Friday 13 November 2015

[Video Mat Sabu "Sakit di kepala balut di kaki"] Sebenarnya kenapa jadi begini? Agaknya hanya Wala'un totok yang masih angguk...

Jumaat, 13 November 2015

Sebenarnya kenapa jadi begini? 

Agaknya hanya Wala'un totok yang masih angguk...
Sering bercanggah kenyataan, PAS perlu jelas pendirian sebenar, kata penganalisis 
OLEH KC NAZARI Published: 13 November 2015 9:53 AM 
Kenyataan yang bercanggah dibuat pemimpin-pemimpin PAS menimbulkan persepsi yang ia masih sedang meneruskan agenda kerajaan perpaduan dengan musuh politiknya Umno, dan seorang penganalisis berkata parti Islam itu perlu lebih tegas dan jelas dalam hala tujunya. 

Mutakhir ini, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilihat mengeluarkan kenyataan yang tidak sehaluan dengan pemimpin-pemimpin tertinggi parti di bawahnya serta rakan-rakannya di pihak pembangkang. 


Ia bermula dengan insiden Hadi memeluk Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali sewaktu menyambut salam kerjasama kumpulan pendesak Melayu itu dalam isu Melayu dan Islam.  


Dalam tempoh kurang 24 jam selepas itu, naib presiden PAS merangkap Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Iskandar Samad menidakkan kesediaan Hadi dan menegaskan PAS Selangor tidak akan bekerjasama dengan Perkasa. 


"Pastinya yang menguasai parti adalah Hadi, namun saya tengok, memang ada percanggahan pendapat dalam kalangan pemimpin dan di antara pemimpin dan ahli khususnya dalam soal hala tuju perpaduan yang Hadi hendak bawakan," kata penganalisis politik Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff. 


Selepas insiden mesra dengan Perkasa itu, Hadi pada 1 November lalu sekali dilihat seperti menduga riak-riak hubungan politik PAS dengan bekas sekutunya apabila dilaporkan berkata PAS tidak lagi "gilakan kuasa dan mahu menguasai Putrajaya". 


Sebaliknya kata Hadi, PAS "bersedia menjadi penasihat dan pembantu Umno sekiranya Umno mengubah dasar pemerintahan". 


Namun pada masa sama, orang nombor 2 parti itu, Timbalan Presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, bertegas PAS tidak akan sama sekali bersama Umno. 


Menurut Agus, senario ini memberikan gambaran yang kabur akan hala tuju PAS sekarang ini. 


"Ini yang tidak jelas. Ke mana Hadi mahu pergi? Adakah Hadi mahu kerajaan perpaduan dengan Umno? Adakah Hadi mahu sekadar menasihati Umno dan tidak mahu mendapatkan kuasa, atau bagaimana? "Ini yang tidak jelas kerana ia selalu berubah-ubah pandangan. Satu, beliau mengelirukan ahli tentang hala tuju parti. Kedua, beliau memberi senjata kepada pihak lawan untuk menikam PAS, untuk melihat PAS sebagai sebuah parti lemah," katanya lagi. 


Persepsi itu dikuatkan lagi dengan tindakan beberapa bekas ahli Parlimen PAS yang keluar parti serta membentuk Parti Amanah Negara (Amanah) dipercayai tidak berpuas hati dengan hala tuju parti itu selepas muktamar lalu. 


Pada masa sama, parti itu juga disulitkan bekas sekutunya DAP yang enggan menerima PAS dalam pembentukan gabungan pembangkang baharu Pakatan Harapan ekoran pendirian tegas parti itu bagi membentangkan rang undang-undang hudud di Parlimen. 


PAS sememangnya dikenali ramai sebagai parti berasaskan Islam sementara Umno pula adalah parti nasionalis yang tebal dengan citra memperjuangkan kepentingan agama, bangsa dan negara. 


Justeru, pertindihan agenda agama di antara 2 parti itu beserta kenyataan Hadi memungkinkan kerjasama di antara 2 parti besar Melayu itu menjadi kenyataan sekaligus menguatkan cakap-cakap tentang pembentukan kerajaan perpaduan Umno-PAS. 


Mengulas perkara ini, pemimpin veteran PAS Datuk Mustafa Ali berkata, Hadi selama ini sebenarnya konsisten menolak perpaduan dengan Umno dan seluruh parti itu sepakat akan perkara tersebut.  


Merujuk Hadi sebagai Tok Guru Haji Hadi, Mustafa berkata agenda itu tidak pernah disebut pemimpin nombor satu PAS itu. 


"Tok Guru Haji Hadi pun kata tiada kerjasama politik ini. Dalam soal ini semuanya 'bulat' (sepakat) – sama ada Haji Hadi, timbalan presiden, naib presiden – semua kata tiada kerjasama politik," kata Mustafa yang kini pengarah pilihan raya PAS. 


Menurut Mustafa, kesediaan Hadi menjadi penasihat itu bukan bermakna Hadi menawarkan dirinya menjadi penasihat dengan jawatan rasmi dalam kerajaan BN Terengganu. 


"Bukan maknanya penasihat atau jawatan seumpamanya, 'nothing of that sort'. Kalau kerajaan minta pandangan daripada PAS pun, kita boleh bagi. Tapi bukan daripada segi penasihat rasmi macam itu," katanya. 


"Orang tanya beliau, adakah ini kerjasama? Beliau kata tidak, bukan kerjasama politik, ini nasihat. Sebab nasihat ini salah satu tanggungjawab kita sebagai orang Islam". 


Bagaimana pun, beliau yakin ahli-ahli parti tiada masalah menanggapi perkara tersebut. 


"Tak ada konflik (antara pemimpin) dalam hal ini, saya rasa ahli-ahli faham," katanya. 


Jumaat lalu (6 November), Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hassan mempertahankan Hadi dan menjelaskan yang ahli Parlimen Marang itu dalam 3 muktamar parti sebelum ini sudah menjelaskan tidak akan menyertai Umno selagi parti itu "masih berdiri atas dasar nasionalisme mereka". 


Bercakap dalam nada yang sama dengan ahli Parlimen Temerloh itu ialah seorang lagi Naib Pengerusi PAS, Idris Ahmad. 


Ahli Parlimen Bukit Gantang itu percaya dakwaan PAS menyertai Umno adalah satu propaganda daripada Umno sendiri, serta keghairahan media dalam membuat liputan. 


"Surat khabar yang 'spin' (putar belit). Itu ayat Umno. Umno ini gila talak. Dia nak suruh kita jadi penasihat dia. 


"Mana kita mahu masuk Umno. Kita lawan Umno. Siang malam tak tidur kita lawan Umno. Tak ada timbul perkara ini dan semuanya daripada musuh-musuh politik," katanya kepada The Malaysian Insider. 


Jalan keluar daripada ini, Agus mencadangkan agar Jawatankuasa PAS Pusat duduk semeja bagi menetapkan hala tuju PAS dengan lebih jelas. 


"Pemimpin PAS kena duduk bersama (berbincang). Jawatankuasa PAS perlu berbincang untuk dapat hala tuju yang lebih jelas tentang arah PAS ke depan," katanya. – 13 November, 2015. 


Posted by mountdweller 

0 comments:

Post a Comment

Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena