Saturday 7 October 2017

[Video UBAH 428 - Kebangkitan Rakyat & Pink Diamond Dan Harta 1MDB Jho Low Akan Dirampas] Umno Sabah bimbang! Warisan terus bangkit biarpun siasatan SPRM menekan.

Sabtu, 7 Oktober 2017


Image result for Gambar berlian merah jambu

Warisan terus bangkit biarpun siasatan SPRM menekan

Warisan terus bangkit biarpun siasatan SPRM menekan
Pemimpin Warisan Mohd Shafie Apdal kini dilihat sebagai satu ancaman apabila mula menunjukkan belangnya di Sabah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Oktober, 2017.
KETIKA Bersatu mengetuai pembangkang di Semenanjung Malaysia, sebuah lagi parti baharu turut menunjukkan belangnya di Sabah sehinggakan pemimpinnya, Mohd Shafie Apdal kini dilihat sebagai satu ancaman.
Walaupun usianya baru setahun, Parti Warisan Sabah menangkap imaginasi pemimpin politik baharu dan anak-anak muda Sabah yang mahukan autonomi lebih luas dari Putrajaya.
Shafie, bekas Naib Presiden Umno memikat hati anak-anak muda ketika Umno dan Barisan Nasional (BN) menguasai Sabah pada 1995. Beliau yang ketika itu baru berusia 38 tahun memainkan peranan memancing undi golongan muda.
Apabila Warisan ditubuhkan pada 17 Oktober tahun lalu selepas Shafie keluar Umno, mereka yang beliau lantik sebagai pemimpin parti berumur dalam lingkungan 30 hingga 40 tahun. Antaranya, Ahli Parlimen Penampang Darrel Leiking yang sebelumnya menganggotai PKR; Ahli Dewan Undangan Negeri Likas Junz Wong yang sebelumnya menyertai DAP dan wakil rakyat Moyog, Terrence Siambun.
"Ini sebabnya kenapa Shafie tidak boleh diperkecil-kecilkan," kata Ketua Umno Bahagian Kota Kinabalu Faisyal Deigo.
"Beliau melakukannya dulu dan beliau akan melakukannya lagi sekarang. (Menarik) anak-anak muda memang antara kekuatannya," katanya kepada The Malaysian Insight.
Faisyal melihat untuk Warisan sekarang, Shafie mengulangi apa yang dibuatnya dulu ketika Umno mula bertapak di Sabah – mulakan dengan pengundi muda.
Hampir separuh atau lebih kurang 1.6 juta daripada 3.544 juta rakyat Sabah berumur antara 18 hingga 40 tahun.
Perjuangan Warisan menjuarai hak Sabah juga merupakan satu faktor penting dan membuka mata banyak rakyat Sabah untuk lantang bersuara tentang penghakisan hak negeri seperti yang termaktub di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Warisan agak cepat memasukkan soal hak negeri mengenai royalti minyak, autonomi, pendidikan dan kesihatan ke dalam manifesto pilihan raya tidak rasminya.
Biarpun isu sama pernah dibangkitkan sebelum ini oleh parti lain seperti Solidariti Tanah Airku yang diketuai Dr Jeffrey Kitingan pada pilihan raya umum ke-13, ia tidak sedikit pun mengusik BN sehinggalah Warisan kini bersuara.
BN sekarang nampak lebih sensitif tentang MA63, seperti yang ternampak dengan pembentukan jawatankuasa teknikal penurunan kuasa pada peringkat negeri dan pusat.
Warisan di bawah lampu sorot
Warisan sekarang jadi perhatian nasional apabila Naib Presidennya Peter Anthony ditahan reman untuk membantu siasatan berhubung dakwaan penyelewengan RM1.5 bilion dana persekutuan bagi projek infrastruktur air dan elektrik di Sabah.
Shafie, yang jadi Menteri Kemajuan Luar dan Wilayah sepanjang tempoh penyelewengan yang didakwa itu, berkata siasatan tersebut bermotifkan politik untuk menghancurkan masa depannya. Shafie menerajui kementerian itu antara 2009 hingga 2015.
Perkembangan ini muncul ketika Warisan dijangka menyambut ahli baharu dari kedua-dua belah pihak, kerajaan dan pembangkang, yang ingin bertukar parti.
Pada bulan lepas, beberapa ratus ahli Parti Bersatu Sabah dari bahagian Membakut mengisytiharkan keluar parti untuk menyertai Warisan.
PBS, sebuah parti komponen BN, juga kehilangan ketua pemudanya, Jake Nointin yang juga Ketua Bahagian Liawan serta beberapa ketua bahagian lain yang letak jawatan baru-baru ini. Nointin dijangka menyertai Warisan tidak lama lagi.
Naib Presiden Warisan Junz Wong berkata parti itu sedang berusaha menarik lebih ramai lagi pemimpin cawangan dan bahagian dari Pakatan Harapan dan BN menyertai mereka.
"Misi kami menyatukan rakyat Sabah. Ramai yang kini sedar perjuangan sebenar parti ini kerana kami mahu mengangkat aspirasi rakyat Sabah," katanya kepada The Malaysian Insight.
Wong berkata partinya sudah menerima lebih 100,000 permohonan keahlian dari seluruh Sabah, namun kerana isu teknikal, hanya separuh diluluskan setakat ini.
Warisan juga bercadang membuka 26 pejabat bahagian, sebuah di setiap kawasan Parlimen, termasuk sebuah di Wilayah Persekutuan Labuan.
Wong berkata kebangkitan Sabah dan Sarawak menyebabkan pemimpin dari Semenanjung Malaysia melompat.
"Tengok berapa kali Perdana Menteri Najib Razak dan timbalannya, Ahmad Zahid Hamidi melawat Sabah baru-baru ini. Tahun ini saja sudah dekat 20 kali. Tetapi sebelum ini mereka datang tak lebih lima kali setahun," katanya.
Kenapa Warisan, bukan Bersatu
Shafie tidak menyertai Bersatu, yang juga ditubuhkan setahun yang lalu, biarpun ditawarkan jawatan timbalan presiden.
Wong berkata ini sebahagian daripada strategi Warisan untuk menghentikan amalan membuat keputusan untuk Sabah dari Semenanjung, satu daripada rungutan rakyat Sabah tentang pemimpin dan ahli politik dari Malaysia Barat.
"Rakyat Sabah mahu pemimpin Sabah mendengar dan menyelesaikan masalah mereka tanpa bergantung pada dasar yang ditetapkan oleh sesiapa saja yang menguasai Putrajaya.
"Warisan mahu MA63 dilaksanakan oleh sebuah kerajaan Sabah tanpa campur tangan dari Putrajaya," tambah Wong.
Biarpun memilih untuk tidak menyertai Pakatan Harapan, Warisan mendukung kerjasama untuk menentang Umno dan BN. Pemerhati politik mengatakan pendekatan yang semacam ini sudah cukup untuk menggusarkan parti pemerintah itu.
Walaupun Warisan tampak tidak cenderung untuk membentuk sebarang pakatan rasmi, kata pemerhati, ia sudah menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan PH pada PRU14 ini melalui parti pembangkang negeri yang lain.
"Ini mungkin dalam bentuk rundingan kerusi. Tetapi bukan senang untuk PH berunding dengan mereka kerana Warisan ada sokongan yang kuat di sebelah pantai timur Sabah kerana Shafie seorang pemimpin yang sangat dihormati di Semporna.
"Begitu juga dengan sesetengah daerah di pedalaman dan pekan di serata negeri," kata pemerhati yang enggan dinamakan itu kepada The Malaysian Insight.
Umno Sabah bimbang
Bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Simon Sipaun berkata Shafie ada segala-galanya yang diperlukan untuk jadi pemimpin tinggi – suaranya lembut dan tingkah lakunya beradab, serta mampu mengupas kebimbangannya tentang hutang negara yang diwariskan kepada anak cucu semua bangsa.
"Dengan kelulusannya dalam bidang ekonomi, beliau tahu apa yang dikatakannya tentang kedudukan masa depan ekonomi Malaysia ketika pendapatan negara tidak dapat menampung perbelanjaan dengan cukup," kata Sipaun.
Kebangkitan Warisan dan sambutan rakyat Sabah ini menyaksikan serangan peribadi secara terbuka terhadap Shafie oleh pemimpin Umno Sabah, Ketua Menteri Musa Aman dan adiknya, Anifah seorang menteri kabinet persekutuan, dalam mesyuarat bahagian Umno di Sabah baru-baru ini, yang turut dihadiri oleh Zahid.
Lebih membimbangkan bagi Umno, kata pemerhati politik setempat, adalah apabila Pengerusi PH Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini mengisytiharkan ada sebuah parti di Sabah yang menyokong PH, walaupun beliau tidak menamakan Warisan.
Dan kini, orang tidak dapat tidak mengelak daripada melihat siasatan ke atas dakwaan penyelewengan RM1.5 bilion antara 2010 hingga 2016 di Kementerian Kemajuan Luar dan Wilayah itu sebagai usaha untuk menahan kebangkitan Shafie dan Warisan, kata pemerhati.
Namun Shafie menegaskan penahanan naib presiden partinya, Anthony tidak menjejaskan perjuangan Warisan. Beliau juga sudah menyatakan kesediaan untuk bekerjasama sekiranya dipanggil oleh SPRM untuk soal siasat.
Wong pula percaya episod ini akan menjadikan Warisan lebih gagah.
"Esok, dalam rapat umum di Tenom, kami akan mengutuk penahanan Anthony ini, sampaikan mereka yang buta pun akan nampak siasatan ini bermotifkan politik," katanya. – 7 Oktober, 2017.
 The Malaysian Insight

0 comments:

Post a Comment

Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena