Thursday 23 June 2016

PRU selepas Aidilfitri, kata Najib & SPRM kini dikuasai perasuah, kata Mahathir pula.

Khamis, 23 Jun 2016



PM kata pilihan raya umum selepas Aidilfitri tapi...

Berikutan kemenangan besar BN pada pilihan raya kecil berkembar, Sabtu lalu, spekulasi kini bertiup kencang bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan membubarkan Dewan Rakyat bagi membolehkan pilihan raya umum diadakan bagi mengukuhkan kedudukannya.
Ketika ditemui pemberita di kawasan Parlimen Pekan semalam, Najib memberitahu pemberita bahawa pilihan raya umum ke-14 akan diadakan selepas sambutan Aidilfitri.
Walau bagaimanapun, perdana menteri berkata beliau tidak tahu sambutan Hari Raya pada tahun bila yang dirujuknya.
"Saya hanya boleh berkata pilihan raya umum akan diadakan selepas Aidilfitri. Tetapi Hari Raya tahun bila, saya tidak tahu," katanya yang dipetik akhbar berbahasa Cina Nanyang Siang Pau.
Malaysiakini

SPRM kini dikuasai perasuah, kata Mahathir

ULASAN Rasuah adalah suatu jenayah yang dipandang keji dalam masyarakat manusia. Agama Islam melaknati mereka yang mengamal rasuah. Pendapatan mereka dari rasuah termasuk dalam pendapatan yang tidak halal. Mereka yang makan duit rasuah memakan benda yang haram.
Ada seorang yang menggelar dirinya ulama, berkata rasuah tidak termasuk dalam jenayah hudud. Balasan hanya diterima di akhirat. Pendapat ulama ini menghalalkan rasuah di dunia, walaupun diharamkan oleh Islam dengan menjanji neraka di akhirat.
Rasuah atau korupsi atau dalam bahasa pasar, makan suap, berlaku di semua negara di dunia. Perbezaan hanya dari segi tahap amalannya. Ada negara yang ternampak seolah-olah bersih tetapi dari semasa ke semasa dilapor kes-kes perlakuan korupsi.
Di kebanyakan negara lain rasuah berlaku secara tersembunyi walaupun disyaki dan diketahui umum. Yang memberitahu dan yang menerima juga tahu akan perlakuan jenayah rasuah.
Tetapi pihak yang menjadi mangsa tidak berani bercakap atau membongkar kerana takut tidak akan dilayan langsung di masa hadapan, bukan sahaja oleh pihak yang memeras tetapi juga rakan-rakan mereka.
Tetapi ada juga negara di mana rasuah diterima sebagai amalan biasa. Tiap satu urusan memerlukan suapan rasuah sekian banyak kepada anggota-anggota yang terlibat dalam melayan permintaan.
Rasuah bukan sahaja menaikkan kos segala-galanya tetapi juga mengganggu dan melewatkan pengurusan. Negara di mana rasuah berleluasa sukar dibangunkan dan dimajukan.
Rakyat akan menderita kerana sebahagian dari kos sara hidup ditelan oleh suapan rasuah. Bisnes menghadapi keadaan kos yang tidak menentu yang merugikan. Pelabur dari dalam dan luar tidak berminat untuk melabur dan ini mengurangkan peluang pekerjaan dan menjejaskan pembangunan ekonomi.
Penggangguran yang ramai menekan turun upah pekerjaan. Kemiskinan akan menimpa ramai penduduk kerana pendapatan yang rendah dan pengganguran.
Ekonomi negara akan merosot berterusan. Sesungguhnya rasuah adalah satu musibah yang boleh menimpa bangsa yang rendah moral dan terbelenggu dengan perasaan tamak.
Makan suap
Di Malaysia rasuah memang pun ada sejak di zaman pemerintahan Raja-Raja Melayu. Ia lebih dikenali sebagai makan suap.
British menggunakan pendekatan ini untuk menjajah negeri-negeri Melayu. Tetapi setelah menjajah, pentadbiran British mengawal rasuah di kalangan anggota pentadbiran. Tahap makan suap tidaklah terlalu tinggi sehingga menjejas pentadbiran wilayah yang dijajah mereka.
Selepas merdeka kawalan terhadap rasuah diteruskan dan tahapnya tidaklah begitu tinggi. Lagi pun rakyat dan peniaga yang kaya tidak ramai dan kontrak kerajaan pun amat sedikit dan kecil.
Semakin kaya negara semakin besarlah jumlah permohonan lesen dan sebagainya dan juga kontrak. Dan jumlah rasuah pun meningkat. Namun demikian perasuah sedar rasuah menyalahi undang-undang dan dipandang keji oleh masyarakat.
Oleh itu disembunyinya amalan ini. Rasuah yang berlaku dilakukan di bawah meja; iaitu dirahsiakan oleh pemberi dan penerima.
Kerajaan telah menubuh Badan Pencegah Rasuah. Sedikit sebanyak adanya badan ini menghalang dan mengurangkan rasuah. Sekali-sekala tangkapan dilakukan oleh badan ini.
Tumpuan diberi kepada ahli politik dalam kerajaan. Ada juga pembesar politik yang dikenakan tindakan.
Tetapi rasuah mereka masih di bawah meja, disembunyi. Bukti yang diperolehi ialah dari cara hidup mewah yang melebihi pendapatan mereka secara ketara.
Kualiti kepimpinan
Dalam parti pemerintah timbul kepercayaan bahawa jawatan boleh membuka peluang untuk memperkaya diri. Oleh itu ramai yang mengguna sogokan untuk memenangi jawatan. Maka kualiti kepimpinan pun merosot. Yang tidak mampu menyogok kalah. Kepimpinan dikuasai oleh mereka yang tamak dan tidak lagi anggap rasuah sebagai jenayah yang hina.
Dalam keadaan inilah datang pemimpin yang percaya wang boleh menjayakan segala-galanya. Slogan yang dipercayai dan diamal ialah “Cash is King”. “Cash” yang boleh berlagak sebagai “King” tentulah besar.
Inilah yang kita lihat hari ini dalam politik negara. Wang diguna dengan luas untuk menarik sokongan rakyat. Dicipta berbagai alasan untuk memberi wang kerajaan secara percuma kepada sebilangan besar dari rakyat dengan tujuan meraih sokongan.
Tetapi wang untuk ini mestilah yang lebih besar dan membesar sepanjang masa. Kerajaan sendiri tidak miliki dana yang cukup. Apabila keperluan rasuah meningkat kepada berjuta maka punca kewangan lain mesti dicari.
Demikian, apabila rasuah diamalkan maka punca lain, sama ada halal atau tidak, tidak lagi mempengaruhi tindakan. Mungkin derma atau punca yang tidak halal dicipta.
Jika yang berkuasa tidak ada perasaan takut dituduh, diselidik dan didakwa di mahkamah maka pengawalan melalui undang-undang tidak lagi berkesan.
Rasuah di peringkat atasan menjadi begitu besar sehingga diketahui umum. Jika di peringkat atasan berleluasa, maka di peringkat bawahan juga ia berkembang dan diamal tanpa takut.
Wang segala-galanya
Sebagai negara demokratik, pilihan raya adalah cara untuk memilih wakil rakyat yang mungkin memegang jawatan tertinggi. Kata pepatah Inggeris“power corrupts”. Walaupun kuasa rakyat terhad kepada pemilihan wakil, tetapi ia masih juga kuasa.
Dengan kuasa ini pun rakyat terdedah kepada rasuah. Dalam iklim “Cash is King” maka wang boleh membeli kuasa undi rakyat. Maka terlihatlah pemberian wang, beras, alatan elektrik secara terbuka kepada pengundi di mana pemilihan berlaku. Dan terdapatlah undi yang banyak kepada perasuah.
Ada pihak yang berkata terima sahaja sogokan, tetapi jangan beri undi. Tetapi sama ada undi diberi atau tidak penerimaan sogokan masih rasuah dan masih menjadi wang haram. Apabila bersumpah untuk memberi undi, wang dan barangan yang haram tetap haram. Dan besar kemungkinan wang yang diberi didapati secara haram. Maka bergandalah dosa penerimaan rasuah.
Semua yang berlaku ini tetap rasuah. Tetapi kerana Badan Pencegah Rasuah dikuasai oleh perasuah, tidak ada tindakan. Maka semakin berleluasalah rasuah di negara tercinta ini.
Sekarang rasuah sudah naik ke atas meja.
Ia sudah jadi perkara biasa. Apabila sahaja kuasa diberi, maka rasuah tetap akan berlaku. Dalam PRU dan PRK pengundi menanti. Suapan yang terbesar menentukan siapa yang memerintah.
Ini bermakna pemerintahan yang akan didirikan hasil PRU ialah pemerintahan rasuah. Malaysia sudah disenarai sebagai di antara sepuluh buah negara yang tahap korupsi tertinggi di dunia. Inilah legasi seorang pemimpin Malaysia.

Malaysiakini

0 comments:

Post a Comment

Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena