Tuesday 21 October 2014

Membelai Anjing: MAIS Buat U Turn pulak dah! Penganjur dan peserta program diseru bertaubat - Mufti Kelantan

Rabu, 22 Oktober 2014

Kempen Sentuh Anjing.. MAIS Buat U Turn?

Majlis Agama Islam Selangor (Mais) kesal dengan tindakan penganjur program "I Want To Touch A Dog" yang menyalahgunakan surat kelulusan majlis agama itu dengan membenarkan umat Islam memegang, memeluk dan mencium anjing.

Pengarah Mais Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa berkata, penganjur memaklumkan pihaknya program itu untuk memberi pencerahan atau kefahaman tentang hukum berkaitan kedudukan anjing dari segi perspektif Islam.

Beliau berkata, penganjur tidak menyatakan aktiviti membuka peluang kepada umat Islam untuk memegang anjing ‎dalam surat permohonan itu.

"Perlakuan memegang, memeluk dan mencium anjing oleh orang Islam dengan sengaja seperti yang berlaku pada hari tersebut amatlah dikesali kerana bertentangan dengan hukum syarak.

"Ini juga tidak seperti mana yang digambarkan oleh penganjur serta tidak menepati objektif program seperti yang disebut dalam surat permohonan penganjur," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Adzib berkata, pihaknya juga menerima cadangan program itu kerana difahamkan ada latihan amali mengenai kaedah penyucian jika terkena atau tersentuh anjing.

Katanya, pihaknya juga mendapatkan pandangan Mufti Selangor Datuk Seri Mohd Tamyes ‎Abdul Wahid mengenai objektif yang digariskan penganjur.

"Objektif yang digariskan penganjur dalam surat bertarikh 3 Oktober 2014 adalah untuk memberi persepsi sebenar kepada umat Islam keperluan untuk menyelamatkan anjing dalam kecemasan.

"Seperti kesakitan atau terbiar, keadaan bagaimana yang mengharuskan orang Islam menjadikan anjing sebagai haiwan peliharaan, kaedah yang betul untuk memegang dan mengendalikan anjing.

"Kaedah menyamak apabila ada berlaku sentuhan dalam keadaa lembap dengan anjing dan kaedah sertu dan penggunaan sabun yang dibuat daripada tanah liat bagi tujuan penyucian," katanya.

Katanya, Jabatan Mufti Negeri Selangor dalam surat bertarikh 9 Oktober juga memberi panduan, iaitu walaupun anjing banyak memberi manfaat kepada manusia, tetapi Allah mengharamkan kita menyentuhnya dengan keadaan basah.

Persentuhan itu jelasnya dianggap najis berat (mughallazah) tetapi tidak dianggap sedemikian jika kedua-duanya, manusia dan anjing berada dalam keadaan kering.

"Oleh itu jika ingin menjadikan anjing sebagai penjaga rumah atau untuk berburu, ia hendak ditambat di luar rumah untuk mengelakkan kita terlibat dengan najisnya," katanya.

Tamyes dilaporkan The Malaysian Insider semalam menafikan pihaknya‎ membenarkan program sentuh anjing di Central Park, Bandar Utama di Petaling Jaya, Ahad lalu.

Beliau sebaliknya berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) yang terlibat, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) perlu memberi penjelasan membenarkan penganjuran tersebut dibuat di tempat awam dan dipersoalkan matlamatnya.

"Perlu ditanya apa justifikasi kerana PBT yang berhak luluskan atau halang, bukan di bawah jabatan agama atau majlis agama," katanya.

Ditanya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang mahu menyiasat program itu, beliau mengalu-alukannya.

"Saya ucapkan tahniah kepada Jakim kerana campur tangan. Sekurang-kurangnya orang ramai sedar perkara ini (sentuh anjing) tidak digalakkan," katanya.

Program itu pada awalnya mendapat sambutan ramai masyarakat, tetapi dikecam beberapa ilmuan agama termasuk ulama dan mufti di kebanyakan negeri.

Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pula dalam reaksinya juga menyifatkan program itu sebagai kerja “orang tiada otak”.

Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad menyeru umat Islam penganjur dan peserta yang membelai anjing semasa program itu supaya bertaubat kerana cuba mempersendakan hukum agama.

‎Ketua Pengarah Jakim Datuk Othman Mustapa berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan terperinci berhubung anjuran tersebut yang dianggap tidak prihatin dengan sensitiviti Islam. ~malaysian insider

Lihat penafian MAIS sebelum ini di SINI.
Posted by 

0 comments:

Post a Comment

Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena