingan DAP?" dengan antara lain mendakwa jawatan tersebut bermotif kepartian bukan demi kepentingan rakyat.
Artikel tersebut menuduh pelantikan tersebut sebagai "dedak yang ditabur supaya individu atau pihak dilantik akan terikat."
Saifuddin dilantik secara rasmi pada Rabu lalu dan pelantikannya itu mendapat kelulusan Biro Politik PKR Pusat bagi mengukuhkan Pakatan Harapan Pulau Pinang.
Menurut Saifuddin, jika isu melantik bukan dalam kalangan ahli parti itu dianggap sebagai salah, dedak atau sebagainya, maka amalan itu telah dibuat oleh Pas terlebih dahulu.

0 comments:

Post a Comment

Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena