Saturday 17 January 2015

Kritik KHUTBAH JAKIM bukan kritik Islam...

Sabtu, 17 Januari 2015
4 hrs · 
 

Berkatalah benar walau terpaksa berdepan dengan pelbagai risiko.. Dibuang kerja serta-merta atau dilucutkan jawatan...

Sesungguhnya Allah s.w.t. pemberi rezeki,
BUKANNYA KERAjaan mahupun pemimpin yg bongkak...

Yang kejam harus disanggah dan ditegur silapnya.. Yang baik dan bagus harus dicontohi dan diikuti caranya..

Berani kerana benar, BENAR KERANA ALLAH..
Allahuakbar...!!!

Wan Ji: Kritik khutbah Jakim bukan kritik Islam

Sebilangan tujuan (syariah) adalah menjaga gambaran (imej) baik tentang Islam, demikian pesan Syaikh Dr Abdullah bin Bayyah. Walaupun ringkas, kandungan pesanan ini amat penting. Jika diabaikan, ia boleh memberi kesan besar kepada sudut pandang manusia terhadap agama Islam.
Seperti diyakini dan dipercayai ramai penganutnya, Islam hadir untuk membebaskan manusia daripada kongkongan kejumudan. Sebaliknya, kejumudan kini menular di kalangan umat Islam. Ia berlaku bukan kerana sifat agama Islam, tetapi sikap sebilangan orang Islam yang tidak bertanggungjawab terhadap agama Islam. Sikap jumud ini menjadikan imej Islam semakin tercalar. Lebih menyedihkan, imej buruk melekat dalam benak fikiran orang bukan Islam.
Memikirkan tentang tentang perkara ini, kita akan nampak bahawa banyak tindakan Jakim boleh dianggap sebagai penyumbang kepada pencalaran imej agama Islam. Ini kerana, banyak pandangan Jakim tidak mempamerkan keluasan Islam seperti ajarannya yang sebenar. 

Isu beri makan pada anjing

Malahan ia bercanggah dengan prinsip asas Islam seperti rahmat, kebijaksanaan, fitrah dan sebagainya. Ini dapat dilihat dalam beberapa kes-kes kendalian Jakim. Contohnya, tindakan Jakim yang menganggap salah, malahan menangkap seorang anak gadis melayu bernama Maznah Mohd Yusuf (Chetz) atas dakwaan menghina Islam kerana memberi makan kepada anjing yang dikhabarkan berlaku dalam bulan Ramadan.   

Jika difikirkan, tindakan Jakim itu amat berbeza dengan ajaran hadis sahih – Nabi Muhammad SAW ada mengambarkan seorang perempuan pelacur Bani Israel diampunkan dosa disebabkan dia memberi minum seekor anjing yang dahaga. 

Satu lagi contoh lain adalah isu memegang anjing, yang dianggap salah, dengan pelbagai kenyataan dari Jakim. Apa yang boleh dilihat, Jakim berpendapat bahawa memegang anjing itu sebagai haram. Dari sudut tradisi ilmu Islam, pendapat Jakim ini janggal. Ini kerana, dari sudut fiqh mazhab muktabar dalam Sunni, dakwaan haram memegang anjing itu sendiri masih kabur. Lebih-lebih lagi tiada seorang pun ulama dalam mazhab empat menyatakan secara jelas bahawa memegang anjing itu haram. Yang wujud kekhilafan adalah kewajipan membasuh apabila menyentuh anjing, seperti yang popular dalam mazhab Shafi.

Pegangan mazhab berbeza 

Pada masa sama, ada mazhab yang menyatakan ia tidak wajib dibasuh. Sebaliknya sekadar sunat sahaja, seperti mana popular dalam mazhab Maliki. Jika dibuka kitab fiqh Sunni yang muktabar, kekhilafan bukan sekadar berlaku dalam isu membasuh apabila menyentuh anjing, malahan di kalangan mereka dalam isu membela anjing untuk tujuan selain daripada berburu dan menjaga kebun serta binatang ternakan. Ini kerana, Ibn Abd al-Bar dari mazhab Maliki memandang ia sebagai makruh sahaja, walaupun tanpa dinafikan kebanyakan ulama (termasuk dari mazhab Shafie) menganggapnya haram.

Jakim tidak boleh memaksa manusia mengikut pendapat kebanyakan ulama. Ini kerana, dalam banyak sikap Jakim sendiri yang berdiam diri dalam beberapa perkara yang melibatkan pendapat yang tidak majoriti, seperti fatwa ulama terdahulu tentang alat muzik. Ibn Hazm, boleh dikatakan antara ulama yang mengizinkan alat muzik, sedangkan ketika itu kebanyakan ulama mengharamkannya. 


Namun kini, pendapat Ibn Hazm itu diguna pakai. Sudut pandang agama Islam Jakim lebih kelihatan canggung, apabila menteri yang mewakili Jakim pernah mengeluarkan kenyataan bahawa di Malaysia, mazhab yang diguna pakai adalah mazhab Shafie sebagai mazhab konsensus.

Semua pandangan Jakim mewakili Islam? Kenyataan ini amat bercanggah, kerana dalam banyak amalan fiqh di Malaysia tidak mengikut kepada mazhab Shafie. Contohnya seperti pembayaran zakat fitrah. Dalam mazhab Shafie, zakat fitrah tidak boleh dibayar menggunakan wang, sebaliknya perlu guna makanan rutin yang mengenyangkan. 


Amalan membayar zakat menggunakan wang mengikut amalan dalam mazhab Hanafi. Dalam contoh lain, seperti hukum pemilikan tanah yang diteroka. Dalam kenyataan Imam al-Shafie dalam al-Umm, pemilikan tanah yang diteroka tidak perlu mendapat keizinan dari pemerintah. Namun, pengamalan di Malaysia menggunakan cara pengamalan dalam mazhab Hanafi; iaitu mensyaratkan mendapat keizinan kerajaan terlebih dahulu.

Ataupun dalam contoh yang lain, seperti kewajipan membayar zakat pendapatan. Tidak pernah wujud dalam fiqh tradisional mazhab syafie tentang kewajipan zakat pendapatan. Tetapi difatwakan wajib diamalkan di Malaysia berdasarkan pendapat ulama kontemporari (seperti al-Qaradawi) yang beliau sendiri berhujah dalam isu kewajipan zakat pendapatan tidak bermuarakan kepada pendapat dalam mazhab Syafie. Bukan sekadar itu sahaja, malahan kini kelihatan ada satu persepsi yang seakan-akan dicipta, iaitu sebarang perkara yang datang dari Jakim dianggap sebagai mewakili Islam. 

Ekoran itu, mengkritik Jakim, seakan-akan mengkritik dan menghina Islam. Agama Islam tidak akan salah Perlu dijelaskan bahawa di sana wujud perbezaan ketara antara Islam dengan badan agama Islam. Pandangan badan agama Islam, tidak semestinya agama Islam. Kerana pandangan badan agama Islam boleh jadi benar dan boleh jadi salah. Sedangkan, agama Islam tidak akan salah. Agama Islam bersumberkan wahyu, sedangkan badan agama yang pandangan keagamaan mereka hanya bersifat menafsirkan wahyu. 

Wahyu itu hebat, diungkapkan dalam bahasa puitis dan dengan sasteranya yang tinggi. Apabila terlibat dengan kalam yang puitis dan sastera, sudah pasti memahaminya terikat kepada tafsiran. Apabila tafsiran, sudah pasti terikat dengan kemungkinan benar atau salah. Itulah yang ada pada badan agama. Jadi, mengkritik apa-apa yang berkaitan dengan Jakim, tidak bermakna mengkritik Islam. Mengkritik kandungan khutbah yang disediakan oleh Jakim, tidak boleh dianggap mengkritik Islam. 


Mengkritik sebarang keputusan Jakim juga tidak boleh dianggap sebagai mengkritik islam. Jika dianggap juga sebagai mengkritik Islam, sudah pasti Islam itu sudah punyai sumber agama selain dari al-Quran dan al-hadis, sedangkan ini bercanggah dengan pesanan Nabi Muhammad SAW; "Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara. Kamu tidak akan sesat sampai bila-bila jika kamu berpegang dengan kedua-duanya; al-Quran dan Hadis." (Muwatta', Hadis No: 3338)

Mengenangkan hal itu, melakukan kritikan terhadap Jakim adalah satu perkara yang sihat. Jawab dengan ilmiah Ini kerana, ia boleh memberikan satu imej yang baik kepada Islam, iaitu manusia akan memahami bahawa kenyataan Jakim itu tidak semestinya mewakili agama Islam. Sekurang-kurangnya ia melahirkan tanggapan bahawa Islam dan Jakim adalah dua perkara berbeza. 


Namun, kritikan terhadap Jakim, wajar dijawab oleh Jakim dengan ilmiah, bukan dengan kekuasaan. Tindakan menggunakan kekuasaan untuk atasi kritikan, bukan sekadar boleh dianggap sebagai tidak bermaruah, malahan boleh dianggap sebagai tindakan yang tidak mengikut aturan al-Quran. Ini kerana, al-Quran mengajar konsep debat dan penghujahan yang terbaik. Firman Allah dalam surah al-Nahl ayat 125: “Serulah manusia kepada jalan Tuhan kamu dengan kebijaksanaan dan debatlah mereka dengan cara yang paling baik”.

Lebih-lebih lagi, tindakan Jakim menggunakan kekuasaan untuk atasi kritikan, tidak lebih sekadar memberikan gambaran buruk sudut pandang orang bukan Islam terhadap agama Islam. Firman Allah: "(Firaun itu) merendah-rendahkan (tahap akal) kaumnya agar kaumnya taat kepadanya. Mereka (kaum Firaun itu) adalah kalangan orang-orang fasiq." (Surah al-Zukhruf, ayat 54)
 WAN JI WAN HUSSIN

 Posted & copy by RAKYAT MARHAEN

1 comments:

Unknown said...

Bro bro
Next time kau tampar aje kepala sultan & cakap kau nak buat jabatan agama sendiri
Umat Islam itu seharusnya bersatu & bukan berpecah
Penat lelah perjuangan Rasulullah SAW memperjuangkan ummah & menyatukan pelbagai bangsa tak pernah dijadikan iktibar
Masing masing dah cukup pandai konon kononya

Post a Comment

Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena