Mampukah calon muda tarik pengundi belia?
Parti pembangkang dijangka mempertaruhkan ramai calon muda pada PRU14 untuk menarik perhatian pengundi beliau, satu langkah yang dilihat penganalisis politik tidak akan memberi banyak kesan. – Gambar fail EPA, 12 Januari, 2018.
ADAKAH dengan menurunkan calon muda dapat menarik sokongan pengundi muda pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini?
Tidak, kata penganalisis politik berpengalaman, yang berpendapat pengundi muda tidak berminat dengan umur calon tetapi apa yang mereka boleh tawarkan.
Ya, kata PKR dan DAP yang menegaskan calon lebih muda merupakan lawan yang kuat pada dua pilihan raya terakhir kerana mereka berjaya merangsang belia untuk menumpaskan calon lebih mantap.
Sebagai contoh pada 2008, Liew Chin Tong menewaskan Setiausaha Agung Gerakan Chia Kwang Chye untuk memenangi kerusi Bukit Bendera manakala Nurul Izzah Anwar daripada PKR menewaskan pemimpin Wanita Umno Shahrizat Abdul Jalil di Lembah Pantai.
Bagaimanapun, penganalisis politik, Hisommudin Bakar daripada Ilham Centre berkata pengundi muda lebih memberi perhatian kepada apa yang diperjuangkan untuk kesejahteraan masa depan mereka oleh parti politik, dan bukannya faktor umur calon yang bertanding.
Penganalisis politik, Hisommudin Bakar dari Ilham Centre berkata pengundi muda lebih memberi perhatian kepada apa yang diperjuangkan untuk kesejahteraan masa depan mereka oleh parti politik, dan bukannya faktor umur calon yang bertanding. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Januari, 2018.
"Saya tak nampak hubung kait menampilkan calon muda untuk menarik pengundi. Ia bukan faktor yang semudah itu," katanya kepada The Malaysian Insight.
Tambahnya, untuk menarik sokongan anak muda bukannya dengan meletakkan calon muka baru tetapi memberikan penekanan lebih kepada tawaran parti politik memperjuangkan citra dan kehendak golongan itu.
"Contohnya adalah memperjuangkan isu terdekat mereka, seperti kebergantungan generasi muda terhadap ekonomi, faktor pekerjaan dan pengangguran.
"Dalam keadaan ekonomi suram ini mereka terpaksa berhijrah ke Australia, dan Korea misalnya untuk mencari jumlah wang lebih.
"Mereka ini golongan yang menghadapi tekanan ekonomi lebih kuat, jadi mereka bersedia dengan perubahan," katanya.
Dalam pada itu, Hisommudin berpendapat menang atau kalah seseorang calon muda itu bergantung juga kepada kawasan yang ditandingi, luar bandar atau bandar.
Calon muda pembangkang Pakatan Harapan (PH) misalnya tiada masalah kalau bertanding di kerusi kawasan bandar atau pinggir bandar kerana pemikiran pengundinya yang terbuka kepada agenda perubahan.
"Tetapi kalau di kawasan luar bandar, pengundi agak skeptikal kepada agenda perubahan yang dijanjikan oleh PH dan selebihnya cenderung memilih parti dan bukannya calon," katanya, merujuk kepada sentimen pengundi yang dikesan oleh Ilham Centre dalam beberapa kajian lapangan kawasan pilihan raya.
"Di kawasan bandar separuh bandar atau rata-ratanya bandar mereka tak mempunyai masalah dari aspek umur, jantina, atau asalkan ia perubahan menolak rejim BN yang diutamakan. Dan ini beri impak positif kepada PH."
Tidak benar 100% calon muda sukar menembusi kawasan pilihan raya di luar bandar, kata Ketua Pemuda PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Januari, 2018.
Calon muda ada pengaruh
Ketua Pemuda PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad bagaimanapun berpendapat tidak benar 100% calon muda sukar menembusi kawasan pilihan raya di luar bandar.
"Saya tak setuju sebenarnya sebab kita letak calon kita di banyak tempat dan ada kesan," katanya.
Beliau menyebut dua calon muda PKR pada PRU13, Murni Hidayah Anuar di kerusi Parlimen Paya Besar, Pahang dan Raymond Ahuar di kerusi negeri Nabawan dalam Parlimen Pensiangan di Sabah, yang mengurangkan majoriti kemenangan BN. Raymond hanya kalah tipis 325 undi.
Atas keyakinan itu, katanya, PKR akan terus menampilkan muka baru pada PRU14 ini, seperti sejak dua pilihan raya lalu.
"Saya setuju kita tak patut ada pemikiran bila masuk politik saja nak jadi Yang Berhormat tapi pada masa sama anak muda juga harus diberi ruang dan peluang," katanya.
Nik Nazmi adalah calon muda yang ditampilkan oleh PKR pada 2008 dan menyandang kerusi negeri Seri Setia sejak dua penggal lalu.
DAP paling ramai calon muda
Sementara itu, Hisommudin berkata DAP adalah parti dalam PH yang konsisten menampilkan paling banyak calon muda kerana penyokongnya dalam moodyang kuat menolak BN.
"Trend pengundi bukan Melayu, seperti dalam mana-mana kajian, kecenderungan pengundi Cina sebelum ini ialah 80% menyokong mana-mana pembangkang PH," katanya.
"Peluang menang tinggi kerana psikologi pengundi tidak melihat faktor muka baru atau muda tapi kerana parti itu sudah berada dalam zon pengundi menolak kerajaan."
Ogos lepas, The Malaysian Insight melaporkan DAP bercadang meletakkan tokoh-tokoh veterannya bertanding di kerusi sukar dan memberikan kerusi padu penyokongnya kepada calon-calon muka baru.
Hisommudin juga melihat, kecuali Amanah, PKR dan Bersatu juga boleh menampilkan calon muda, sama seperti ketika PRU 2008 yang menyaksikan munculnya banyak pemimpin baru seperti Ong Kian Ming.
"Ruang dalam Amanah untuk muka baru agak terhad kerana Amanah mempunyai kerusi paling sedikit dan mereka terpaksa mengutamakan pemimpin lama," katanya.
Amanah hanya akan bertanding 27 kerusi Parlimen di Semenanjung Malaysia, selepas pembahagian kerusi antara parti-parti dalam PH yang dimuktamadkan minggu lepas.
Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong dari DAP percaya gabungan pembangkang kali ini akan menampilkan banyak muka baru, sama seperti ketika PRU 2008 dahulu, dan bakal mengangkat barisan baru kepimpinan untuk Malaysia.
"Pilihan raya kali ini macam PRU12, ketika itu saya dan rakan-rakan bertanding berlawan dengan calon yang umurnya sama macam bapa kita," katanya, yang menang di Bukit Bendera pada pilihan raya umum itu.
Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong dari DAP percaya gabungan pembangkang kali ini akan menampilkan banyak muka baru, sama seperti ketika PRU 2008 dahulu, dan bakal mengangkat barisan baru kepimpinan untuk Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Januari, 2018.
Beliau menewaskan Chia dengan majoriti 16,112 undi dan teringat bagaimana Nurul Izzah juga berjaya menewaskan Shahrizat dengan majoriti 2,859 undi sekaligus merampas kerusi Lembah Pantai.
Katanya, ini mustahak kerana gandingan muka baru dan muka lama akan memastikan PH mendapat sokongan menyeluruh dari segenap lapisan pengundi.
"Kita perlu ingat sebab pilihan raya kali ini bukan saja akan tukar kerajaan tapi rejimnya ditumbangkan. Ia tidak pernah berlaku dalam sejarah pertukaran kerajaan pusat dan ini akan menjadi kali pertama.
"Dan kita perlu gandingan ini untuk dapatkan semua tenaga supaya bila kita menang ia terima semua lapisan," katanya. – 12 Januari, 2018.
The Malaysian Insight.
0 comments:
Post a Comment