Saturday, 15 February 2014

Bantah PBS: Himpunan 222 gugat kerajaan hanya dakyah...

Ahad, 16 Februari 2014
Sayangi anak-anak kita dan jangan jadikan mereka mangsa kepada sistem yang nazak...

Image

Masjid Al Hasanah Bandar Baru Bangi 

Dari kiri,  Presiden persatuan Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan,Normala Sudirman, pengerusi Penaja Suara Guru Masyarakat Malaysia, Mohd Nor Izzat Mohd  Johari dan Abdul Rahman Usman dalam sidang akhbar pengumuman rasmi Himpunan 222 Kezaliman Terhadap Warga Pendidik dan Mansuh PBS oleh SGMM dan PENDIDIK di Bangi Golf and Resort. Gambar FAZRY ISMAIL.


 "Himpunan 222: Mansuh PBS" akan diadakan di Masjid Al Hasanah Bandar Baru Bangi

BANGI: Suara Guru Masyarakat Malaysia (SGMM) memberitahu "Himpunan 222: Mansuh PBS" akan diadakan di Masjid Al Hasanah Bandar Baru Bangi pada jam 1 petang berikutan terdapat satu arahan yang dikeluarkan oleh Majlis Pegawai Pendidik Daerah Malaysia (MPPDM) yang meminta agar guru-guru tidak hadir himpunan yang diadakan di Putrajaya.

Himpunan aman itu dijangkakan dihadiri oleh 200 peserta akan turut dihadiri 15 badan bukan kerajaan (NGO) dan juga 10 orang tokoh pendidik negara ini bagi menyatakan bantahan terhadap  pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).

Jelas Pengerusi Penaja SGMM, Mohd Nor Izzat Mohd Johari pada satu sidang media petang semalam, berikutan arahan tersebut SGMM mengambil pendekatan untuk mengubah lokasi himpunan tersebut.

"Himpunan yang kita jadualkan akan diadakan di pekarangan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Putrajaya telah kita ubah ke Masjid Bandar Baru Bangi.

"Ini berikutan satu arahan yang telah dikeluarkan oleh MPPDM yang mengarahkan agar guru-guru tidak hadir pada himpunan di Putrajaya itu.

"Berubahnya lokasi ini, KPM mahupun MPPDM tidak lagi boleh mengeluarkan apa-apa arahan agar guru tidak hadir kerana arahan mereka hanya tertumpu himpunan di Putrajaya sahaja, bukannya di Bandar Baru Bangi," jelas beliau.

Tegasnya lagi, apa-apa arahan yang dikeluarkan itu tidak terpakai kerana arahan pertama telah pun dikeluarkan dan jika masih terdapat arahan kedua ia adalah bertujuan untuk mengagalkan himpunan yang akan diadakan itu.

Beliau yang juga Ketua Gerak Kerja Kempen Mansuh PBS turut kesal dengan tuduhan Yang Dipertua MPPDM, Shafruddin Ali Hussin yang berkata himpunan berkenaan merupakan dakyah pihak tertentu yang mahu menjatuhkan kerajaan dan menggugat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) semata-mata, demi kepentingan diri.


"Saya di sini selaku Ketua Gerak Kerja untuk SGMM menegaskan beliau tidak sewenang-wenangnya menuduh gerakan ini dengan menyatakan untuk menjatuhkan kerajaan.

"Sikap beliau yang memutar belit cerita amat memalukan sebagai Pegawai Pendidikan Daerah, saya dengan tegas mendesak beliau untuk memohon maaf kepada seluruh guru Malaysia kerana menuduh kami ingin menjatuhkan kerajaan.

"Sebelum kita dari awal menyatakan ini adalah gerakan untuk menjamin masa depan anak-anak kita baik di sekolah atau di luar, ia berkaitan pendidikan bukan untuk menjatuhkan kerajaan. Ini jelas dan perlu faham," tegas beliau.

Katanya lagi, semua pihak sama ada menteri atau Pegawai Pendidikan Daerah juga perlu hadir pada himpunan tersebut bagi melihat sendiri pengisian yang akan dilaksanakan.

"Kita minta semua hadir, ibu bapa dan juga termasuk mereka dari KPM dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk melihat sendiri apa yang kita lakukan pada himpunan tersebut.

"Himpunan itu bukan hanya desakan mansuh PBS tetapi kita akan sertai dengan program-program penerangan tentang pendidikan, kelemahan PBS yang sudah tidak dapat diperbaiki sehingga pelajar menjadi mangsa," sambung beliau.

Jelas beliau, himpunan tersebut akan dibatalkan serta merta jika KPM mengeluarkan arahan rasmi dalam memansuhkan pelaksanaan PBS sebelum himpunan itu diadakan.

Namun, tegas beliau jika KPM masih berdiam diri dan bertegas dengan pendirian serta alasan mereka, himpunan 222 ini merupakan satu permulaan kepada gerakan yang lebih besar di seluruh negara.

"Kita mahu kebaikan dalam sistem pendidikan negara, kita bukan ingin menentang kerajaan tetapi ingin menjadikan ia yang terbaik.

"Kita gesa segerakan pemansuhan PBS, sayangi anak-anak kita dan jangan jadikan mereka mangsa kepada sistem yang nazak itu," jelasnya.

Beliau yang turut mengulangi, gerakan ini bukannya berlandaskan politik dan hanya bertujuan untuk kebaikan pendidikan, namun dalam masa yang sama beliau mengalu-alukan sokongan semua pihak termasuk parti politik.

Turut hadir pada sidang media tersebut adalah Presiden Persatuan Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan (NGO Pendidik), Normala Sudirman.


0 comments:

Post a Comment

Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena