Wednesday 29 August 2018

[Video BUDAYA CIUM TANGAN Najib punca UmnoBN tersungkur] Balas jasa "Senoi Praaq" dengan zalim pada sekatan Orang Asli.

Rabu, 29 Ogos 2018

Balas jasa "Senoi Praaq" dengan zalim pada sekatan Orang Asli


 Isnin lepas, tiga sekatan yang dibina masyarakat Orang Asli Gua Musang dirobohkan pihak Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan dengan mengguna pakai Seksyen 32 Akta Perhutanan Negara Pemakaian 1984.
Perobohan dilakukan adalah sah mengikut undang-undang dan alasan yang diguna pakai pihak berkuasa terbabit.
Ianya tidak akan melemahkan semangat masyarakat Orang Asli yang sekian lama berjuang bagi mendapatkan hak dan pengiktirafan tanah adat mereka.
Buktinya, jam 1:30 pagi Rabu (hari ini) sekatan Orang Asli di Cawas kembali berdiri. Tahniah daripada kami Pakatan Harapan Kelantan atas kecekalan dan iltizam yang kuat oleh rakan-rakan Orang Asli sekalian.
Ini perjuangan kamu dan kami akan sentiasa menyokong tanpa berselindung.
Kuasa iktiraf hak tanah adat
Saya dihubungi pelbagai pihak bertanyakan kesudahan krisis ini. Apa penyelesaiannya?
Apa tindakan seterusnya daripada masyarakat orang asli?
Apa bentuk bantuan diperlukan masyarakat orang asli dan utama sekali, apa tindakan kementerian-kementerian di peringkat pusat dalam membantu masyarakat orang asli menangani krisis ini?
Soalan-soalan di atas hanya mampu saya jawab dengan satu jawapan yang saya tahu ianya menghampakan semua pihak yang bertanya.
Pada akhirnya, penyelesaian berada di tangan kerajaan Kelantan kerana kuasa untuk mengiktiraf hak tanah adat Orang Asli adalah kuasa veto kerajaan negeri.
Sempena bulan kemerdekaan dan juga menjelang sambutan Hari Malaysia, saya ingin membawa ke pengetahuan semua sedikit kisah perjuangan pahlawan unit keselamatan khas pasukan polis hutan (PPH) "Senoi Praaq" (Orang perang) yang mana antara mereka ialah daripada suku kaum Temiar selain Semai, Semelai dan Temuan.
"Senoi Praaq" di Laos
Selama krisis sekatan Orang Asli menjadi panas di Kelantan, saya ada membaca beberapa komen "jahat" daripada mereka yang malas membaca.
Yang saya maksudkan sebagai komen jahat ialah bila mana ada tuduhan dibuat kononnya ketika zaman darurat, Orang Asli membantu pengganas komunis berlindung daripada pemburuan.
Hakikat dan fakta yang tidak ramai daripada kita tahu adalah Orang Asli merupakan penyumbang utama dalam membantu negara keluar dari zaman darurat dan pembebasan kawasan hitam daripada cengkaman serta penguasaan komunis.
"Senoi Praaq" ketika zaman kegemilangannya dikenali sebagai "silent killer" dan pihak komunis sendiri memilih untuk melarikan diri daripada berhadapan dengan "Senoi Praaq".
Saya fikir, AJK PAS Pusat Nik Abduh Nik Abdul Aziz yang pernah dikaitkan dengan CIA pasti tahu kerana kehebatan unit "Senoi Praaq", pihak CIA sendiri pernah menggunakan khidmat "Senoi Praaq" di Laos.
Apabila Amerika Syarikat kalah dalam perang di Laos, skuad "Senoi Praaq" ditinggalkan begitu sahaja di Laos tetapi mereka berjaya juga pulang ke Malaysia.
Tamat di situ dahulu.
61 tahun selepas kita merdeka, 58 tahun selepas zaman darurat, 29 tahun selepas ancaman komunis tamat melalui perjanjian damai Hatyai dan selepas mereka berkorban untuk negara, hari ini anak cucu bekas unit "Senoi Praaq" terpaksa menyambung perjuangan bapa dan datuk mereka.
Kali ini bukan untuk pembebasan negara daripada penjajahan luar, sebaliknya bagi mendapatkan hak tanah adat mereka yang dinafikan oleh sebuah kerajaan yang berjaya didirikan dan distabilkan hasil titik peluh perjuangan serta pengorbanan bapa dan datuk mereka, bekas anggota unit "Senoi Praaq".
Sebagai orang bandar, saya merasa sangat malu kepada para sahabat Orang Asli apabila melihat sebuah kerajaan melayan permintaan kecil masyarakat minoriti yang pernah berjasa dalam mengekalkan keamanan dan keharmonian negara daripada cengkaman komunis persis rejim Zionis melayan Palestin.
Apa sangat pengiktirafan sebahagian kecil hutan simpan sebagai tanah adat berbanding dengan keamanan dan keharmonian yang kita kecapi hari ini?
Saya yakin kerajaan Kelantan tidak akan jatuh papa kedana hanya kerana mengiktiraf beberapa kawasan dalam hutan simpan sebagai tanah adat Orang Asli sebagaimana tuntutan masyarakat Orang Asli.
Orang Asli telah membuktikan bahawa hutan lebih selamat dan terpelihara di bawah jagaan mereka manakala kita telah membuktikan bahawa keangkuhan kita hanya menyumbang pada kehancuran hutan.
Kenanglah jasa mereka pada negeri dan negara ini, berikan hak mereka. Mereka telah berkorban nyawa dan hasilnya sedang kita nikmati hingga ke hari ini.

MOHD FAUZI MOHD AZMI ialah Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Orang Asli, Pakatan Harapan Negeri Kelantan.
Tulisan ini tidak mencerminkan pendirian rasmi redaksi Malaysiakini.

0 comments:

Post a Comment

Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena