Wednesday 18 January 2017

[Video] Merungkai WANITA MISTERI (?) penandatangan akaun Jho Low

Rabu, 18 Januari 2017

Merungkai wanita misteri penandatangan akaun Jho Low


Minggu lalu, satu pendedahan mengejutkan dibuat apabila mahkamah Singapura diberitahu bahawa ahli perniagaan Malaysia, Jho Low menggunakan nama samaran atau alias Eric Tan Kim Loong bagi tujuan membuka empat akaun bank di Falcon Private Bank di republik itu.
Keempat-empat akaun Falcon itu di bawah nama Westfield Group Services Inc, Granton Property Holding Limited, Tanore Finance Corp dan Midhurst Trading Limited - semuanya milik Tan.
Berikutan itu, Sarawak Report, yang memetik sumber mendakwa penandatangan kepada akaun di Falcon Bank yang berkaitan 1MDB di Singapura yang dibuka oleh Low adalah seorang wanita.
Laman web itu membayangkan kemungkinan bahawa wanita itu adalah isteri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak - Datin Seri Rosmah Mansor. Ini menyebabkan peguamnya mengeluarkan penafian.
Satu kenyataan Jabatan Peguam Negara Singapura pada 10 Januari memberi petunjuk bahawa individu berkenaan adalah orang lain. Individu itu turut dinamakan dalam saman sivil Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat.
Kenyataan perbicaraan kes bekas pengurus cawangan Falcon Bank, Jens Fred Sturzenegger mendedahkan perbualannya dengan Low berhubung pelantikkan bekas eksekutif 1MDB Jasmine Loo sebagai penandatangan untuk akaun yang dibuka di bawah nama alias Eric Tan itu.
"Pada 19 Mac, 2013, tertuduh berhubungan melalui telefon dengan Jho Low.
"Sebahagian daripada perbualan menyentuh secara ringkas mengenai tajuk menambahkan Jasmine Loo sebagai penandatangan ke atas akaun Falcon," kata Pejabat Peguam Negara Singapura dalam satu kenyataan yang disiarkan oleh The Edge.
Sumbangan Arab Saudi
Walau bagaimanapun, pejabat itu tidak menyatakan jika cadangan menjadikan Loo sebagai penandatangan diluluskan.
Walau bagaimanapun, DOJ dalam saman pelucuthakan berkaitan 1MDB, menyatakan bahawa “1MDB Officer 3” adalah penandatangan yang diberi kuasa ke atas akaun Tanore di Falcon Private Bank.
Akaun Tanore adalah tempat berrmulanya dana AS$681 juta didepositkan ke dalam akaun bank peribadi Najib, yang didakwa oleh perdana menteri sebagai sumbangan daripada ahli keluarga diraja Arab Saudi.
DOJ mendakwa AS$835 juta dilencongkan daripada bon AS$3 bilion diterbitkan untuk pembangunan Tun Razak Exchange 1MDB kepada akaun Tanore, selepas melalui beberapa dana pelaburan di luar negara.
"Pada atau sekitar 20 Mac 2013, sehari sebelum dana (1MDB) mula dimasukkan ke dalam akaun Tanore dari Overseas Investment Fund, ‘1MDB Officer 3' diberi kuasa menandatangani akaun Tanore.
"Satu salinan pasport Malaysia yang dimiliki oleh ‘1MDB Officer 3' telah dimasukkan dalam dokumentasi itu," kata DOJ.
Walaupun DOJ tidak menamakan ‘1MDB Officer 3', adalah dipercayai ia merujuk kepada Loo.
Ini berdasarkan keterangan bahawa pegawai itu adalah bekas peguam 1MDB dan pengarah eksekutif strategi kumpulan itu, kedudukan yang dipegang oleh Loo sepanjang perkhidmatannya di firma itu.
Loo, lulusan undang-undang, dikatakan berperanan utama dalam saga 1MDB, termasuk dalam isu "derma" RM2.6 bilion.
Orang hubungan
Beliau digambarkan oleh DOJ sebagai orang hubungan utama antara 1MDB dan Goldman Sachs, apabila bank itu membantu menerbitkan tiga bon untuk firma pelaburan negara itu bekas pada tahun 2012 dan 2013.
Dana AS$3 bilion bagi Tun Razak Exchange adalah bon ketiga yang menyaksikan dana sejumlah AS$1.26 bilion yang didakwa dialihkan - AS$ 835 juta kepada Tanore dan AS$430 juta kepada Granton - kedua-duanya mempunyai akaun di Falcon Private Bank.
Adalah tidak diketahui jika Loo juga adalah antara penandatangan yang diberi kuasa untuk akaun Granton berkenaan.
"Tidak lama selepas hasil jualan bon dialihkan ke akaun Tanore pada 2013, dana AS$681 juta daripada akaun Tanore dipindahkan ke akaun bank milik 'MO1'.
"‘1MDB Officer 3' dimasukkan sebagai penandatangan bagi akaun Tanore kira-kira sehari sebelum pemindahan pertama AS$620 juta telah disalurkan daripada akaun Tanore ke dalam akaun 'MO1'," kata DOJ.
Pemindahan AS$620 juta dilakukan pada 21 Mac dan ini diikuti dengan pindahan kedua bernilai AS$61 juta 25 Mac kepada akaun MO1 ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Rahman Dahlan pernah mengesahkan bahawa "MO1" adalah Datuk Seri Najib Razak.
Beliau berhujah, memandangkan dokumen DOJ tidak menamakan Najib, maka perdana menteri tidak disiasat. Najib juga menafikan beliau menyalahgunakan wang rakyat untuk kepentingan peribadi.
Kedudukan Loo
Sementara itu, Loo dituduh mendapat manfaat daripada dana yang diselewengkan itu melalui dua penerbitan bon 1MDB yang dijamin oleh Goldman Sachs.
Sejumlah AS1.367 bilion daripada dua tawaran bon telah dipesongkan pada tahun 2012.
Daripada jumlah itu, kira-kira AS$5 juta berakhir di akaun bank di Zurich, Switzerland, di bawah nama “River Dee International SA” pada 6 Dis 2012.
DOJ mendakwa Loo adalah benefisiari akaun itu.
Loo meninggalkan 1MDB pada tarikh yang tidak didedahkan. The Wall Street Journal, memetik sumber melaporkan setahun selepas pemergiannya, beliau telah memindahkan "ratusan ribu” kepada Tim Leisner, bekas pegawai bank Goldman Sachs yang bertanggungjawab ke atas operasi Asia Tenggara semasa kemelut 1MDB.
Pindahan wang kepada Leisner didakwa adalah untuk menubuhkan sebuah syarikat, walaupun tidak jelas apa syarikat itu.
Kedudukan semasa Loo tidak diketahui. Bank Negara telah membuat rayuan supaya orang ramai yang mempunyai maklumat supaya tampil membantu siasatan.
Malaysiakini.

0 comments:

Post a Comment

Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena