Thursday 23 June 2016

Benarkah AMANAH tandus undi Melayu? & Mengapa ahli-ahli PAS mula risau tentang nasib parti mereka?

Jumaat, 24 Jun 2016

Benarkah AMANAH tandus undi Melayu?

Faizal Halim Abu Bakar

ANALISIS l Pilihanraya kecil parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar telah melabuhkan tirainya.
Masing- masing telah mengetahui keputusan, kekuatan dan kelemahan masing-masing.
Namun, yang peliknya, PAS masih lagi menyasarkan kemarahannya kepada parti AMANAH khususnya dan Pakatan Harapan umumnya setiap hari sehingga ke hari ini.
Yang lebih menghairankan adalah, analisis-analisis pasca pilihanraya yang dikeluarkan oleh PAS
sama ada dalam bentuk rasmi atau tidak rasmi, hampir semuanya hanya berkisar tentang undi kaum Melayu.
Ia dibincangkan daripada sudut polarisasi kaum dengan menghentam parti AMANAH dan Pakatan Harapan sahaja.
Dalam senario politik Malaysia terkecuali Kelantan dan Terengganu, undi daripada masyarakat
berbilang kaum sangat mustahak untuk menjamin kemenangan bagi satu-satu kerusi yang ditandingi.
Oleh itu, analisis-analisis yang dibuat oleh PAS yang hanya membincangkan undi Melayu sahaja
membuktikan bahawa PAS telahpun berputus asa untuk menarik undi kaum selain Melayu dan
seterusnya menang di dalam perlawanan dengan Umno di masa akan datang.
Ia adalah satu pendekatan defensif dengan hanya membincangkan kekuatan asas yang ada. Ia menunjukkan PAS mula berundur dan menyudutkan diri mereka kepada politik satu kaum sahaja bukan lagi berbilang kaum dan bangsa seperti mana sebelum ini.
Analisis atas pengundi Melayu sahaja tidak ada makna untuk memenangi kerusi, tidak juga
memberikan harapan dan pelan yang jelas untuk memenangi kerusi, tetapi sekadar untuk memberitahu bahawa PAS juga ada sedikit kekuatan asas.
Sekadar kekuatan asas ini tidak cukup pun untuk memenangi PRU.
Ia juga untuk sekadar memberikan gambaran bahawa mereka “menang dalam kalah” kepada
ahli-ahli PAS yang mungkin telah mula risau tentang nasib parti mereka jika keputusan PRK baru-baru ini diterjemahkan kepada PRU14.
Pendekatan mendabik dada dengan undi satu kaum sahaja yang dilakukan oleh PAS berbeza dengan AMANAH dan Pakatan Harapan yang terus melakukan penelitian dan analisis terhadap
pelbagai faktor.
Ini kerana perjuangan AMANAH dan Pakatan Harapan meliputi keseluruhan rakyat Malaysia. Ia lebih realistik dalam usaha menjatuhkan BN.
Dalam mana-mana analisis yang dilakukan oleh pihak PAS, mereka cuba menggambarkan
bahawa AMANAH langsung tidak ada kekuatan, langsung tidak ada nilai tambah di dalam Pakatan Harapan dan langsung tidak mendapat sokongan pengundi Melayu.
Apa yang cuba disembunyikan oleh PAS adalah AMANAH mengatasi PAS di saluran daerah
mengundi yang majoritinya Melayu di Parlimen Sungai Besar iaitu saluran-saluran di Daerah Mengundi Pekan Sungai Besar, Kampung Baharu Nelayan dan Taman Berkat.
Dengan data di atas, dakwaan yang mengatakan AMANAH tiada kekuatan asas langsung dan
sebaliknya hanya bergantung kepada parti lain adalah jauh tersasar.
PAS juga cuba menyembunyikan realiti yang memalukan mereka dalam PRK Kuala Kangsar iaitu bagi kerusi DUN Manong yang majoritinya Melayu, AMANAH mendapat 2491 undi mengatasi PAS yang hanya mendapat 2426 undi.
Ia terus memberikan indikasi bahawa AMANAH boleh mengatasi PAS dalam beberapa keadaan sekarang dan memberikan harapan yang besar di masa akan datang.
Cubaan letakkan harga
Ada beberapa perkara menarik tentang perubahan PAS sebelum dan selepas PRK ini. Antaranya,
sebelum PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar, PAS sering mendakwa bahawa PAS boleh menang jika bersendirian.
Namun, selepas PRK baru-baru ini, menang bersendirian tidak lagi menjadi bualan pemimpin PAS, dan mula berundur dengan hanya mengatakan Pakatan Harapan memerlukan PAS untuk menang.
Sebelum ini juga PAS mendakwa Parti Amanah Negara tidak langsung menjadi ancaman sedikit
pun kepada PAS, tetapi selepas PRK, PAS berundur lagi dengan mengatakan bahawa parti AMANAH berjaya menyaingi PAS walaupun bergantung kepada sokongan DAP dan PKR.
Sebelum PRK, PAS mengatakan bahawa ia menjadi ancaman kepada BN, selepas PRK, PAS
terus berundur dengan mengatakan PAS hanya menjadi ancaman kepada PKR sahaja seperti tulisan pengarah Pusat Penyelidikan PAS (PPP), “Selain daripada itu, ia juga menjadi ancaman kepada PKR, sekiranya PAS masuk bertanding di kerusi-kerusi yang mereka menangi di Pantai Barat, kemungkinan mereka juga boleh kalah”.
Komentar berbaur ugutan ini menunjukkan PAS langsung tidak menghormati parti yang bersama dengan PAS di dalam kerajaan negeri Selangor, bahkan cuba mengugut PKR untuk tunduk kepada semua kemahuan PAS apabila menyedari bahawa PAS tidak mampu berhadapan dengan BN secara bersendirian.
PPP sebelum PRK menyatakan PAS akan menang, namun selepas PRK PPP mengubah nada
hanya dengan mengatakan bahawa PAS ada kekuatan teras sendiri.
Yang mana difahami dengan kekuatan teras itu sahaja tidak memungkinkan kemenangan. Seolah-olah PAS mula mengakui bahawa PAS lebih memerlukan Pakatan Harapan.
Apa yang hendak saya katakan bahawa, daripada pengunduran-pengunduran di atas, menunjukkan PAS mula mengakui bahawa mereka tidak boleh bersendirian di dalam PRU14 kelak.
Cuma, disebabkan ego, mereka tidak mahu mengakuinya secara terus. Segala kecaman-kecaman di atas hanya membuktikan bahawa PAS sudah mula sedar bahawa kekuatannya tidak sekuat mana jika bersendirian.
Selain itu, serangan PAS kepada AMANAH hanyalah untuk mengalihkan perhatian terhadap
kelemahan PAS yang gagal di kerusi tradisinya.
Seterusnya ingin menunjukkan PAS masih lagi mempunyai nilai di dalam persada politik negara. Namun, orang luar melihat, PAS cuba membuat spekulasi untuk menaikkan harga diri diri sedangkan nilai sebenar mungkin tidak setara dengan harga yang ingin diletakkan tersebut.
Analisis-analisis separuh masak itu juga langkah terdesak PAS untuk meletakkan harga tinggi bagi PAS yang telah dimalukan dengan kekalahannya di kawasan tradisi PAS, sekiranya ada pihak sama ada Pakatan harapan tau BN yang ingin berunding dengannya.
PAS cuba untuk menegakkan bahawa, PAS mempunyai share undi yang tinggi di dalam kelompok selain BN. Oleh itu Pakatan Harapan memerlukan PAS kerana PAS mendakwa mempunyai kekuatan asas.
Oleh itu, dengan kekuatan asas itu, sebarang rundingan tersebut harus tunduk kepada syarat-syarat PAS walaupun mungkin tidak munasabah.
Falasi 50 peratus kekuatan PAS di Selangor
PAS selalu mendakwa bahawa merekalah menjuarai undi Melayu di negara ini.
Pernyataan ini seringkali digunakan untuk memperleceh parti-parti lain. Tapi realitinya, dalam konteks negeri Perak dan Selangor, PAS tidak mampu memenangi kerusi Parlimen yang mempunyai majoriti undi Melayu 70 peratus dan ke atas.
Daripada sudut kekuatan asas PAS secara individu, sepatutnya Parlimen Sungai Besar
merupakan antara parlimen terkuat PAS di Selangor kerana mempunyai peratusan Melayu melebihi 65 peratus.
Namun begitu, PAS kalah di semua 128 saluran mengundi kepada BN termasuk di semua saluran
mengundi Melayu kecuali di Daerah Mengundi Parit 13 Sungai Nipah Saluran 2 dan Parit 1 Timur Saluran 2.
Pencapaian ini sangat jauh dengan dakwaan PAS sebelum ini bahawa PAS menjuarai undi Melayu.
Kebanyakan daerah mengundi Melayu pula, BN jauh meninggalkan PAS seperti tidak ada saingan.
Menyedari hakikat yang memalukan ini, selepas PRK, PAS mula berundur daripada dakwaan
menguasai undi Melayu kepada dengan hanya mengatakan bahawa PAS menyumbang 50 peratus daripada undi pembangkang secara keseluruhan.
PAS membuat dakwaan tersebut hanya dengan membuat generalisasi daripada keputusan PRK
Sungai Besar dan Kuala Kangsar kepada keluruhan kerusi-kerusi lain yang sudah tentu berbeza
demografi dan tahap pembangunannya.
Kerusi Parlimen Sungai Besar adalah kerusi tradisi PAS. PAS telah bertanding berkali-kali
sebelum ini. Begitu juga Kuala Kangsar. Cawangannya ada berpuluh. Dan ia juga kerusi yang mempunyai peratusan Melayu antara tertinggi di Selangor.
Kita boleh simpulkan bahawa kerusi Sungai Besar adalah kerusi yang sepatutnya PAS secara individu paling kuat di Selangor tanpa bergantung dengan parti-parti lain.
AMANAH dan Pakatan Harapan pula datang sebagai pasukan pelawat.
Namun begitu, setelah keputusan PRK dikira, dengan segala kelebihan di atas, PAS hanya boleh mendapat 50 peratus undi sahaja daripada jumlah bahagian undi lawan BN.
Oleh itu, di parlimen Sungai Besar yang mana merupakan antara parlimen yang terkuat PAS secara relatifnya pun, PAS terhutang budi dengan turut menerima sumbangan 50 peratus undi Pakatan Rakyat selama ini.
Maka pada kerusi-kerusi lain sudah tentulah bahagian undi Pakatan Rakyat kepada PAS melebihi 50 peratus.
Dalam kata lain, PAS sebenarnya mungkin hanya menjadi ‘minor contributor’(penyumbang kecil) dalam jumlah undi bagi kawasan tersebut.
Rumusan yang lebih tepat bagi negeri Selangor dan Perak adalah PAS menyumbangkan tidak
lebih separuh (0-50 peratus) kepada bahagian undi Pakatan Rakyat selama ini manakala Pakatan Rakyat pula menyumbang sekurangnya 50 peratus undi kepada PAS.
Kekuatan maksimum asas PAS secara individu adalah 50 peratus. Tidak lebih daripada itu.
Dakwaan bahawa PAS menyumbang 50 peratus daripada bahagian undi kepada Pakatan Rakyat/Pakatan Harapan di setiap kerusi selama ini adalah falasi.
Adakah PAS akan mendapat 50 peratus bahagian undi pembangkang sekiranya turun bertanding tiga penjuru di parlimen Kepong ataupun Kapar? Sedangkan pada kerusi turun temurun yang
PAS tandingi pun, Pakatan Harapan sumbangkan lebih 50 peratus undi kepada PAS dalam keputusan PRU baru-baru ini.
Idris Ahmad pula mengatakan bahawa, “Hanya PAS yang mampu bersaing dengan Umno untuk mengalih sokongan orang Melayu kepada pembangkang.
Perlu diingat teras politik di Malaysia ialah Melayu. Majoriti kerusi ialah orang Melayu.
Realitinya, dengan pendekatan PAS kini, PAS memerlukan masa berpuluh tahun lagi untuk
mengembalikan undi bukan Melayu kepada PAS.
Manakala undi Melayu PAS pula sebenarnya telahpun tepu.
Ini kerana dalam keadaan masyarakat sangat-sangat mengenali PAS dan logonya, undi Melayu yang didapati oleh PAS tidaklah seberapa. Dan sukar untuk dibuat jangkaan bahawa undi Melayu PAS akan meningkat lagi daripada sekarang.
Undi bangsa lain apatah lagi.
Undi PAS boleh dikatakan sudah statik kalaupun tidak merosot di masa akan datang. Tanpa perubahan pendekatan PAS yang keras sekarang ini, parti-parti lain yang bersama PAS akan kehilangan undi asas mereka sendiri pula.
Sudut itu harus dicermati. Ini berbeza dengan AMANAH.
Walaupun sebagai parti baru, masih lagi dapat mengatasi PAS di beberapa daerah mengundi majoriti Melayu walaupun masih belum dikenali.
Masa yang berjalan, selaras dengan pengenalan parti, ideologi dan logo amanah, AMANAH akan terus meningkatkan undi Melayu selain mengekalkan undi daripada kaum-kaum lain di atas ketegasan pendiriannya di dalam menentang salah guna kuasa di dalam kerajaan BN.
Prinsip AMANAH yang jelas yang tidak boleh bertolak ansur dengan kezaliman akan menyebabkan golongan tertindas semakin terus menyokong AMANAH hari demi hari.
Cabaran AMANAH
Dalam tinjauan semasa PRK, didapati ramai pengundi masih ingat PAS berada di dalam Pakatan
Rakyat.
Tugas menerangkan perkara sebenar tentang kedudukan AMANAH adalah satu tugas yang
mencabar.
Ini juga antara sebab mengapa kekeliruan berlaku di kalangan pengundi yang tidak bersetuju
dengan BN.
PRK baru-baru ini adalah berita baik untuk AMANAH dan Pakatan Harapan. Kemampuan AMANAH yang boleh mengalahkan BN dan PAS dalam banyak dan beberapa daerah mengundi membuktikan bahawa parti ini sangat berpotensi.
Bagi kerusi DUN Manong pula, AMANAH mengatasi PAS.
AMANAH tidak pernah mendabik dada bahawa undi yang didapatinya adalah hanya daripada
kekuatannya sendiri.
Dan persoalan itu, tidak penting pun dalam usaha menyatukan setiap elemen-eleman anti BN.
Sumbangan sama ada kecil atau besar, ia tetap sumbangan. Ia lebih baik daripada bersikap angkuh dengan kekuatan sendiri yang tidak seberapa, yang tidak mampu pun diterjemahkan kepada kemenangan.
Tetapi untuk mengatakan bahawa AMANAH tidak ada kekuatan langsung adalah tidak masuk akal, jika melihat kepada data di atas.
Kekuatan yang sedikit, jika dihimpun-himpun akan menjadi besar. Asalkan ada muafakat.
Sebagai parti yang baru, AMANAH yakin akan menambahkan bahagian undinya hari demi hari
selaras dengan pengenalan nama, prinsip, rekod terhadap perjuangan rakyat dan logo parti.
Peralihan undi Cina
Adalah sukar untuk menyimpulkan bahawa undi kaum Cina telah beralih kepada BN kerana
peratusan jumlah keseluruhan undi yang didapati oleh calon BN adalah lebih rendah daripada PRU13.
Bagi DUN Sekinchan sebagai contoh, undi calon BN pada kali ini adalah 5641. Manakala undi
bagi calon yang lalu adalah 5868.
Peratusan mengundi yang kurang menyumbang kepada perkara ini.
Oleh itu, hanya dengan ini, pihak BN tidak boleh mendabik dada bahawa mereka boleh merampas Selangor dalam PRU14 nanti.

Faizal Halim Abu Bakar, adalah Pengarah Penyelidikan dan Strategi Pemuda AMANAH Melaka

More from Malaysiakini

1 comments:

Mat Safian said...

AMANAH tidak tandus undi Melayu, sebenarnya org Melayu pembangkang masih diperingkat 'kecelaruan sokongan'. Mereka diperingkat membuat penilaian, tunggu dan lihat. Biasalah org Melayu, kena faham, lembab sikit nak berfikir. Bila dah ramai org sokong AMANAH nanti, berduyun-duyunlah yg datang minta borang. Kita kena sabar dgn sikap org2 Melayu.

Post a Comment

Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena