Tuesday 24 November 2015

Pertembungan Kem Najib-Muhyiddin..."Pecah memang sudah berpecah, memang tidak boleh buat apa lagi".

Rabu, 25 November 2015

Pertembungan kem Najib-Muhyiddin bakal berlaku dalam perhimpunan Umno Disember

Perhimpunan agung Umno pada 8 hingga 12 Disember ini akan melihatkan platform bagi kem Datuk Seri Najib Razak (kanan) dan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mempertahankan pemimpin masing-masing. – Gambar fail The Malaysian Insider, 24 November, 2015. 

Najib masih dalam “mode” bertahan, sementara Muhyiddin masih memberi desakan, berterusan membangkitkan skandal 1MDB dan derma RM2.6 bilion yang masuk ke dalam akaun peribadi presiden Umno itu.


Najib yang juga menteri kewangan merupakan pengerusi lembaga penasihat 1MDB.
"Perhimpunan kali ini akan menjadi pertembungan hangat antara kem Najib dan kem  Muhyiddin,” kata bekas ketua Pemuda cawangan Keliang, Hulu Selangor, Moohamad Faizal Abdul Raub kepada The Malaysian Insider.
"Ia akan menjadi platform kedua-dua kem untuk mempertahankan bos mereka." 
Tiada usul agar Najib meletakkan jawatan akan dibangkitkan pada perhimpunan agung kali ini yang akan berlangsung pada 8 hingga 12 Disember di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). 
Walaupun Najib dilihat mempunyai sokongan majoriti ketua Umno bahagian, ahli akar umbi peringkat cawangan masih memberontak.
Naib Ketua Umno Bahagian Kota Raja Mohd Hamidi Abu Bakar berkata, perwakilan dan ahli menanti penjelasan daripada pemimpin mengenai kecelaruan dan kemelut yang berlaku.
"Perhimpunan kali ini ramai yang tertunggu dan tidak sabar mendengar ucapan daripada pemimpin, ramai pemerhati dijangka hadir kali ini.
"Semua ini disebabkan keadaan dan pergolakan dalaman yang berlaku dalam parti," kata Hamidi kepada The Malaysian Insider.
Gesaan beberapa cawangan kebelakangan ini menunjukkan bahagian-bahagian Umno sukar untuk mengawal ahli yang tidak berpuas hati terhadap Najib.
Ahli akar umbi kritikal terhadap kepimpinan Najib, menganggapnya sebagai liabiliti dan tidak melihat masa depan cerah jika beliau terus memimpin Umno.
"Rakyat mahukan peralihan, apabila merasakan tidak lagi relevan, ia sepatutnya digantikan," kata Ketua Umno Cawangan Rista Villa Perdana Rushdan Mohamed, salah seorang yang mendesak Najib letak jawatan baru baru ini.
Beliau berkata, pepecahan dalam Umno sudah tidak dapat dielakkan lagi, jika berterusan kesan lebih buruk dihadapi Najib seperti sabotaj daripada ahli sendiri yang tidak berpuas.
"Pepecahan parti tidak dapat dielakkan dan sabotaj parti memang tidak boleh dielakkan," katanya.
Senada dengan Rushdan, aktivis Umno Pokok Sena Ramli Yunus mengakui parti Melayu itu sudah berpecah, dan lebih parah lagi, ahli sendiri sudah tidak dapat mempertahankan Najib apabila bertemu rakyat.
"Pecah memang sudah berpecah, memang tidak boleh buat apa lagi.
"Dahulu kami yang di bawah ini yang mempertahankan Najib, tetapi sekarang yang di bawah ini pula lantang menentang beliau," katanya.
Sesetengah pemimpin mengatakan perpecahan dalam Umno ini disumbang Muhyiddin kerana berterusan mengkritik Najib dan mempersoalkan isu RM2.6 bilion.
Tindakan Muhyiddin menimbulkan rasa curiga dan prasangka buruk terhadap Najib walaupun berkali-kali penjelasan dibuat pemimpin Umno lain.
"Harapan Muhyiddin Perhimpunan Agung Umno kali ini berjalan dalam keadaan huru-hara," Ketua Umno Bahagian Sungai Besar Datuk Jamal Md Yunos dipetik sebagai berkata. – 24 November, 2015.
- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/pertembungan-bakal-berlaku-kerana-najib-1mdb-derma-rm2.6-bilion-dalam-perhi#sthash.BiNOp3v6.dpuf

0 comments:

Post a Comment

Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena