Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, penjelasan itu penting bagi mengelakkan wujudnya konflik kepentingan yang berkaitan perkara tersebut.
"Menteri Dalam Negeri dan Menteri Kewangan harus segera menyatakan jumlah sebenar kos yang telah ditaja oleh Da Ma Cai. Jika melihat gambar yang tersebar di internet, pegawai polis yang turut serta dalam lawatan kerja tersebut ditemani oleh isteri mereka.
"Kita tidak mahu wujudnya konflik kepentingan dalam perkara ini. Jadi adalah wajar kerajaan Pakatan Harapan memberi penjelasan," katanya melalui hantaran di Facebook hari ini.
Kata Khairy, Menteri Dalam Negeri sahkan 'lawatan kerja' yang diketuai Ketua Polis Negara, Tan Sri Fuzi Harun dan rombongan beberapa pegawai tertinggi PDRM ke Turki itu diluluskan beliau untuk belajar tentang kaedah menangani masalah judi online.
Tetapi pada masa sama katanya, Menteri Kewangan pula menyatakan 'lawatan kerja' tersebut dibuat menerusi Lembaga Totalisator Malaysia, agensi di bawah Kementerian Kewangan tetapi segala kos perbelanjaan ditaja oleh Da Ma Cai, sebuah syarikat judi dan loteri di Malaysia.
"Dengan kata lain, sebuat syarikat judi menaja pasukan polis untuk belajar menangani masalah judi haram," katanya. - UTUSAN ONLINE.