Tuesday 9 January 2018

[Video 'Mahathir dah minta maaf, kenapa pertikai?'] Pilih mana satu? Najib-Zahid atau Dr Mahathir-Dr Wan Azizah?

Selasa, 9 Januari 2018

Pilih mana satu? Najib-Zahid atau Dr Mahathir-Wan Azizah?

Pilih mana satu? Najib-Zahid atau Dr Mahathir-Wan Azizah?
Tawaran paling menonjol daripada gandingan Dr Mahathir Mohamad-Dr Wan Azizah Wan Ismail ialah ikrar untuk menghentikan penyelewengan, kata penganalisis. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Januari, 2018.

PILIHAN Raya Umum ke-14 (PRU14) ini nanti akan jadi pertembungan antara dua perkara – antara mahu meneruskan kestabilan atau janji menamatkan penyelewengan, kata penganalisis politik.
Walaupun Pakatan Harapan (PH) menawarkan peluang untuk melaksanakan pembaharuan, tawaran Barisan Nasional (BN) untuk ekonomi dan politik yang stabil meyakinkan banyak pihak, tambah mereka.
"Daripada perspektif dasar, tawaran yang paling menonjol daripada gandingan Dr Mahathir Mohamad-Dr Wan Azizah Wan Ismail ialah ikrar untuk menghentikan penyelewengan.
"Janji lain seperti hapuskan GST, kurangkan hutang PTPTN atau perlawanan EPL percuma nampak mustahil, janji menamatkan penyelewengan ini ada kesan yang meluas," kata Pengarah Ilham Centre Hisommudin Bakar, yang menjalankan penyelidikan kualitatif dalam kalangan pengundi Malaysia.
Dengan menghapuskan atau mengurangkan rasuah, Malaysia boleh kembali membina imej antarabangsanya dan memulihkan keyakinan pelabur, kata lulusan sains politik dari Universiti Malaya (UM) itu.
Pada sisi lain, gandingan Najib Razak-Ahmad Zahid Hamidi bermakna mengekalkan apa yang ada sekarang dan tidak menawarkan apa-apa yang baru, katanya.
"Gandingan BN itu hanya boleh menawarkan kestabilan politik dan ekonomi. Memanglah ekonomi sudah bertambah baik dan projek besar seperti ECRL dan MRT akan dilaksanakan tahun ini tetapi itu semua bukan baru.
"Tidak seperti PH, BN tidak banyak krisis dalaman dan kestabilan itu memberikan keyakinan kepada kakitangan awam dan pengundi di luar bandar," katanya.
Kaji selidik Transperancy International 2017 terhadap 22,000 menunjukkan 59% rakyat Malaysia percaya amalan rasuah telah meningkat sejak kebelakangan ini.
The People and Corruption: Asia Pacific (Global Corruption Barometer) berkata 62% rakyat Malaysia yang dikaji selidik merasakan kerajaan tidak membanteras rasuah dengan memuaskan.
Satu kaji selidik UM baru-baru ini juga menunjukkan pengundi yang disoal selidik di 12 kerusi Parlimen mahukan pemimpin yang bebas rasuah.
Gandingan Najib Razak-Ahmad Zahid Hamidi bermakna mengekalkan apa yang ada sekarang dan tidak menawarkan apa-apa yang baru. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Januari, 2018.
Gandingan Najib Razak-Ahmad Zahid Hamidi bermakna mengekalkan apa yang ada sekarang dan tidak menawarkan apa-apa yang baru. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Januari, 2018.
Profesor Madya UM Dr Awang Azman Awang Pawi berkata gandingan perdana menteri dan timbalan perdana menteri PH nampak "padu"dengan Dr Mahathir juga sudah jadi faktor "penyatu" dalam pembangkang.
"Itu satu pencapaian bagi PH. Sikap Dr Mahathir kepada Anwar Ibrahim dan keluarganya dan pencalonan PH menunjukkan pembangkang boleh melupakan masa lalu dan memaafkannya atas apa yang telah dilakukan pada mereka," kata Awang Azman.
Daripada segi polisi, beliau menjangkakan Dr Mahathir akan kembali kepada formula lamanya yang teruji iaitu menarik pelaburan asing sementara Najib akan condong kepada China untuk pelaburan.
Najib memberikan banyak peluang kepada China untuk melabur di sini dan mempunyai hubungan yang baik dengan negara itu, tetapi Dr Mahathir mahu menetapkan pelaburan bagaimanakah yang dibawa masuk oleh China.
"Dr Mahathir akan fokus kepada pelaburan yang melibatkan pemindahan teknologi bagi mencipta lebih banyak peluang pekerjaan.
"Kalau beliau ambil alih, beliau mungkin membeku sebahagian pelaburan China yang tidak ada untung dari segi jangka panjang untuk Malaysia.
"Beliau tidak mahu kesan negatif China seperti yang berlaku di Sri Lanka dan Zimbabwe."
Kak Wan lawan Zahid
Mengenai kedudukan antara dua calon timbalan perdana menteri, Awang Azman berkata Zahid ada kelebihan berbanding Dr Wan Azizah.
"Zahid sudah menunjukkan daya kepimpinan yang kuat dan mempunyai sokongan akar umbi yang kuat. Beliau seorang yang mampu menggantikan Najib kalu Umno mahukan seorang pemimpin baru, sementara Dr Wan Azizah nampak seperti pemimpin sementara saja.
"Tidak jelas apa akan jadi selepas suaminya (Anwar) dibebaskan nanti. Pengundi tidak tahu apa akan jadi kepada gandingan Dr Mahathir-Dr Wan Azizah ini," kata Awang Azman.
Presiden PKR itu simbol keluarga Anwar dan masih berperanan untuk menyatukan undi pembangkang, kata pensyarah UM itu.
“Namun pencalonan Kak Wan sebagai timbalan perdana menteri wanita yang pertama mungkin akan menguntungkan pembangkang," kata Hisommudin.
"Ini resipi baru dan tidak pernah berlaku sebelum ini. Menarik untuk lihat bagaimana pengundi wanita memberikan undi mereka kepada pakatan yang pertama kali meletakkan calon wanita untuk jadi timbalan perdana menteri.
"Tetapi tidak jelas apakah gandingan sementara? Apa akan jadi selepas Anwar bebas?
"Bagaimana Anwar akan jadi perdana menteri seterusnya apabila undang-undang mengatakan beliau tidak layak kerana ada hukuman penjara?
"Ini soalan yang PH perlu jawab sebelum PRU14.
"Ada banyak ketidakpastian dalam gandingan PH ini berbanding BN. Kalau BN menang, saya jangka Najib akan selamat. Selepas mengalahkan pengkritiknya paling lantang, Najib akan memerintah lima tahun lagi atau lebih daripada itu," kata Hisommudin.
Siapa pilihan pengundi?
Walaupun semua empat pemimpin itu veteran dan datang dari kelas elit politik, mereka mewakili pertembungan antara status quo dan perubahan, kata peguam Syahredzan Johan.
"Saya fikir kedua-duanya tidak begitu menarik kerana keempat-empat mereka veteran. Kita bukan mencari tokoh seperti Bernie Sanders atau Jeremy Corbyn, veteran tetapi dari luar.
"Kita juga bukannya mencari Justin Trudeau, Emmanuel Macron atau Jacinda Ardem versi kita – pemimpin muda yang muncul untuk memimpin negara. Jadi daripada segi gandingan, ia bukannya segar atau mengujakan.
"Tetapi saya fikir pada akhirnya ialah apakah yang diwakili oleh gandingan itu.
"Najid dan Zahid – status quo dan kesinambungan pemerintahan BN yang lama dan berterusan. Dr Mahathir dan Dr Wan Azizah – kemungkinan ada perubahan, permulaan baru dan berakhirnya kemenangan BN."
Syahredzan, peguam hak asasi manusia yang juga sering muncul di forum, berkata pengundi mungkin akan memilih gandingan yang lebih layak mewakili Malaysia yang lebih baik untuk lima tahun akan datang.
"Dilihat dari perspektif itu, gandingan PH lebih mengujakan kerana mereka mewakili harapan untuk perubahan, bukan kerana mereka itu sendiri calon yang menarik," katanya. – 9 Januari, 2018.
The Malaysian Insight


0 comments:

Post a Comment

Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena