Saturday 25 October 2014

Ali 'cari suaka politik' diancam bunuh..."Laporan polis sudah dibuat. Tetapi, laporan sahaja"...

Ahad, 26 Oktober 2014
Aktivis Ali cari suaka politik luar negara dengan sokongan keluarga
Aktivis Ali Abd Jalil yang berkali-kali ditahan polis atas dakwaan menghina kerabat diraja Johor sedang mencari suaka politik di luar negara. – Gambar fail The Malaysian Insider, 25 Oktober, 2014.
Aktivis Ali Abd Jalil yang berkali-kali ditahan polis atas dakwaan menghina kerabat diraja Johor sedang mencari suaka politik di luar negara. – Gambar fail The Malaysian Insider, 25 Oktober, 2014.


Aktivis Ali Abd Jalil yang berdepan dakwaan dan tekanan pihak berkuasa Malaysia kini berada dalam keadaan selamat di luar negara dalam usahanya mendapatkan suaka politik, kata kakaknya Asiah.
Beliau mengesahkan kepada The Malaysian Insider, adiknya ada membuat panggilan telefon memaklumkan dia tiba di negara tersebut Selasa lalu, tetapi Asiah enggan menyatakan negara yang dimaksudkan.
"Saya boleh sahkan Ali selamat berada di negara tersebut bagi mendapatkan suaka politik," katanya hari ini, sambil menerangkan dia merahsiakan lokasi adiknya atas faktor keselamatan.
Asiah berkata Ali tidak memaklumkan kepada keluarganya mengenai rancangannya ke luar negara, dan mereka hanya mengetahuinya selepas Ali tiba di negara tersebut.
"Pihak keluarga tidak mengetahui, kami juga terkejut dengan langkah tersebut," katanya.
Menurut Asiah, sebuah badan hak asasi manusia antarabangsa membantu proses Ali keluar dari Malaysia, tetapi enggan menyatakan secara spesifik badan tersebut.
"Ali berjaya menjalani proses mendapatkan visa. Majistret negara tersebut sudah meluluskan visa. Kini Ali dalam proses memohon suaka politik daripada negara itu.
"Tetapi, beberapa proses perlu dijalani terlebih dahulu, antaranya pengesahan yang Ali ialah warganegara Malaysia dan bentuk ancaman yang dihadapinya," katanya.
Namun Asiah berkata keluarganya menyokong penuh tindakan adiknya tersebut memandangkan tiada jaminan keselamatan buat Ali jika dia terus kekal berada di Malaysia.
"Banyak ancaman dan tekanan dihadapinya, malah beliau juga menerima ancaman bunuh.
"Laporan polis sudah dibuat. Tetapi, laporan sahaja dibuat. Kita pun tahu tiada tindakan akan diambil," katanya.
Ali sebelum ini menghadapi tiga tuduhan hasutan kerana didakwa menghina kerabat diraja Johor dan Sultan Selangor dalam postingnya di Facebook.
Beliau juga ditahan polis di penjara selama 22 hari sejak 8 September dan dibebaskan kemudiannya pada 29 September.
Amnesty International menyifatkan Ali sebagai "Banduan Hati Nurani" sebagai usaha menghentikan apa yang mereka sifatkan "pendakwaan terpilih".
Awal pagi ini, The Malaysian Insider menerima satu emel memberitahu Ali selamat tiba di Stockholm, Sweden selepas berjaya keluar dari Malaysia menerusi sempadan Malaysia-Thailand di Danok.
Selain Ali, seorang lagi warganegara Malaysia, blogger seks kontroversi Alvin Tan, juga dalam usaha mendapatkan suaka politik di luar negara. – 25 Oktober, 2014.

0 comments:

Post a Comment

Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena