Monday, 30 November 2015

Pak Yus (Jambu)...Air mataku mengalir tika menulis status ini. الفاتحة

Selasa, 1 Disember 2015

'PAK YUS, AIR MATA SAYA MENGALIR KETIKA MENULIS STATUS INI'



Pada yang ingin mengenali peribadi Arwah Pak Yus, bacalah dengan nama Allah.

Suatu ketika saya dalam kesempitan wang, insan inilah yang datang menghulurkan bantuan. 

"Nah! Ambillah duit ini. Kalau tak ada duit nak hidup, habaq kat aku jangan habaq kat orang lain. Kita geng utara, jangan buat malu kat orang," katanya sambil ketawa.

Di kemudian hari, bila saya nak memulangkan kembali duit yang dipinjamkan, inilah kata-kata arwah:

"Aku tak mahu. Daripada hang bagi kat aku, baik hang bagi kat anak yatim tak pun pergi belanja kawan-kawan. Ramai lagi yang perlukan duit itu," katanya.

"Mulianya hati kamu,"

Ketika mana saya berasa bosan, insan inilah yang akan mengajak lepak bermain PS4 FIFA di rumahnya. Manchester City adalah pasukan kegemaran dia. Sebelum game bermula, dia akan siap berpakaian jersi dan kasut bola, semangat katanya. Dari tengah malam sampai pagi penuh dengan gelak ketawa. 

"Riangnya kamu,"

Ketika berada di kampung, insan inilah yang akan call atau WhatsApp ajak main Futsal dan bola sepak. Bayar court, bayar padang, bayar pengadil semua guna duit poket dia. Selesai bermain, insan inilah yang akan belanja satu pasukan. Kadangkala sekali dengan team lawan. Murahnya hati kamu. 

Apabila Raja Lawak United ditubuhkan, insan inilah yang sponsor kami jersi dan bola. Dalam padang, dialah kapten kami. Atas stage komedi, dialah Mentor dan Idola kami. Teringat pada pesanan insan ini kepada saya,

"Bila dah femes nanti, jangan lupa diri, jangan sombong," katanya.

Tetapi apakan daya, kehendak Allah. Saya terkilan. Arwah pernah meminta saya buatkan dia satu lagu raya versi Reggae. Saya siapkan tetapi tidak sempat untuk proses rakaman. Katanya, "Aku nak lagu ini, aku nak rap duo dengan Waris,". Tersenyum saya pada ketika itu. 

Saya terkilan, tak sempat membalas segala jasa baik arwah ketika dia masih bernafas. Hanya mampu membalas ketika dia sudah kaku dan tidak bernyawa. 

Jam 1 pagi, saya mendapat tahu berita pemergiannya, saya terus tutup cafe. Dari Perak saya terus ke Hospital Selayang. Alhamdulillah sempat juga. Saya kapankan arwah, saya solatkan arwah, saya usungkan jenazah arwah. Sempat juga saya kucup dahi arwah untuk kali terakhir. Wajah dia jelas tersenyum. 

Jika benar di dahinya tertera kalimah Allah sebelum ajal menjemput, ingatlah bahawa dia bukan biasa-biasa. Saya beritahu ini bukan bertujuan untuk riak atau sebagainya tetapi hanya untuk khabarkan. Tiada apa lagi yang mampu saya balas jasa baik arwah melainkan iringan dan kiriman doa.

Saham akhirat insan ini sebagai salah seorang penyumbang kepada sebuah sekolah agama di Perlis pasti dihitung Allah. Allahuakbar. 

Pak Yus, air mata saya mengalir ketika mana saya menulis status ini. Terima kasih di atas tunjuk ajar kamu. Terima kasih di atas ilmu dan nasihat dari kamu. Al-fatihah untuk kamu wahai Abang, Kawan, Ayah. - Ilham Tuah Raja Lawak

Ditulis semula untuk siaran di THEHYPEMEDIA.COM
BLM.

الفاتحة



Jenazah Yus Jambu selamat dikebumikan.
Jenazahnya dikebumikan pada pukul 2.45 petang yang turut dihadiri rakan artis seperti Hairi Safwan, Angah Raja Lawak, Achey, Atu Zero, Ajak Shiro dan Akim.
Abang Allahyarham Jaafar Edoo, 53, berkata pemergian adiknya amat dirasai kerana semasa hidup, adiknya banyak membantu keluarganya dan beliau merupakan seorang yang sangat dermawan.
Beliau berkata beliau tidak menyangka perbualan dalam telefon 3 hari lepas merupakan perbualan terakhir beliau dengan adiknya yang menghidap sakit jantung sejak tahun 2008.
"Tiga hari lepas dia ada menelefon saya memberitahu  dia sangat sibuk dengan kerjayanya dan dia berjanji jika ada kelapangan dia akan segera pulang ke kampung untuk melawat kami.
"Kami berasal daripada keluarga yang teramat susah. Sejak dia menceburi industry hiburan, dia  banyak merubah nasib kami sekeluarga. Dengan kehilangan ini, saya sekeluarga amat sedih kerana orang yang menjadi tempat kami bergantung sudah tiada," katanya.
Jaafar berkata adiknya sebenarnya merupakan seorang yang pendiam berbeza dengan karektornya di pentas seni yang sering dilihat periang dan mempunyai ramai kawan.
Jenazah Allahyarham disembahyangkan 5,000 orang yang terdiri daripada peminat, kenalan dan penduduk kampung selepas solat Zohor yang diimamkan bapa saudaranya Suban @ Ani Hassan.
Jenazah beliau disemadi berdekatan pusara arwah ibu dan bapanya.
Yus pada mulanya bergiat aktif dalam bidang seni teater, hadrah, muzik asli dan beliau boleh bermain semua alat muzik tradisional dengan baik sejak awal 90-an bermula di Taman Budaya Perlis (kini Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Perlis).
Beliau juga merupakan seorang guru tari di Taman Budaya Negeri Perlis selain pernah dinobatkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik di Festival Teater Peringkat Kebangsaan 2006.
Yus mula dikenali selepas kumpulan Jambu yang disertainya bersama Tauke menjadi juara Raja Lawak musim pertama pada tahun 2007. – Bernama, 30 November, 2015.
- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/jenazah-yus-jambu-selamat-dikebumikan#sthash.Eftzcxj9.dpuf

0 comments:

Post a comment

Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena