Monday 8 July 2013

N1 Kuala Besut: Baru-baru ini BN dah menang, berilah pada BN. Tak payah pilihan raya - IDRIS Jusoh..Aik Macam tu pulak..

Isnin, 8 Julai 2013

PAS: BN takut kejutan PAS di Kuala Besut
Pesuruhjaya PAS Terengganu Mohd Abdul Wahid Endut hari ini membidas Ketua Umno Besut Datuk Seri Idris Jusoh yang meminta PAS tidak meletakkan calon dalam pilihan raya kecil DUN Kuala Besut 24 Julai ini bagi menghormati kemenangan BN pada pilihan raya umum lalu dan bulan Ramadan.
Abdul Wahid Endut

"Dia takut. Dia takut (kalah) dalam pilihan raya kecil. Ini kerana kita pernah buat kejutan dalam pilihan raya kecil parlimen Kuala Terengganu.

"Kita ada pengalaman (menang). Kita mahu mencipta sejarah buat kali kedua. Lagi pula Kuala Besut bersempadan dengan Kelantan.

"Kita mahu aura kemenangan Kelantan ke Kuala Besut," kata Mohd Abdul wahid (atas) ketika dihubungi Malaysiakini petang ini.
Pada Januari 2009, Mohd Abdul Wahid Endut menewaskan calon BN Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh dalam pilihan raya kecil parlimen Kuala Terengganu dengan majoriti 2,631 undi.

Mohd Abdul Wahid mendapat 32,883 undi, manakala Wan Ahmad Farid mendapat 30,252 undi.

Manakala calon bebas, Azharudin Mamat @ Adam hanya mendapat 193 undi dan hilang wang pertaruhan.

Mohd Abdul Wahid mengulas kenyataan Idris yang juga menteri pelajaran dan pengajian tinggi II antara lain menyatakan PAS tidak mempunyai harapan untuk memenangi pilihan raya kecil itu memandangkan BN mendapat undi majoriti sebanyak 2,434 dalam pilihan raya umum ke-13.
DUN Kuala Besut kosong berikutan kematian Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Besut Dr A Rahman Mokhtar akibat kanser paru-paru, 26 Jun lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang bermesyuarat menetapkan 24 Julai sebagai tarikh mengundi dan 12 Julai sebagai hari penamaan calon PRK Kuala Besut.Mk.

Umno: Kami akan menang majoriti 4,000

Ketua Umno Besut Datuk Seri Idris Jusoh meminta agar PAS tidak meletakkan calonnya di pilihan raya kecil DUN Kuala Besut bagi menghormati kemenangan BN dalam pilihan raya umum lalu dan bulan Ramadan.
Ahli Parlimen Besut itu juga berkata, PAS turut tidak mempunyai harapan untuk memenangi pilihan raya kecil itu memandangkan BN mendapat undi majoriti sebanyak 2,434 dalam pilihan raya umum yang lalu.

"Sebenarnya kalau kita lihat, pilihan raya (umum) tak sampai dua bulan. Lebih baik kalau tak payah pilihan raya. Baru-baru ini BN dah menang, berilah pada BN. Tak payah pilihan raya.
"Kita dah menang. Lagi-lagi nak bulan puasa. Hormatilah bulan puasa dan hormati kemenangan BN di tempat itu. Bukan menang sikit. Kalau menang 300 (undi majoriti) tak apa, tapi menang 2,434.

"Kalau PAS tak bertanding lagi elok. Berilah calon BN menang. Biar kita kurangkan berpolitik selepas pilihan raya besar yang lalu," katanya.

Idris yang juga ketua Umno bahagian itu berkata demikian kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.
Pilihan raya kecil DUN Kuala Besut diadakan berikutan kematian Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan itu, Dr A Rahman Mokhtar akibat kanser paru-paru, 26 Jun lalu.

Bukan senang ubah pemikiran

Dalam pilihan raya umum yang lalu, A Rahman mengalahkan calon PAS Napisah Ismail.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 24 Julai sebagai tarikh mengundi dan 12 Julai sebagai hari penamaan calon pilihan raya kecil Kuala Besut.
Idris berkata, beliau yakin dalam pilihan raya kecil kali ini, BN akan mendapat pertambahan majoriti sehingga 4,000 undi.

Katanya, selaku ketua bahagian, beliau yakin penduduk di kawasan itu tidak akan berubah pemikiran dengan memberikan undi kepada PAS.

"Kalau PAS nak menang, mereka perlu lagi 1,200 undi. Bukan senang nak ubah pemikiran mereka (penduduk Kuala Besut). Saya tahulah sebab saya ketua bahagian sana.
"Insya-Allah kita bukan sahaja sasar untuk menang tetapi majoriti undi sehingga 4,000 (undi) di Kuala Besut... kenapa 4,000? sebab ahli parlimennya ialah menteri pendidikan kedua.

"Mereka harus berbangga dan bersyukur kerana pengiktirafan telah diberi," katanya sambil ketawa. Mk

0 comments:

Post a Comment

Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena