Penyokong PAS taasub, kata Rozaimi
Penyokong PAS boleh dianggap beramal dengan sifat taasub apabila tidak bersikap tekal semasa berdepan dengan isu berkaitan Syiah.
Menurut pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris, Dr Rozaimi Ramle, pihak terbabit dilihat mengecam hebat musuh politik mereka kerana dipercayai membuat program di kawasan yang ada kaitan dengan penganut Syiah.
Pada masa sama, kata Rozaimi penyokong PAS mempertahankan pemimpin mereka apabila ketika tokoh terbabit melawat Iran ketika negara itu berperanan dalam perang di Syria.
"Sewaktu pimpinan mereka bersentuhan dengan pimpinan Iran pada waktu Iran mempunyai peranan di perang Syria dulu, ketika (itu) pimpinan mereka mengatakan Syiah hanyalah mazhab dan hanya berkhilaf secara ilmu, (lalu) mereka pertahankan pimpinan tersebut," katanya malam tadi.
Rozaimi berkata demikian sebagai reaksi kepada kritikan penyokong PAS kepada seorang menteri kerana mengadakan korban di selatan Thailand baru-baru ini.
Ia menjadi isu kerana petempatan tersebut didakwa didiami penganut Syiah. Malah gambar menteri terbabit bersama tokoh tempatan serta kitab-kitab ajaran Syiah turut memanaskan keadaan.
Kritik kedua-duanya
Rozaimi sendiri memberikan pandangannya terhadap gambar tular itu.
“Saya diberikan dengan gambar ini. Saya tidak tahu adakah ia gambar tulen atau gambar edit.
"Cuma saya ingin ingatkan kitab belakang itu adalah kitab yang dikaitkan dengan Syiah.
“Jika gambar ini tulen, mohon menteri berhati-hati," katanya.
Untuk rekod pada Disember 2016 Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dikritik kerana membuat kunjungan ke Tehran bagi menghadiri satu persidangan antara mazhab di ibu negara Iran berkenaan.
Antara yang mengecam Abdul Hadi ialah Ketua Kesatuan Ulama Islam Sedunia (KUIS), Dr Yusuf al-Qaradawi.
Kata Yusuf, penyertaan Abdul Hadi tidak dapat diterima kerana ketika itu Iran melaksanakan kekejaman ke atas rakyat Syria.
"Ketika ini KUIS menunggu Syeikh Abdul Hadi untuk menarik diri daripada kunjungan yang tidak pernah dipersetujui ini, tidak kena pada masanya dan tidak juga pada tempatnya!" kata kenyataan berbahasa Arab berkenaan.
Abdul Hadi ialah naib ketua KUIS.
Menurut Rozaimi sikap yang ditunjuk oleh penyokong PAS itu dikenali sebagai taasub.
"(Dianggap) salah apabila pihak lain buat, dibela apabila tokoh sendiri lakukan.
"Adapun saya, saya mengkritik tindakan kedua-duanya," kata Rozaimi.
Terdahulu Rozaimi menyatakan seseorang penganut Ahli Sunnah Wal Jamaah yang ikhlas pada agamanya tidak akan sesekali meredai ajaran yang mempertikaikan kredibiliti sahabat Nabi Muhammad SAW serta isteri-isteri baginda seperti dilakukan oleh sebahagian orang Syiah.
"Oleh itu, kita sangat sensitif terhadap isu ini.
"Justeru, saya menunggu penjelasan berkaitan pemimpin negara yang dikaitkan dengan majlis bersama syiah.
"Jika tidak ada penjelasan rasional diberikan maka saya kira rakyat berhak menolak ahli politik seperti ini dalam PRU akan datang.
"Jangan biarkan isu ini diambil sambil lewa. Berpolitik jangan sampai menggadaikan prinsip agama!" katanya.
Mk.
0 comments:
Post a Comment