Sunday, 2 February 2014

Generasi 13 Mei sudah berlalu... Sebanyak 52% undi popular menolak isu perkauman

Ahad, 2 Februari 2014
Generasi 13 Mei sudah berlalu
FEB 02, 2014
 ABD SHUKUR HARUN SHUKURHARUN@YAHOO.COM


 Generasi baru ini akan mengambil kedudukan penting dalam arena politik nasional yang akan datang... 

Peristiwa berdarah pergaduhan kaum 13 Mei 69 sudah berlalu 45 tahun yang lalu, suatu peristiwa yang diakibatkan oleh pergeseran kaum selepas keputuan PRU tahun tersebut di mana Umno/Perikatan kalah teruk.

Seperti dikatakan peristiwa itu berlaku 45 tahun lalu dan kini tidak ada siapa lagi, bagi mereka yang waras fikirannya, untuk melambai supaya peristiwa berdarah itu berulang kembali, malah hendak menyebutnya pun tidak mahu lagi.

Generasi baru, hanya mengetahui sepintas lalu mengnai peristiwa berdarah itu dan sama sekali tidak berminat untuk mengetahuinya lebih lanjut. Tetapi malangnya masih ada segelintir yang amat kecil orang Melayu yang masih mengungkit dan cuba menakut-nakutkan peristiwa itu seperti apa yang berlaku di Pulau Pinang tempoh hari. Bagaimanapun ternyata masyarakat Melayu tidak lagi terpengaruh dengan provokasi perkauman itu.

Malangnya segelintir kecil orang Melayu yang masih mengelus-ngelus peristiwa tersebut untuk menakutkan orang bukan Melayu tidak sedar bahawa zaman dan susana telah berubah. Orang Melayu kini sudah semakin matang dan tidak mudah dihasut dengan isu perkauman seperti itu.

Mereka sedang berusaha untuk hidup damai dengan kalangan bukan Melayu, sama-sama mencari rezeki di negara yang indah ini. 

Manifestasi kecintaan rakyat pelbagai kaum untuk hidup bersama dengan penuh harmoni terpamcar dalam PRU ke-13 yang lalu, di mana pengundi pelbagai kaum telah menolak parti perkauman. 

Sebanyak 52% undi popular yang diperoleh Pakatan Rakyat dan hanya 47% undi poppular yang diperoleh Barisan Nasional dalam PRU yang lalu adalah bukti paling soheh bahawa majoriti pengundi – amak semua bangsa – telah menolak isu perkauman yang ditiup dengan kencangnya oleh Umno/BN dalam sepanjang kempen pilihan raya umum itu. Ternyata pengndi bandar – pelbagai kaum – menolak calon parti perkauman. Malah beberapa kawasan parlimen dan Dun di kawasan luar bandar juga seperti di Johor, Perak dan beberapa megeri lagi seperti di Johor, Perak dan beberapa negeri lagi turut menolak parti perkauman.

Sementara itu saya terkesan dengan tulisan ideologi PAS, Dr. Mujahid Yusof Rawa mengenai pemikiran baru perpaduan nasional, yang saya lihat suatu sorotan yang mendalam mengenai sejarah dan perkembangan politik tanah air.

Inilah cetusan sebuah idea yang sangat bagus, meladeni pemikiran dan perkembangan terkini apa yang dikatakan perpaduan nasional sebenarnya. 

Mujahid melihat perpaduan nasional bukan lagi dalam wajah yang ditampilkan di tahun 1969, tahun berlakunya Peristiwa 13 Mei, hingga kemudian tertubuhnya Barisan Nasional yang dilihat pada masa itu suatu keperluan untuk menyatukan rakyat melalui penyatuan parti politik, khususnya parti politik Melayu/Islam. Ia mengakibatkan PAS menyertai Barisan Nasional pada tahun-tahun berikutnya.

Tetapi ‘Perpaduan Nasional’ itu gagal juga akhirnya, apabila PAS keluar dari Barisan Nasional beberapa tahun kemudian dengan pengalaman yang sangat getir dan pahit ‘ditendang’ oleh pemimpin BN setelah mereka mersakan kuat kembali selepas melalui krisis kekalahannya dalam PRU tahun 1969 itu.

Kini, 45 tahun kemudiannya, Dr. Mujahid Yusof melakarkan perspektif baru yang sangat jelas dan terkini mengenai perspektif perpaduan nasional sesuai dengan keadaan masa kini. 

Dalam tulisannya itu, beliau berkata, sekarang isu perpaduan tidak lagi berkisar kepada gabungan wadah seperti di awal 70-an ketika negara ini memerlukan kekuatan politik untuk menjayakan agenda nasional seperti pembentukan Barisan Nasional tetapi perpaduan terkini bentuknya adalah lebih matang dapat direalisasikan melalui kesatuan kepada kepentingan negara dengan cara menguruskan perbezaan pendapat dan bukan menyekat perbezaan pendapat.

Menurutnya, untuk melaksanakan ini maka konsep by-partisan atau sokongan menjangkau kelompok atau kumpulan perlu dibudayakan untuk mencapai sesuatu kepentingan nasional. Konsensus nasional menuntut supaya parti politik mengimbangi keperluan politiknya dengan keperluan nasional, katanya.

“Ia bukan satu helah politik untuk mengekalkan kekuatan mana-mana pihak tetapi ia adalah untuk memastikan kepentingan nasional terpelihara dengan masing-masing mengekalkan ideologi masing-masing,” kata Mujahid.

Menurutnya, isu perpaduan Melayu secara relatifnya kepada gambaran yang lebih besar ini nampaknya seperti slogan yang agak kuno dan lebih cenderung untuk helah politik semata-mata. Perpaduan yang harus diajukan ialah perpaduan nasional dalam gambaran agenda nasional dan bukan agenda politik tertentu.

Di sinilah Dr. Mujahid melihat isu ketidaksamaan pendapatan atau  ‘inequality income’ tidak lagi berkisar kepada kaum tetapi ia berkisar kepada peratus pengagihan pendapatan yang kini terjulat antara peratus pendapatan tinggi dan peratus pendapatan rendah. Iaitu 60 peratus rakyat duduk di paras pendapatan rendah dan 40 peratus daripadanya adalah paras kemiskinan. Jurang besar pendapatan ini dikecilkan lagi dengan penduduk luar bandar dan penduduk bandar serta gender, katanya.

Pada pendapat saya, perspektif baru perpaduan nasional yang diajukan oleh Dr. Mujahid ini mengambil kira pandangan dan kehendak generasi baru negara ini.

Menurut suatu tinjauan, generasi baru ini akan mengambil kedudukan penting dalam arena politik nasional yang akan datang memandangkan ia menjadi kelompok besar pengundi dalam PRU akan datang, iaitu sekitar 43%. 

Mereka ini dalam jarak yang sangat jauh dari generasi zaman tercetusnya Peristiwa 13 Mei 69. Tentunya perspektif dan pandangan politik mereka berbeza.

Sebab itu, slogan, spanduk, jeritan Peristiwa 13 Mei tidak akan disahut oleh generasi baru ini bagaimanapun nyaring dan garangnya. Kepada mereka, keadilan sosial, hak-hak rakyat tanpa mengira kaum, kebebasan bersuara dan seumpamanya menjadi sangat penting untuk diperjuangkan dan inilah asas untuk membina perpaduan nasional.

Oleh itu pada pendapat saya, ideolog PAS seperti Dr. Mujahid, Dr. Dzulkefly Ahmad dan lain-lain sangat sedar akan hal ini dan mereka bersama pepimpin PAS seluruhnya sedang berusaha membuat perubahan pada lanskap politik tanah air di mana tidak lagi berdasarkan premis Peristiwa 13 Mei.                        

0 comments:

Post a Comment

Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena