Wednesday 22 June 2016

'KWSP sistem zalim dan haram' Mungkin otak Zaharuddin tak betul - MTUC

Rabu, 22 Jun 2016

Mungkin otak Zaharuddin tak betul kerana puasa – MTUC

KWSP_Haram
Dakwaan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Zaharuddin Muhammad kononnya Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sistem zalim dan haram di sisi Islam adalah tidak berasas dan ekstrem.
Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan menegaskan dakwaan itu dibuat tanpa mempertimbangkan manfaat KWSP yang dihargai ramai pesara.
“Sekurang-kurangnya mereka mempunyai simpanan apabila bersara. Tanpanya, sesetengah daripada kita tidak akan berduit ketika bersara dan itu satu malapetaka.
“Dia perlu lebih berhati-hati mengeluarkan kenyataan seperti itu kerana ia boleh mendorong sesetengah individu mengeluarkan dan menghabiskan semua simpanan KWSP mereka sebaik sahaja berumur 55 tahun, walaupun mereka mungkin terus bekerja sehingga 60 tahun,” katanya kepada FMT hari ini.
Shamsuddin turut mempersoalkan niat Zaharuddin mengeluarkan kenyataan itu ketika KWSP mengumumkan akaun patuh syariah Isnin lalu yang akan membolehkan pencarum menukar akaun sedia ada kepada akaun Simpanan Syariah mulai Ogos ini, di mana kadar dividennya dibayar berdasarkan prestasi portfolio patuh syariah.
Menantu Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu membuat perbandingan caruman KWSP dengan perbuatan merompak di mana perompak menjadikan wang rompak sebagai modal membeli barang sebelum “barang itu dijual semula kepada kita”.
Zaharuddin yang mengalu-alukan langkah KWSP mewujudkan Simpanan Syariah dan menegaskan umat Islam wajib berpindah kepada akaun patuh syariah itu, bagaimanapun mendakwa sistem KWSP sendiri bercanggah dengan Islam kerana ia umpama cukai yang dipaksa.
Sementara itu, pemangku Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Abdullah Sani Abdul Hamid memberitahu FMT yang KWSP sama sekali bukan satu bentuk cukai.
“Mungkin otak Zaharuddin tak betul kerana puasa. KWSP adalah simpanan di mana pekerja boleh mengeluarkan simpanan mereka kerana sudah berusia atau kesihatan dan untuk tujuan pendidikan antara lain.
“Sekarang ia menawarkan akaun patuh syariah penuh yang digalakkan Islam.
“Beliau perlu periksa faktanya sebelum membuat kenyataan yang akan menimbulkan keraguan dan ketakutan dalam kalangan umat Islam,” katanya yang menasihatkan Zaharuddin mendapatkan maklumat lanjut daripada pegawai KWSP untuk memahami sistem berkenaan.
KWSP dengan keahlian hampir 15 juta, ditubuhkan di bawah Akta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja 1991 bagi menyediakan faedah persaraan kepada ahlinya melalui pengurusan simpanan cekap. – Free Malaysia Today

0 comments:

Post a Comment

Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena