Tuesday, 9 January 2018

[Video Mahkamah tolak permohonan Najib, 1MDB ketepi saman GANT1] AMANAH cawangan UK sokong Muafakat PH.

Selasa, 9 Januari 2018



Mahkamah tolak permohonan Najib, 1MDB ketepi saman GANT1


Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, 1MDB dan kerajaan untuk membatalkan saman yang difailkan oleh sekumpulan pemimpin Pemuda Pakatan Harapan (HARAPAN) yang mencabar pembayaran yang dibuat kepada International Petroleum Investment Company (IPIC).
Hakim Datuk Hue Siew Kheng berkata, pemuda Gerakan Anak Muda Tolak Najib (GANT1) mempunyai lokus standi (kedudukan undang-undang) untuk memulakan saman itu sebagai rakyat prihatin berdasarkan kenyataan Menteri Kewangan Kedua Datuk Johari Abdul Ghani pada 1 Ogos 2016, bahawa Malaysia akan mencabar tuntutan IPIC di Mahkamah Antarabangsa Timbangtara.
Peguam mereka Haniff Khatri Abdulla berkata dalam masa kurang setahun selepas kenyataan itu, 1MDB bersetuju, selepas proses timbang tara, membayar IPIC melalui dua bayaran.
"Oleh itu, hakim berpendapat bahawa defendan gagal memberi bahan yang mencukupi di mahkamah ini tentang mengapa ia berlaku dan terdapat kes yang memerlukan penjelasan lanjut dalam perbicaraan," katanya kepada pemberita selepas keputusan itu dibuat di dalam kamar.
Berikutan itu, Haniff berkata Najib, 1MDB dan kerajaan telah diperintahkan oleh Hakim Hue untuk memfailkan pernyataan pembelaan mereka sebelum akhir bulan ini dan menetapkan pengurusan kes pada 30 Jan.
Hakim juga menolak permohonan lisan oleh peguam Najib, Datuk Mohd Hafarizam Harun dan peguam 1MDB, Tan Hock Chuan untuk penangguhan dalam memfailkan pembelaan.
Hafarizam berkata, bahawa beliau akan memfailkan rayuan terhadap keputusan hari ini di Mahkamah Rayuan dan juga untuk penangguhan yang ditolak itu.
GANT1 memfailkan saman tersebut pada bulan Julai tahun lalu untuk menghentikan pembayaran kepada IPIC.
malaysiakini

AMANAH cawangan UK sokong Muafakat PH

AMANAH cawangan UK sokong Muafakat PH

Parti AMANAH Negara cawangan UK dan Ireland menyokong penuh keputusan yang dicapai oleh barisan pimpinan Pakatan Harapan, terutama daripada AMANAH pada konvensyen Pakatan Harapan (PH) di IDCC di Shah Alam pada Ahad 7 Januari lalu.
Dalam satu kenyataan hari ini, AMANAH cawangan tersebut berkata pihaknya mengambil maklum dengan sepenuh perhatian perkembangan yang berlaku di konvensyen itu terutamanya kenyataan yang bertajuk ‘Muafakat Pakatan Harapan’ yang ditandatangani semua pemimpin PH.
Pihaknya juga memerhatikan dengan cermat kenyataan-kenyataan bertentangan daripada pihak lain,” kata kenyataan itu.
“Walaupun pentadbiran hari ini meneruskan amalan tidak sihat pemerintahan tanpa had oleh perdana menteri, PH beriltizam untuk memulihkan kedudukan Perdana Menteri agar benar-benar berlandaskan perlembagaan.
“Proses ini bermula dengan membentuk pentadbiran baharu di bawah panji PH, dengan memastikan mereka yang berkelayakan dilantik ke jawatan yang sewajarnya.
“Ke arah menjayakan proses ini, seperti yang dinyatakan oleh saf pimpinan PH, Tun Dr. Mahathir Mohamad hanya akan mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan buat sementara waktu (sebagai ‘caretaker prime minister’).
“Dalam pada itu, beliau dan kerajaan pimpinannya berjanji untuk menjayakan proses peralihan kuasa yang jelas dan kukuh. Dalam berbuat demikian, PH telah memenuhi syarat-syarat yang diperlukan untuk membina sebuah pentadbiran yang mampu untuk memimpin negara ke fasa yang seterusnya,” katanya.
Turut diumumkan, jawatan perdana menteri akan dihadkan hanya kepada dua penggal, yakni 10 tahun atau kurang, katanya lagi.
Kata kenyataan itu lagi, tidak seperti gaya pemerintahan Najib Razak yang semakin mirip kepada sistem berpresiden, PH beriltizam untuk mengundurkan pemusatan kuasa yang bakal mengakibatkan Jabatan Perdana Menteri dilucutkan kuasa-kuasa yang melebihi peruntukan perlembagaan.
“Kuasa Eksekutif akan kembali kepada Jemaah Menteri (Kabinet) dan jabatan-jabatan kerajaan yang sepatutnya. Perdana Menteri tidak lagi akan menjadi pemerintah ulung yang mengatasi segala-galanya.
“Dengan itu, Tun M dan perdana menteri lain selepas beliau akan berada di bawah kekangan semak-dan-imbang yang dijamin oleh perlembagaan, terutamanya oleh Kabinet yang sentiasa bertanggungjawab kepada parlimen yang lebih pro-aktif.
“Zaman ‘hanya PM mengetahui segala-galanya’ akan ditamatkan,” katanya.
Ahli-ahli parlimen PH, yang sedia ada atau yang akan datang, akan sentiasa teguh menjunjung perlembagaan, menghidupkan kembali peranan Badan Perundangan dan mengekang Badan Eksekutif secermat mungkin, katanya.
“Kerajaan PH akan sentiasa bertanggungjawab kepada rakyat dan menghormati kehendak mereka. Manakala kerajaan hari ini terus berdolak-dalih melambat-lambatkan perubahan contohnya ke atas amalan berparlimen dan sistem pilihan raya bagi memastikan cengkaman mereka ke atas kuasa sentiasa berterusan.
“Sifat kurang keupayaan dan kecekapan mereka sekali lagi telah membolehkan skandal seperti Felda berulang lagi, seolah-olah mereka tidak mengambil iktibar dari skandal 1MDB.
“PH akan memastikan bahawa kerajaan pimpinannya – tanpa mengira siapa PM ketika itu – sentiasa bertegas untuk melaksanakan agenda perubahan PH. Mekanisme semak-dan-imbang akan dipulihkan, maka dengan itu rakyat mendapat jaminan terbaik bahawa ahli-ahli parlimen yang mewakili mereka akan sentiasa memelihara kepentingan umum,” sambungnya.
Pasukan PH kini, menurut kenyataan itu, mempunyai ahli yang bukan sahaja terdiri daripada ahli politik kanan yang berpengalaman; malah juga negarawan; mereka yang berpengalaman di peringkat persekutuan dan negeri seperti mantan PM dan TPM, ketua menteri dan menteri; pegawai angkatan tentera; pegawai kanan kerajaan; serta pemimpin korporat.
“Tanpa ragu-ragu lagi, ini adalah sebuah barisan dari PH yang paling berpengalaman yang pernah ditawarkan. Barisan ini pastinya siap siaga untuk mengambil alih tampuk pemerintahan negara apabila diperlukan,” katanya.
Pentadbiran yang stabil dan berkemampuan
Bukan seperti yang didakwa oleh YB Menteri Khairy Jamaluddin Abu Bakar, barisan PH kali ini – jika dipinjam slogan pilihanraya PM United Kingdom tanpa kesinisan – kuat dan stabil. Seperti yang disebutkan di atas, barisan ini adalah amat berpengalaman dan berkemampuan, jelas kenyataan itu.
“Pentadbiran Selangor dan Pulau Pinang melaksanakan pemerintahan yang bersih, cekap dan telus yang sentiasa menjaga keutamaan rakyat.
“Kedua-dua pentadbiran telah meningkatkan pendapatan, menurunkan kos dan mencatatkan lebihan belanjawan; dan pada masa yang sama masih berjaya program-program yang menguntungkan rakyat seperti air percuma, bantuan kepada warga emas, serta program pendidikan dan pemerkasaan untuk anak muda. Ini juga adalah antara sebab kenapa rakyat memulangkan mandat yang lebih besar di kedua-dua negeri pada pilihanraya umum ke-13 (GE13) yang lepas,” sambungnya.
Jelasnya lagi, seperti yang disebut oleh pengerusi PH Tun M, PH hanya berjaya menyelesaikan pembahagian kerusi parlimen di Semenanjung semata-mata atas sikap murah hati AMANAH. AMANAH telah membuktikan sekali lagi bahawa mereka adalah rakan yang sentiasa tegas berprinsip serta boleh dipercayai dan diharapkan sepenuhnya, sekalipun dalam dunia politik yang penuh pancaroba.
“Sebagai sebuah parti politik sivil yang berikrar untuk menjulang prinsip-prinsip Islam, kami percaya bahawa integriti amatlah penting dalam segala urusan. Manakala sifat rahmat dan pengorbanan, dua daripada nilai-nilai yang diajar oleh Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, adalah antara tiang yang membolehkan tertegaknya sebuah kerajaan yang benar-benar prihatin kepada kepentingan dan kebajikan rakyat.
“AMANAH telah berkali-kali dan akan senantiasa mengutamakan negara Malaysia tercinta dan seluruh rakyatnya di hati nurani kami,” katanya.
‘Muafakat Pakatan Harapan’ juga jelasnya, menyangkal ‘fitnah tersusun’ musuh-musuh politik PH bahawa pakatan ini ditunjangi oleh DAP. Melihat kepada taburan kerusi yang dibahagikan antara parti-parti komponen PH, ia adalah refleksi kepada realiti masyarakat majmuk di Malaysia.
“Sekiranya dicampur kerusi Bersatu, AMANAH dan separuh kerusi PKR (diramal ditandingi calon Melayu), secara keseluruhannya berjumlah 105 kerusi. Adapun persoalan apakah kerusi-kerusi ini ‘kerusi boleh menang’ (winnable seats), ini berada di tangan para pengundi di peti undi nanti.
“Sekiranya para pengundi mendambakan kerajaan baharu yang cekap dan bermaruah serta ditunjangi oleh Melayu-Islam, maka calon-calon Melayu daripada PH ini akan dihantar ke Parlimen untuk memperjuangkan suara rakyat akar umbi.
“Kami sekadar mengingatkan betapa pengundi Melayu pernah membuat kejutan di beberapa negeri terutamanya di Selangor dan Kedah pada tahun PRU 2008 dan 2013, dan kemungkinan untuk kejutan itu berlaku pada skala yang lebih besar pada PRU kali ini adalah tinggi!
“Sekali lagi, kami di AMANAH UK-Eire menyeru agar rakyat Malaysia tidak lagi menerima tipu helah jahat seperti ini. Kami juga membuat seruan agar tawaran yang dibuat oleh PH dinilai berdasarkan merit tanpa sentimen dan prejudis,” kata kenyataan itu.
Malaysia Dateline.

0 comments:

Post a Comment

Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena